Sunday, 11 June 2017

Sifat sifat Allah

 



Jika Dia nyatakan
 melalui kalam Al-Quran melalui lisan Rasul-Nya yang mulia bahawa Dia berada di ‘arasy, adapun istiwa’, Rasul dan para sahabat menyerahkan makna kepada Diri-Nya. Begitu juga jika Dia mengatakan bahawa Dia bercakap dengan Musa (a.s) di Bukit Tursina atau mengatakan turun ke langit pertama pada waktu malam, atau mengatakan Dia dekat dengan hamba-Nya atau mengatakan diri-Nya di sebelah kanan, atau mengatakan Dia ketawa, wajib diri kita menerimanya dan menyerahkan makna kepada Diri-Nya dan tidak mentakwilkan sebagai sama dengan sifat makhluk. Apabila Dia mengatakan di ‘atas’, (maka) ‘atas’ yang layak bagi sifat diri-Nya, bukannya ‘atas’ sebagaimana yang difahamkan makhluk.

Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ia tetap tidak sama dengan makhluk kerana kewujudan-Nya adalah bersifat dengan sifat yang tiada pada makhluk.

Golongan yang menyamakan sifat Tuhan sebagaimana sifat makhluk seperti duduknya sama seperti makhluk, atau mengatakan atas sebagaimana atasnya makhluk, turun bagaimana turunnya makhluk atau ketawa sebagaimana makhluk adalah golongan yang terkeluar dari pegangan sejati seorang mukmin. Ini adalah pegangan mujassimmah yang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Jika Tuhan memerlukan tempat sebagaimana tempatnya makhluk, Dia adalah lemah dan berlawanan dengan sifat Kaya-Nya iaitu Qiamuhubinafsih iaitu berdiri dengan sendirinya tanpa berhajat kepada makhluk, sedangkan makhluk berhajat kepada-Nya.

Jika ada golongan yang mengatakan Allah berada di atas‘arasy, sebagaimana makhluk, ia hendaklah memahami bahawa ‘arasy adalah makhluk, ia bersifat baharu. Jika Allah berada di ‘arasy atau di langit, sebelum Allah menciptakan ‘arasy, diri-Nya ada di mana? Jika Dia berada di ‘arasy, besar manakah ‘arasy untuk menampung kebesaran Tuhan, berapakah ukuran lebar dan panjangnya? Jika Tuhan boleh diukur panjang dan lebar, bermakna Tuhan mempunyai jisim sebagaimana makhluk-Nya sedangkan ia bertentangan dengan firman-Nya bahawa Dia tidak menyamai makhluk-Nya.

Begitu juga dengan firman-Nya yang bermaksud;

“Aku berada dimana kamu berada...” (Al-Hadid : 4),

Adakah Dia bersama dengan hamba-Nya di sebelah atas, atau di kanan atau di kiri atau di belakang atau di bawah atau dalam diri, tiadalah kita ketahui bagaimanakah yang dikatakan kehampiran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

“Aku lebih dekat denganmu lebih dari urat leher kamu...” (Qaaf : 16).

Justeru itu wahai diriku dan hamba-hamba-Nya, bertakwalah kepada-Nya dan terimalah bahawa Dia adalah Tuhan yang memiliki segala sifat yang kaya, dan akal tidak mampu pergi lebih jauh untuk membahaskan sifat Kaya Tuhan, sebagaimana kata Saidina Abu Bakar: “Lemah dari segala pendapat itulah pendapat”.


Sebaiknya kita menyerah akan maknanya kepada diri-Nya Yang Agung apabila kita bertemu dengan ayat yang kita tidak fahami seperti ayat Mutasyabihah, kerana Dia yang lebih mengetahui tentang Diri-Nya, Sifat-Nya, Af’al-Nya dan Asma’-Nya. Namun, hendaklah kita menghormati para ulama yang mentakwilkan dengan tujuan mensucikan Tuhan dari disifatkan seperti makhluk, supaya terselamat umat ini dari terjerumus ke lembah kesesatan dalam kefahaman mengenai Tuhan.

Banyak perkara di alam ini yang dinyatakan oleh diri-Nya tidak dapat dihuraikan oleh akal, apalagi tentang kehebatan diri-Nya. Manusia tidak (mampu) memberi jawaban jika ditanya persoalan ruh di dalam dirinya. Di manakah ia berada dalam diri, bagaimanakah rupanya? Berapa beratkah ia? Begitu juga apabila kita ditanyakan tentang udara, bagaimanakah wujudnya? Di manakah letaknya, di atas, di bawah, di kanan atau di kiri? Insan tidak dapat melihatnya tetapi boleh mengetahui kewujudanya dengan pelbagai cara. Ia berada di dalam diri dan di luar insan, dan insan tidak boleh hidup tanpanya.

Insan juga boleh mengetahui adanya angin apabila melihat pohon bergoyang. Insan hanya boleh melihat dalil tetapi tidak mampu meneroka lebih jauh melebihi kemampuan akal yang diberi. Diri-Nya mencipta makhluk seperti udara supaya insan memahami bahawa ada perkara dalam kehidupan seharian tidak mampu mereka lihat dan memahaminya dan menjawab persoalan mengenainya.

Begitulah juga sifat ma’ani-Nya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, berilmu, berkudrat, beriradat dan hidup. Walaupun Dia menyatakan sifat ini pada makhluk-Nya namun ia tiada persamaan dengan makhluk pada hakikatnya. Sifat melihat Tuhan tidak sama dengan makhluk, Dia tidak memerlukan mata, Dia tidak terbatas, tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan-Nya sama ada yang nyata atau yang ghaib, sama ada yang kita lahirkan atau yang kita sembunyikan.

Begitu juga sifat-sifat-Nya yang lain di mana ia melazimi sifat ma’anawiyah. Namun apa yang perlu kita fahami bahawa segala sifat makhluk ini adalah takluk pada sifat wahdaniah iaitu satunya Tuhan. Apabila dirimu wahai insan memahami hakikat wahdaniah ini, dirimu akan melihat kekuasaan-Nya dan fanalah segala kekuatan yang ada pada makhluk. Segala gerakdiam dan kelakuan di alam ini adalah takluk dibawah qudrat iradah-NyaTidak bergerak satu zarah pun dari gerak alam ini melainkan dengan izin-Nya. Inilah pegangan ahli Tauhid yang hakiki sehingga mereka tidak bergantung hati mereka kepada sesuatu yang lain, mereka tidak takut pada yang lain, mereka tidak meminta pada yang lain, mereka tidak mencintai yang lain melainkan Allah.

Tuesday, 11 April 2017

9 sifat iftiqar diri-Nya

Dirimu dengan Diri-Nyatidak pernah bercerai walaupun satu saat. Setiap degupan jantungmu, setiap hembusan nafasmu, setiap pandanganmu, setiap pendengaranmu, setiap gerak hatimu, setiap ilmumu adalah dibawah takluk diri-Nya. Dia Tuhan yang mencipta kamu, Dia adalah Rabb yang sentiasa memelihara, Dia tidak mengantuk atau tidur, Dia sentiasa mengawasi dan memerhati hamba-Nya. Tidak bergerak dirimu melainkan dari gerak-Nya, tiada melihat kamu melainkan dari melihat-Nya, tiada mendengar kamu melainkan dari pendengaran-Nya, tiada berilmu kamu melainkan dari ilmu-Nya.

Hakikat diri mu kosong (fakir), segala gerak dan fungsi jasadmu adalah dari gerak dan sifat ruh, dan segala gerak dan sifat pada ruhmu adalah dari Tuhanmu. Begitulah Dia amat hampir dengan hamba-Nya yang Dia sentiasa bersama dalam segala kelakuan hamba-Nya.

Firman-Nya :

“Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada.” (Al-Hadid : 4)

Dirimu dengan Tuhanmu tidak pernah berpisah tetapi sifat dirimu tidak bersatu dengan Tuhanmu. Engkau hanya menyatakan wujud dan sifat-Nya tetapi bukannya diri-Nya sebagaimana berlakunya salah faham dikalangan pencari dan pencinta diri-Nya. 

Mereka tidak faham terdapatnya mufaraqah (garis pemisah) yang amat halus di antara sifatmu dengan sifat Tuhan. (Bandingannya) bagaikan air laut dengan air sungai yang bertemu di muara, ia bersatu pada penglihatan tetapi berpisah pada hakikat.


Dalam kitab Kasyaful Asrar diterangkan dengan kiasan asap dengan api. Apabila kita melihat asap di udara, dengan sendirinya kita mengatakan bahawa adanya api. Ini disebabkan asap dengan api tidaklah berpisah tetapi kedua unsur ini tidak bersatu. Asap tetap asap, api tetap api. Begitu juga cahaya dengan lampu, cahaya keluar dari lampu tetapi lampu bukannya cahaya dan cahaya bukannya lampu. Bersatu bukannya bermakna dirimu asal Tuhanmu, kamu adalah baharu dan Dia qadim. Ruh dan segala sifat yang dimiliki adalah baharu, ia dicipta oleh-Nya namun dirimu tidak berpisah dari segala apa yang kamu miliki, atau perbuatan kamu melainkan dari izin-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Aku yang menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu”.
(As-Shafaat : 96)

Tiada boleh kita melihat, mendengar, bercakap, berilmu, berkuasa, berkehendak, hidup melainkan dengan diri-Nya. Insan memerlukan 9 sifat iftiqar diri-Nya untuk hidup di alam ini iaitu Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Qadirun, Maridun, ‘Alimun, Hayyun, Wahdaniah. Segala sifat yang ada pada kita adalah baharu kerana sifat qadim tidak layak berada di tempat yang baharu iaitu alam ini, namun segala sifat dan kehidupan kita ini berada dibawah takluk kudrat, iradah dan ilmu-Nya. Ia takluk dalam sifat wahdaniah iaitu Tuhan yang satu.

Sunday, 26 March 2017

Seketul Daging

Apabila kita melihat dua pihak berperang, masing-masing mengunakan pelbagai senjata yang memuntahkan peluru yang saling berbunuhan. Yang sebenarnya kita sedang menyaksikan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kedua-dua pihak dizahiran melalui senjata.

Apabila kita mendengar dua orang sedang berkrisis, bermusuhan, bertelagah, bertengkar, saling membenci, tuduh menuduh, caci memaki, sumpah seranah, mengumpat, mengadu domba, mengutuk, kita hakikatnya sedang melihat kedua-dua pihak itu saling memuntahkan sifat mazmumah dari hati masing-masing melalui lidahnya.

Apabila kita dipaparkan berita tentang perogolan, seks luar nikah, pergaulan bebas, sebenarnya kita sedang membaca berita mengenai hati manusia sudah dikuasai nafsu dan syaitan.

Apabila kita melihat manusia yang rakus, tamak haloba sehingga sanggup merompak, mencuri, menyamun, menipu, rasuah, menyeleweng, salah guna kuasa, kita hakikatnya menyaksikan manusia yang hatinya cinta dunia.

Boleh disimpulkan ialah apa jua bentuk gejala negatif, sikap buruk, perbuatan keji dan mungkar adalah berpunca dari hati.

Begitulah sebaliknya, segala sifat positif, mencintai kebaikan, saling berkasih sayang, banyak berbuat kebajikan dan berbakti, inginkan kemajuan, idamkan kesejahteraan dan keharmonian, semuanya datang dari hati yang subur dengan sifat-sifat mahmudah.

Allah perintahkan manusia takut kepada-Nya. Kerana apabila manusia takut kepada Allah, manusia akan menjadi baik. Apabila manusia menjadi baik, bukan Allah yang untung, tetapi faedah dan manfaat dari kebaikan manusia itu akan kembali kepada manusia itu sendiri. Kehidupan manusia menjadi aman damai, tenteram dan harmoni.

Allah perintahkan manusia cinta kepada-Nya. Kerana apabila manusia mencintai Allah, manusia akan berkasih sayang sesama sendiri. Apabila manusia berkasih sayang, bukan Allah yang untung tetapi manusia itu sendiri yang mendapat manfaatnya. Manusia akan bersatu padu, tolong menolong, bela membela dan saling mengenang budi dan jasa antara satu sama lain.

Dunia hari ini bingung dan celaru dalam menghadapi berbagai masalah dan krisis kemanusiaan. Golongan yang bermasalah tidak tahu mengatasi dan menyelesaikan masalah dan tidak tahu di mana tempat mengadu. Pihak yang berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah juga dalam kebingungan kerana setelah dicuba dan dilaksanakan ternyata gagal malah masalah bukan semakin berkurang tetapi semakin bertambah dan merebak. Lebih memeningkan ialah timbul masalah dan gejala baru.

Bukan sedikit tenaga, masa, duit, dan idea yang dikorbankan untuk mencari jalan penyelesaian. Pelbagai kajian dan analisis telah dibuat namun ia tidak menampakkan hasil.

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran “Mengapa Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun memperjuangkan Allah yang satu berbanding hanya 10 tahun memperjuangkan syariat yang beribu”. Sebabnya ialah agar manusia kenal Allah (makrifatuLlah), mengagungkan Allah, membesarkan dan mengutamakan Allah. Merasai takut dan cinta kepada Allah swt. Agar menjadikan Allah swt segala-galanya dan sekaligus sebagai “matlamat”. Apabila ini dimiliki oleh manusia maka manusia akan menjadi beriman dan bertaqwa yang mana natijahnya Allah akan menolong, Allah akan membantu untuk kecemerlangan, kemenangan dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Inilah ubat dan jawapan kepada persoalan manusia. Bahkan inilah faktor yang membawa kepada kegemilangan umat terdahulu yang telah dipaparkan dalam sejarah. Sejarah boleh menjadikan kita panduan.

Di sini barulah disedari bahawa amat penting manusia ciptaan Allah ini kembali kepada mengenal Allah, memahami kerja Allah, memiliki rasa ubudiyah (kehambaan) dan rasa berTuhan. Kerana dengan cara ini sahaja sesuatu masalah dan krisis itu dapat di atasi secara tuntas. Bukan setakat itu sahaja bahkan manusia akan lebih berjaya, cemerlang, bahagia, selamat dan harmoni dalam segala aspek kehidupan. Lebih-lebih lagi sejahtera di akhirat yang kekal abadi.

Thursday, 2 March 2017

Alangkah Bahagianya~

Alangkah bahagianya 
sekiranya degupan jantung, keluar masuk nafas , kerdipan mata ini 
dalam ingatan kepada Allah swt…. 
Tidaklah diri menjadi hidup yang sia-sia 

Namun……. 
Diri ini tetap lalai dan leka 
Dengan hiburan Makhluk 

Diri ini tetap terpedaya 
Dengan permainan Dunia 
Diri ini tetap tertipu 
Dengan keinginan Nafsu 
Diri ini tetap terpengaruh 
Dengan gurauan Syaitan 
Alangkah ruginya 
Alangkah butanya 
Alangkah pekaknya 
Alangkah terkelirunya dirimu ini…….. 

Ketahuilah... 
Rasul Allah saw telah menunjukkan jalan 
Sahabat dan tabi’I dan tabi’in telah membentangkan jalan 
Ulama’ dan guru-guru telah mengajar dan memimpin 
Kenapa diri ini masih mengikuti rentak Makhluk, Dunia, Nafsu dan Syaitan?
Adakah kelemahan diri ini
Ya benar! Dirimu memang benar dalam kelemahan 
Kamu diperkuatkan dan kamu diperkehendakkan.. 
Perbuatan kamu adalah datang dari yang mencipta dirimu 
Tetapi dirimu diberi pilihan oleh Tuhanmu 
Pilihanmu itu dalam Qudrat dan Iradah Tuhanmu 

Berdoalah kamu, muhasabahkanlah dirimu
Berhajatlah kamu kepada-Nya yang ISTAGHNA (KEKAYAAN Allah) 
Kerana wajib dirimu tahu bahawa kamu bersifat IFTIQAR ( berhajat, berkehendak sekalian makhluk kepada Allah) 
Mudah-mudahan dengan karamah para ulama dan guru-guru serta para auliya 
Dan berkat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Pilihan diri ini di atas kehendak dan redha-MU. Aamiin.

Thursday, 2 February 2017

Dakwa Dan Dakwi

Untuk menuntut Ilmu KeTuhanan melalui jalan para ‘arifbiLlah, kita mestilah memahami beberapa syarat atau disiplin yang perlu ada, tanpanya perjalananmu tidak sempurna kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Kalam hikmah dalam al-Hikam mengatakan “permulaan awal yang benar akan melahirkan akhir yang benar.”

Allah telah menciptakan alam ini, perjalanan insan dengan hukum sebab musabab.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”. (Ar-Ra’du : 11)


Kita perlulah mendapat bimbingan seorang guru yang mursyid yang memiliki segala syarat-syarat dan kelayakan. Berhati-hatilah dengan zaman ini kerana amat sukar untuk mendapatkannya sehingga Imam Al-Ghazali mengatakan, (bertemu) guru mursyid di zamannya bagaikan mendapat belerang merah.

Ramai yang ada pada hari ini adalah (guru) dakwaan, kepalsuan malah ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengikut yang ramai, mendapatkan kekayaan, kehormatan dan mengambil kesempatan terhadap wanita melalui jalan yang tiada syarak. (Mereka juga) memasukkan pelbagai ajaran kebatilan, membuat pelbagai dakwaan seperti ia adalah wali Allah, sultan Auliya, Qutub Alam dan sebagainya. Mendakwa dapat kasyaf, memiliki firasat, karamah, sentiasa didatangi Imam Mahadi, para wali yang ghaib, mencari harta karun, berguru dengan guru ghaib, berhujah dengan ilham, mimpi, suka menceritakan hal-hal kerohanian dirinya, mendakwa boleh meninggalkan syariat atau meringankan syariat kerana sudah mencapai fana dan sebagainya.

Sebaiknya dibuat penilaian dari sudut akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, syariatnya, ilmunya, pegangannya, salasilahnya, perguruannya. Kita juga perlu melihat akhlaknya seperti amat ikhlas, menjauhi akan kemasyhuran, tiada mencintai makhluk malah suka jika ditinggalkan, suka bersendirian kerana asyik dengan Tuhannya, mempunyai pelbagai ilmu, tidak jumud dan sebagainya.

Jauhilah guru yang membuat pelbagai dakwaan atau yang menunjukkan kelebihan kerana ia bukan matlamat tasauf yang hakiki. Ingatlah bahawa guru akan menjadi sahabat sejati dimana ia amat mempengaruhi kehidupan kita. Carilah guru yang dapat memberi petunjuk pada kita dengan lisan dan perbuatannya.

Sebaiknya lengkapkan diri kita dengan kemantapan ilmu baik ilmu usul, memahami tasauf dari kitab yang muktabar, mengetahui dengan baik syariah serta meminta nasihat dari orang yang mempunyai ilmu dari bidang tersebut yang dipercayai akan keadilan dan keilmuannya. Ia adalah langkah terbaik sebelum mengikuti mana-mana guru tasauf agar dengan ilmu tersebut, ia menjadi penyuluh diri kita dalam mengamalkannya agar tidak mudah ditipu apalagi tersesat. Ini adalah zaman yang amat memerlukan kita berhati-hati.

Tasauf tidak lain hanyalah membawa pengamalnya kepada makrifat dan ubudiyyah yang tinggi kepada-Nya dengan penuh keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan berpegang teguh pada syariat dan sunnah Rasulullah SAW.

Thursday, 26 January 2017

Ujian Suatu Kasih Sayang

Wahai diriku,

Dirimu sentiasa diuji dengan bermacam-macam perkara. Sehinggalah dirimu mengangkat bendera putih ke hadrat Penciptamu. Dia yang menciptakan dirimu dari setitis air yang tiada nilai pun di sisi makhluk dan memberikan segala rezeki untuk dirimu. Anak, isteri, rumah, kenderaan, pekerjaan, kesihatan dan pelbagai lagi telah disediakan untukmu. Asalnya dirimu hanyalah datang dalam keadaan lemah dan tidak berpakaian. Sekarang kau lihat apa yang kamu ada sekarang? Adakah ini semua masih tidak mencukupi?

Wahai diriku,

Ujian dengan anak, isteri dan harta benda adalah merupakan proses untuk mengingatkan kehebatan diri-Nya. Cukup rezeki-keperluan atau tidak adalah bukan isunya jika hatimu benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Kau tahu bukan, tujuan hidupmu diciptakan adalah utk ‘mengabdikan’ diri kepada Tuhan. Pengabdian kepada Tuhan adalah matlamat ‘utama’ kamu diciptakan. Apakah dengan pemberian rezeki berupa anak, isteri dan harta benda itu melalai kamu dengan pengabdian kepada Tuhan atau menguatkan lagi pengabdian kepada Tuhan.

Wahai diriku,

Janganlah sedih dan terkilan dengan ujian dari Tuhan. Ini semua adalah jalan untuk mendidik hawa nafsumu yang jahat. Jalan ini juga adalah untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu. Inilah kasih sayang Allah kepadamu, agar kamu terus merasa lemah, berhajat, fakir dan tunduk pada Allah swt yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Tanpa ujian ini, nafsu dalam dirimu tidak akan menyedari bahawa dirimu sedang berada dalam kesombongan, keangkuhan, kehebatan dan takabur. 

Wahai diriku,

Melalui ujian, dirimu tidak akan mengaku semua yang kamu miliki sekarang ini adalah datang dari usaha, ilmu dan kebijakan dirimu. Berapa ramai di luar sana mengaku bahawa kekayaan harta benda, kecantikan isteri-isteri, keramaian anak-anak adalah datang daripada kehebatan akal dan ilmu diri sendiri. Inilah kesyirikan yang tiada disedari oleh mereka. Maka insaflah wahai diriku, Allah itu amat menyayangi dirimu agar dirimu tidak lalai dan leka dengan diri-Nya yang Maha Perkasa dan Kuasa.

Wahai diriku,

Pegang, gengam serta gigit sekuat-kuatnya pesanan gurumu bahawa merasai sifat kehambaan, nafas yang sentiasa bersyukur dan hati yang sentiasa mencari cinta Allah adalah penawar untuk dirimu tenang dan aman dengan ujian hidup......

Wahai guruku,

Jutaan terima kasihku kepadamu kerana banyak membimbing diriku yang selalu lalai dengan Allah swt. Dirimu telah banyak memberi daku kesedaran akan hakikat kehidupan ini.

Ya Rasulullah,

Selawat dan salam sejahtera buat dirimu, ahli keluargamu dan para sabahatmu kerana telah membawa cahaya kerahmatan di alam maya ini. Tanpa dirimu, pasti diriku tidak wujud dan pasti dalam kegelapan.



Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku pohon keampunan dari Mu atas kelalaianku dan sujudku hanyalah untuk-Mu..

Sunday, 1 January 2017

Selawat Fatih

Selawat Fatih ini mampu membukakan asrar (rahsia) ajaib yang menghairankan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya seratus kali setiap hari. Ramai yang mempertikaikan selawat ini tetapi mengejar sesuatu fadhilat itu tidak salah.

Sememangnya naluri manusia inginkan sesuatu sebagai imbuhan, umpamanya pahala dan fadhilat membaca sesuatu selawat. Itulah hikmah diwujudkan fadhilat.

Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau nak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.

.

Selawat Fatih dari  As-Sayyid Abul Makkkarim Asy-Syeikh Muhammad Syamsuddin;

.

.

.

Huraian Makna Selawat Fatih

.

Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya Amalan Kecemerlangan Rohani (1993) seperti berikut:

.

Yang membuka apa yang tertutup – Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad  SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.

.

Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.

.

Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu – Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran.

.

Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran – Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .

.

Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus – lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW  penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.

.

Kelebihan Dan Fadhilat Selawat Fatih:

.

Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersenidiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulamak terdahulu. Antara kelebihan Selawat Fatih ialah :

.

1.  Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.

.

2.  Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.

.

3.  Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.

.

4.  Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.

.

5.  Sesiapa mengamalkan  dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.

.

6.  Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,

.

7.  Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.

.

8. Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.

.

9. Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.

.

10. Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,

1) Baca surah al-Qadr,

2) Baca al-Zalzalah,

3) Baca al-Kafirun,

4) Baca Ma-’uzatain.

Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih.

.

Oleh kerana banyaknya fadhilat Selawat Fatih ini, maka marilah kita amalkan membacanya secara istiqamah.

.

.

Wallahu A’alam Bissowab

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته