Wednesday, 16 July 2014

Muhasabah Diri Sendiri

Ketahuilah wahai saudaraku dan diriku, dalam Al-Qur'an Allah berfirman, lebih kurang maksudnya,

"Kami akan adakan pertimbangan yang adil pada hari berbangkit, dan tidak ada jiwa yang dizalimi sedikit pun.Barangsiapa yang berbuat sebesar zarah kejahatan atau kebaikan, akan melihatnya".

Termaktub juga dalam Al-Qur'an firman yang berbunyi lebih kurang maksudnya;

"Biarlah tiap-tiap jiwa melihat apa yang dibawanya ke hari perhitungan".

Khalifah Umar ada berkata, "perhitunglah dirimu sebelum engkau diperhitungkan".

Allah berfirman lebih kurang maksudnya,

"Wahai orang-orang yang beriman, sabarlah dan lawanlah hawa nafsumu, dan teruskanlah perjuangan itu dengan gagah".

Wali-wali Allah sentiasa mengetahui bahawa mereka datang ke dunia ini untuk menjalankan pengembaraan keruhanian, yang akibatnya ialah rugi atau untung yang merupai neraka atau syurga. Sentiasalah mereka itu berwaspada terhadap kehendak-kehendak jasamaniah (badan) yang diibaratkan sebagai rakan perkongsian dalam perniagaan yang bersifat jahat dan bila-bila masa ia boleh mendatangkan kerugian kepada perniagaan itu. Sebenarnya bijaklah orang itu iaitu orang yang mahu merenung sebentar selepas sembahyang subuh memikirkan hal dirinya dan berkata kepada jiwanya;

"Wahai jiwaku, engkau hanya hidup sekali. Tiap-tiap saat yang berlalu tidak akan datang lagi dan tidak akan dapat diambil kembali kerana di Hadirat Allah Subhanahuwa Taala, bilangan nafas turun naik yang dikurniakan kepada engkau itu telah ditetapkan dan tidak boleh ditambah lagi. Inilah perjalanan hidup dalam dunia hanya sekali, tidak ada kali yang kedua dan seterusnya. Oleh itu, apa yang engkau hendak buat, buatlah sekarang. Anggaplah seolah-olah hidupmu telah berakhir, dan hari ini adalah hari tambahan yang diberi kepada engkau dengan kurnia Allah Subhanahuwa Taala jua. Alangkah ruginya membiarkan hari ini berlalu dengan sia-sia. Tidak ada yang lebih rugi dari itu lagi."

Di hari berbangkit di akhirat kelak, seseorang itu akan melihat semua waktu hidupnya di dunia ini tersusun seperti susunan peti harta dalam satu barisan yang panjang.

Pintu sebuah daripada peti yang pertama itu terbuka dan kelihatanlah penuh dengan cahaya: Ini menunjukkan waktu yang dipenuhinya dengan membuat amalan yang sholeh. Hatinya akan berasa seronok dan bahagia sekali, bahkan sedikit sahaja rasa bahagia itu pun sudah cukup membuat penghuni neraka lupakan api neraka yang bernyala itu.

Kemudian peti yang kedua terbuka, maka terlihatlah gelap gelita di dalamnya. Dari situ keluarlah bau busuk yang amat sangat hingga orang terpaksa menutup hidungnya: Ini menunjukkan waktu yang dipenuhinya dengan amal maksiat dan dosa. Maka akan dirasainya azab yang tidak terhingga bahkan sedikit saja pun dari azab itu sudah cukup menggusarkan ahli syurga.

Selepas itu terbuka pintu peti yang ketiga, dan kelihatanlah kosong saja, tidak ada gelap dan tidak ada cahaya di dalamnya: Inilah melambangkan waktu yang dihabiskannya dengan tidak membuat amalan sholeh dan tidak juga membuat amalan maksiat dan dosa. Ia akan merasa sesal dan tidak tentu arah seperti orang yang ada mempunyai harta yang banyak membiarkan hartanya terbuang dan lepas begitu saja dengan sia-sia.

Demikianlah seluruh waktu yang dijalannya itu akan dipamerkan kepadanya satu lepas satu. Oleh yang demikian, seseorang itu hendaklah berkata kepada jiwanya tiap-tiap pagi;

"Allah telah mengurniakan engkau dua puluh empat jam peti harta. Berhati-hatilah mengawasinya supaya jangan kehilangan, kerana engkau tidak akan boleh menanggung rasa kesal yang amat sangat jika engkau kehilangan harta itu".

Aulia Allah ada berkata,

"Walaupun sekiranya Allah mengampuni kamu, setelah hidup disia-siakan, kamu tidak akan mencapai pangkat (makam) orang-orang yang Sholeh dan pasti kamu akan ratapi dan tangisi kerugianmu itu. Oleh itu jagalah lidahmu, matamu dan tiap-tiap anggota mu yang tujuh itu kerana semua itu mungkin menjadi pintu untuk menuju ke Neraka".

Katakanlah kepada badanmu; "Jika kamu memberontak, sesungguhnya kamu akan kuhukum"; kerana meskipun badan itu degil, ia boleh menerima arahan dan boleh dijinakkan dengan zuhud". Demikianlah tujuan memeriksa atau memperhitung diri sendiri. Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda;

"Berbahgialah orang yang beramal sekarang apa yang menguntungkannya di akhirat kelak".

Zikir , Takafur Dan Muhasabah

ZikiruLlah (mengenang atau mengingati Allah), tafakur dan muhasabah diri merupakan amalan yang patut diamalkan oleh semua insan yang bergelar hamba Allah swt. Seseorang itu hendaklah ingat bahawa Allah Melihat dan Memerhatikam semua lakuan dan fikirannya. Manusia hanya melihat yang zahir sahaja, tetapi Allah Melihat zahir dan batinnya seseorang itu. Orang yang percaya dengan ini sebenarnya dapatlah ia menguasai dan mendisiplinkan zahir dan batinnya. Jika ia tidak percaya ini, maka KAFIRLAH ia. Jika ia percaya tetapi ia bertindak berlawanan dengan kepercayaan itu, maka salah besarlah ia.

Suatu hari, seorang Negro menemui Nabi SAW. dan berkata; "Wahai Rasulullah! Saya telah melakukan banyak dosa. Adakah taubatku diterima atau tidak?".Nabi SAW. menjawab; "Ya". Kemudian Negro itu berkata lagi; "Wahai Rasulullah! Setiap kali aku membuat dosa adakah Allah Melihatnya?". Nabi SAW. menjawab lagi; "Ya"

Negro itu pun menjerit lalu mati. Sehingga seseorang itu benar-benar percaya bahawa ia sentiasa dalam pemerhatian Allah, maka tidaklah mungkin baginya membuat amalan yang baik-baik.

Seorang Sheikh ada seorang murid yang lebih disayanginya daripada murid-murid yang lain. Dengan itu murid-murid yang lain itu pun berasa dengki kepada murid yang seorang itu. Suatu hati Sheikh itu memberi tiap-tiap seorang murid itu seekor ayam dan menyuruh mereka menyembelih ayam itu di tempat yang tidak ada seseorang pun melihat ia menyembelih itu. Maka pergilah mereka tiap-tiap seorang membawa seekor ayam ke tempat yang sunyi dan menyembelih ayam di situ. Kemudian membawanya kembali kepada Sheikh mereka. Semuanya membawa ayam yang telah disembelih kepada Sheikh mereka kecuali seorang iaitu murid yang lebih disayangi oleh Sheikh itu. Murid yang seorang ini tidak menyembelih ayam itu. Ia berkata; "Saya tidak menjumpai tempat yang dimaksudkan itu kerana Allah di mana-manapun Melihat". Sheikh itu pun berkata kepada murid-murid yang lain; "Sekarang sekelian telah lihat sendiri peringkat pemuda ini. Dia telah mencapai ke taraf ingat sentiasa kepada Allah".

Apabila Zulaikha cuba menggoda Nabi Yusof, ia menutup dengan kain muka sebuah berhala yang selalu disimpannya. Nabi Yusof berkata kepadanya;

"Wahai Zulaikha, adakah kamu malu dengan batu? sedangkan dengan batu engkau malu, betapa aku tidak malu dengan Allah yang menjadikan tujuh petala langit dan bumi".

Ada seorang datang berjumpa dengan Junaid dan berkata; "Saya tidak dapat menghindarkan mataku daripada melihat perkara-perkara yang membawa dosa. Bagaimanakah saya hendak mengawalnya?". Junaid menjawab; "Dengan cara ingat iaitu Allah Melihat kamu lebih jelas dan terang lagi daripada kamu melihat orang lain".

Dalam hadis ada diterangkan bahawa Allah ada berfirman seperti demikian;

"Syurga itu ialah bagi mereka yang bercadang hendak membuat sesuatu dosa, dan kemudian mereka ingat bahawa Aku sentiasa Memandang mereka, lalu mereka pun menahan diri mereka".

Abdullah Ibnu Dinar meriwayatkan;

"Satu ketika saya berjalan dengan Khalifah Omar berhampiran kota Mekah.Kami bertemu dengan seorang gembala yang sedang membawa gembalaannya. Omar berkata kepada gembala itu; "Jualkan pada saya seekor kambing itu". Gembala itu menjawab; "Kambing itu bukan saya punya, tuan saya yang mempunyainya."Kemudian untuk mencubanya, Omar berkata; "Baiklah, kamu katakanlah kepada tuanmu bahawa yang seekor itu telah dibaham oleh serigala". Budak gembala itu menjawab; "Tidak, sesungguhnya tuan saya tidak tahu tetapi Allah Mengetahuinya". Mendengar jawapan budak gembala itu, bertitisanlah air mata Omar. Beliau pun pergi berjumpa dengan tuan budak gembala kambing itu lalu membelinya dan membebaskannya. Beliau berkata budak itu; "Kerana kata-katamu itu, engkau bebas dalam dunia dan akan bebas juga di akhirat kelak".

Ada dua darjat berkenaan Zikir Allah (mengenang Allah) ini. Darjat pertama ialah darjat Aulia Allah. Mereka bertafakur dan tenggelam dalam tafakur mereka dalam mengenang Keagungan dan Kemuliaan Allah. Dan tidak ada tempat langsung dalam hati mereka untuk 'gairuLlah" (selain dari Allah). Ini adalah darjat zikir Allah yang bawah, kerana apabila hati seseorang itu telah tetap dan anggotanya dikawal penuh oleh hatinya hingga mereka dapat mengawal mereka dari perkara-perkara yang halal atau yang haram, maka tidak perlulah lagi ia sebarang alat atau penahan untuk menghalang dosa. Maka kepada zikir Allah seperti inilah Nabi Muhammad (S.W.T) maksudkan apabila ia berkata,

"Orang yang bangun pagi-pagi dengan hanya Allah dalam hatinya, Allah akan memeliharanya di dunia dan di akhirat."

Setengah daripada mereka golongan ini sangat asyik dan tenggelam dalam mengenang dalam mengingati Allah hinggakan kalau ada orang bercakap kepada mereka tidaklah mereka dengar, kalau orang berjalan dihadapan mereka tidaklah mereka nampak. Mereka seolah-olah diam seperti dinding. Seseorang Wali Allah ada berkata demikian: "Suatu hari saya melintasi tempat ahli-ahli pemanah sedang bertanding memanah. Tidak berapa jauh dari situ ada seorang duduk seseorang diri. Saya pergi kepadanya dan cuba hendak berbual dengannya.Tetapi ia menjawab, "Mengenang Allah itu lebih baik dari berbual". Saya bertanya, "tidakkah kamu merasa keseorangan?". "Tidak" jawabnya, "Allah dan dua orang malaikat ada bersamaku". Saya bertanya kepada beliau sambil menunjukkan kepada pemanah-pemanah itu, "Antara mereka itu, yang manakah akan menang?" Beliau menjawab, "Yang itu, Allah telah beri kemenangan kepadanya." Kemudian saya bertanya, "dari manakah datangnya jalan ini?" Mendengar itu, ia merenung ke langit lalu berdiri dan pergi sambil berkata, "Oh Tuhan! Banyak hamba-hambamu mengganggu seseorang itu dalam mengingatimu!".

Seorang wali Allah bernama Syubli satu hari pergi berjumpa seorang sufi bernama Thauri. Beliau lihat Thauri duduk dengan berdiam diri dalam tafakkur hingga sehelai bulu romanya pun tidak bergerak. Syubili bertanya kepada Thauri, "Daripada siapa anda berlajar latihan bertafakkur dengan diam diri seperti itu?" Suri menjawab, "Daripada seekur kucing yang saya lihat menunggu di lubang tikus. Kucing itu lebih tetap dan diam lagi daripada ini."

Ibn Hanif meriwayatkan:

"Saya diberitahu bahawa di Bandar Thur ada seorang Syeikh dan muridnya sentiasa duduk dan tenggelam dalam zikir Allah. Saya pergi ke situ dan saya dapati kedua orang itu duduk dengan muka mereka menghadap ke kiblat. Saya memberi salam kepada mereka tiga kali. Tetapi mereka tidak menjawab. Saya berkata, "Dengan nama Allah saya minta tuan-tuan menjawab salamku". Pemuda itu mengangkat kepalanya dan menjawab,

"Wahai Ibn Hanif! dunia ini untuk sebentar waktu sahaja, dan yang sebentar itupun tinggal lagi sedikit sahaja. Anda mengganggu kami kerana meminta kami menjawab salammu itu".

Kemudian dia menundukkan kepalanya semula dan terus mendiamkan diri. Saya rasa lapar dan dahaga pada masa itu, tetapi dengan memandang mereka itu saya lupa pada diri saya. Saya terus bersama mereka dan sembahyang Zohor dan Asar bersama mereka. Saya minta mereka memberi nasihat kepada saya berkenaan kerohanian ini. Pemuda itu menjawab, "Wahai Ibni Hanif, kami merasa susah; kami tidak ada lidah yang memberi nasihat itu." Saya terus berdiri di situ tiga hari tiga malam. Kami tidak bercakap antara satu sama lain, dan tidak tidur. Kemudian saya berkata kepada diri saya sendiri, saya akan pohon kepada Allah supaya mereka menasihati saya." Pemuda itu mengangkat kepalanya dan berkata,

"Pergilah cari orang seperti itu, ia akan dapat membawa Allah kepada ingatan anda dan melengkapkan rasa takut kepada hatimu, dan ia akan memberi anda nasihat yang disampaikan secara diam tanpa sebarang cakap."

Demikianlah zikir Allah para Aulia iaitu melenyap dan menenggelamkan fikiran dan khayalan dalam Mengenang Allah. Zikir Mengenang Allah (ingat Allah) yang kedua ialah zikirnya "golongan kanan" iaitu yang disebut dalam Quran sebagai Ashabul Yamin. Mereka ini tahu dan kenal bahawa Allah sangat mengetahui terhadap mereka dan mereka merasa tunduk dan tawaduk di Hadirat Allah SWT tetapi tidaklah sampai mereka melenyap dan menenggelamkan fikiran dan khayalan mereka dalam mengenang Allah sahaja sehingga tidak peduli keadaan keliling mereka. Mereka sedar diri mereka dan sedar terhadap alam ini. Keadaan mereka adalah seperti seorang yang terkejut kerana didapati berkeadaan bertelanjang dan cepat-cepat menutup aurat mereka.

Golongan yang lagi satu dulu adalah seperti orang yang tiba-tiba mendapati diri mereka di majlis raja yang besar lalu ia merasa tidak tentu arah dan merasa takjub.

Golongan yang mula-mula itu memeriksa terlebih dahulu apa yang memasuki hati mereka dengan rapi sekali, kerana di hari kiamat kelak tiga soalan akan ditanya terhadap tiap-tiap lakuan. Dan tindakan yang telah dilakukan.

Pertama : "Kenapa kamu buat ini?" Kedua : "Dengan cara apa kamu membuat ini?" Ketiga : "Untuk tujuan apa kamu melakukan ini?"

Yang pertama itu disoal kerana seseorang itu hendaklah bertindak dari niat dan dorongan Ketuhanan dan bukan dorongan Syaitan dan hawa nafsu. Jika soalan itu dijawab dengan memuaskan hati, maka diadakan ujian kedua iaitu soalan secara mana tindakan itu dilakukan dengan bijak, dengan cuai, atau dengan cara tidak peduli apa. Yang ketiga, sama ada kelakuan dan tindakan itu kerana Allah semata-mata atau kerana hendakkan sanjungan manusia.

Jika seseorang itu memahami makna soalan-soalan ini, maka ia tentu berhati-hati sekali terhadap keadaan hatinya dan bagaimana ia melawan fikiran yang mungkin menimbulkan tindakannya. Sebenarnya memilih dan menapis fikiran dan khayalan itu sangatlah susah dan rumit. Barangsiapa yang tidak sanggup membuatnya hendaklah pergi berguru dengan orang-orang keruhanian. Mengaji dan berguru dengan mereka itu dapat mendatangkan cahaya ke dalam hati. Dia hendaklah menjauhkan diri dari orang-orang alim keduniaan kerana mereka ini adalah alat atau ujian syaitan.

Allah berfirman kepada Nabi Daud a.s.;

"Wahai Daud, janganlah bertanya kepada orang Alim yang mabuk dalam cintanya kepada dunia,kerana mereka akan merampas dari kamu perasaan Cinta terhadapKu".

Nabi Muhammad SAW. pernah bersabda;

"Allah kasih kepada orang yang tajam matanya terhadap perkara-perkara yang menimbulkan syak-wasangka dan tidak membiarkan akalnya diganggui oleh serangan hawa nafsu".

Akal dan pilihan sangat berkait rapat, dan orang yang akalnya tidak menguasai hawa nafsu tidak akan dapat memilih yang baik dari yang jahat.

Di samping membuat pilihan dan berhati-hati sebelum bertindak, maka seseorang itu hendaklah menghitung dan menyedari apa yang telah dilakukannya dahulu. Tiap-tiap malam periksalah hati itu dan lihatlah apa yang telah dilakukan dan sama ada telah untung atau rugi dalam perniagaan keruhaniaan ini. Ini adalah penting kerana hati itu ibarat rakan perniagaan yang jahat yang sentiasa hendak menipu dan mengilat. Kadang-kadang ia menunjukkan diri jahatnya itu. Sebaliknya topeng taat kepada Allah, agar manusia menganggap ia telah beruntung tetapi sebenarnya ia telah rugi.

Seorang Wali Allah bernama Amiya yang berumur 60 tahun telah mengira berapa hari umurnya. Maka didapati umurnya ialah selama 21,600 hari semua sekali. Beliau berkata kepada dirinya sendiri;

"Aduhai! jika saya telah melakukan satu dosa sehari, bagaimana saya hendak lari dari beban 21, 600 dosa?".

Beliau menjerit dan terus rebah. Apabila orang datang hendak mengangkatkannya, mereka telah dapati beliau telah meninggal dunia. Tetapi malang, kebanyakan orang telah lupa. Mereka tidak memperhitung diri mereka sendiri. Jika tiap-tiap satu dosa itu diibaratkan sebiji batu, maka penuhlah sebuah rumah dengan batu itu. Jika malaikat Kiraman Kaatibin meminta gaji kerana menulis dosa yang seseorang itu telah lakukan, maka tentulah habis wangnya bahkan tidak cukup untuk membayar gaji mereka itu. Orang berpuas hati membilang biji tasbih sambil berzikir nama Allah, tetapi mereka tidak ada biji tasbih untuk mengira berapa banyak percakapan sia-sia yang telah diucapkannya. Oleh kerana itulah, Khalifah Omar berkata;

"Timbanglah perkataan dan perbuatanmu sekarang sebelum ia dipertimbangkan di akhirat kelak".

Beliau sendiri sebelum pergi tidur malam hari memukul kakinya dengan comtar sambil berkata; "Apa yang telah engkau buat hari ini?".

Suatu hari Thalhah sedang sembahyang di bawah pohon-pohon kurma dan terpandang olehnya seekor burung yang jinak berterbangan di situ. Kerana memandang burung itu beliau terlupa berapa kalikah beliau sujud. Untuk menghukum dirinya kerana kelalaian itu, beliau pun memberi pohon-pohon khurma itu kepada orang lain.

Aulia Allah mengetahui hawa nafsu mereka itu selalu membawa kepada kesesatan. Oleh itu mereka berhati-hati benar dan menghukum diri mereka setiap kali mereka telah terlanggar batas.

Jika seseorang itu mendapati diri mereka telah terjauh dan menyeleweng dari sifat zuhud dan disiplin diri, maka sepatutnya beliau belajar dan meminta nasihat dari orang yang pakar dalam latihan keruhanian, supaya hati lebih bersemangat kepada sifat zuhud, disiplin diri dan akhlak yang suci itu.

Seorang Wali Allah pernah berkata,

"Apabila saya berasa merosot dalam disiplin diri, saya akan melihat Muhammad bin Abu Wasi, dan melihat beliau itu bersemangatlah hatiku sekurang-kurangnya seminggu".

Jika seseorang itu tidak dapat seseorang yang zuhud di sekitarnya, maka eloklah mengkaji riwayat Aulia Allah. Elok juga ia menasihat jiwanya seperti demikian;

"Wahai jiwaku! engkau fikir diri kau cerdik pandai dan engkau marah jika disebut bodoh. apakah engkau ini? Engkau sediakan kain baju untuk melindungi sejuk tetapi tidak bersedia untuk kembali ke akhirat.

Keadaanmu adalah seperti orang dalam musim sejuk berkata;

"Aku tidak pakai pakaian panas, cukuplah aku bertawakkal kepada Allah untuk melindungi aku dari sejuk".

Dia telah lupa bahawa Allah di samping menjadikan sejuk itu ada juga memberi petunjuk kepada manusia bagaimana membuat pakaian untuk mengelakkan dari sejuk dan dingin; dan disediakan alat dan bahan-bahan untuk membuat pakaian itu. Ingatlah jiwa! hukuman kepadamu di akhirat kelak bukanlah kerana Allah murka kerana tidak patuhmu; dan janganlah berkata;

"Bagaimana pula dosaku boleh menyakiti Allah?

Adakah hawa nafsumu sendiri yang menyalakan api neraka di dalam dirimu sendiri; seperti orang yang memakan makanan yang membawa penyakit. Penyakit itu terjadi dalam badan manusia, dan bukan kerana doktor marah kepadanya kerana tidak mematuhi perintahnya.

"Tidak malukah kamu wahai jiwa! kerana kamu sangat cenderung kepada dunia!!!. Jika kamu tidak percaya dengan Syurga dan Neraka, maka sekurang-kurangnya percayalah kepada mati yang akan merampas dari kamu semua keseronokkan kedunian dan membuat kamu merasa kepayahan berpisah dari dunia ini. emakin kuat perkaitanmu kepada dunia, maka semakin pedihlah yang kamu rasai”

Apakah dunia ini bagimu? Jika seluruh dunia ini dari Timur ke Barat kepunyaanmu dan menyembahmu, namun itu tidaklah lama. Akan semuanya hancur jadi abu bersama dirimu sendiri dan namamu makin lama makin dilupakan; seperti Raja-raja yang dahulu sebelum kamu. Setelah kamu melihat bagaimana kecil dan kerdilnya kamu di dunia ini, maka kenapa kamu beriya-ya benar dan bergila-gila benar menjual keseronokan dan kebahagiaan yang abadi dan memilih kebahagian yang sementara seperti menjual intan berlian yang mahal untuk mendapatkan kaca yang tidak berharga, dan menjadikan kamu bahan ketawa orang lain?"

Neraka Kerohanian

Salam Maal Hijrah semua, semoga penghijrahan Rasul SAW dan para sahabat baginda menjadi inspirasi buat diri kita untuk sama-sama berhijrah dari kejahilan kepada keilmuan, dari yang sudah baik kepada bertambah baik, dari yang buta menjadi celik, dari yang lalai kepada yang sedar, dari tidur kepada jaga dan seterusnya penghijrahan yang hakiki ialah hati yang "lupa" tentang Allah menjadi ingat, syuhud dan makrifat dengan Allah swt..... kita menyambung perbicaraan kita dalam kitab kimia kebahagiaan..... Petikan dari perbincangan yang lalu;

dan firman Allah Taala lagi; "Neraka Jahanam meliputi orang-orang Kafir" (Al-Taubah:49)

Dia (Allah) tidak berkata; "Akan meliputi mereka". kerana liputan itu telah pun ada sekarang juga.

Mungkin ada orang yang membantah; "Jika demikian keadaannya, siapakah yang akan dapat melepaskan diri dari neraka, kerana sedikit sebanyak manusia itu pasti ada neraka kepada dunia?

Kami menjawab:

Ada juga orang, khususnya Faqir. Mereka ini melaksanakan kaitan cintanya kepada dunia. Walaupun begitu, ada juga orang yang beristeri, beranak, berumah-tangga dan lain-lain lagi; walaupun mereka ada kaitan dengan semua itu, namun Cinta mereka terhadap Allah tidak ada tandingan dan mereka lebih Cinta kepada Allah melebihi dari yang lain.

Mereka ini adalah seperti orang yang ada berumah-tangga di sebuah bandar yang dicintainya. Tetapi apabila Raja atau Pemerintah memberinya jawatan untuk bertugas di bandar yang lain, dia rela berpindah ke bandar itu kerana jawatan itu lebih dicintai dari rumah-tangganya di bandar itu. Ramai Ambiya' dan Aulia yang sedemikian ini.

Sebilangan besar pula manusia yang ada sedikit Cinta kepada Allah, tetapi sangat cinta kepada dunia. Maka dengan itu mereka terpaksalah menerima azab di akhirat sebelum mereka dibersihkan dari karat-karat cinta kepada dunia itu. Ramai orang yang mengaku Cinta kepada Allah, tetapi seseorang itu boleh menilainya dan menguji dirinya dengan memerhatikan ke manakah cenderung lebih berat kalau perintah Allah bertelagah dengan kehendak nafsunya? Orang yang mengatakan Cinta kepada Allah tetapi tidak dapat menahan dirinya dari menderhaka dan tidak patuh kepada Allah, maka orang itu sebenarnya bercakap bohong.

Kita telah perhatikan di atas bahawa satu jenis Neraka Keruhanian ialah berpisah secara paksa dari keduniaan dengan keadaan itu sangat terkait dan terikat dengan keduniaan itu. Banyak pula orang yang membawa dalam diri mereka, kuman-kuman neraka seperti ini tanpa mereka sedari. Di akhirat kelak, mereka akan rasai diri mereka seperti Raja yang diturunkan dari takhta kerajaan dan dijadikan alat gelak ketawa orang ramai, pada hal sebelum ini mereka hidup dengan mewah dan senang lenang.

Jenis Neraka Keruhanian yang kedua ialah Malu; iaitu apabila manusia itu tersedar dan melihat keadaan perbuatan yang dilakukan dalam keadaan hakiki yang sebenarnya tanpa selindung lagi. Orang yang membuat fitnah akan melihat dirinya dalam bentuk orang yang memakan daging saudaranya sendiri; dan orang yang Hasad dengki seperti yang melempar batu kepada tembok dan batu itu melantun ke belakang lalu mengenai mata anaknya sendiri.

Jenis neraka seperti ini, iaitu Malu, bolehlah dilambangkan dengan ibarat berikut. Katakanlah seorang Raja merayakan perkahwinan anak lelakinya. Di waktu petang, orang muda itu pergi bersama sahabatnya berjalan-jalan dan tidak lama kemudian kembali ke Istana (sebagaimana yang disangkanya dalam keadaan mabuk). Dia masuk ke sebuah Dewan di mana dian (lilin) sedang menyala. Ia baring. Disangkanya ia baring dekat isterinya. Besoknya, apabila ia sedar semula, terperanjatlah ia apabila dilihatnya dirinya berada dalam Rumah Mayat orang-orang Majusi. Tempat baringannya itu ialah usungan mayat itu dan bentuk orang yang disangkakan isterinya itu ialah sebenarnya mayat seorang perempuan tua yang mula hendak busuk dan reput. Ia pun keluar dari Rumah Mayat itu dengan pakaian yang kotor dan rupa yang comot. Alangkah malunya ia berjumpa dengan bapanya, Raja itu bersama dengan pengiring-pengiringnya. Demikianlah gambaran Malu yang dirasai di akhirat kelak oleh mereka yang di dunia ini Tamak Haloba dan menumpukan seluruh jiwa raga kepada apa yang mereka sangka sebagai keseronokan dan kenikmatan.

Nereka Keruhanian Yang Ketiga ialah sesal dan putus asa dan gagal mencapai tujuan hidup yang sebenarnya. Manusia dijadikan untuk Mencerminkan Cahaya Makrifat Allah. Tetapi jika ia kembali ke akhirat dengan jiwanya penuh mabuk dan karat hawa nafsu, maka gagallah ia mencapai matlamat atau tujuan hidupnya di dunia ini. Sesalan atau putus asanya boleh digambarkan demikian.

Katalah seseorang melintasi hutan yang gelap bersama kawan-kawannya. Di sana sini terlihat kilauan cahaya batu yang berwarna-warni. Kawannya memungut batu itu dan menasihatnya supaya berbuat demikian juga. Kawannya berkata, "Batu ini sangat mahal harganya di tempat yang kita akan pergi sana". Tetapi beliau mentertawakan mereka dan mengatakan mereka bodoh kerana mengharapkan keuntungan yang sia-sia yang belum tentu lagi. Dia pun terus berjalan. Akhirnya mereka pun keluarlah dari hutan yang gelap itu setelah berjalan beberapa lama. Mereka dapati batu itu sebenarnya batu Delima, Intan Berlian dan sangat bernilai dan berharga. Alangkah sesal dan putus asanya ia kerana tidak mahu mengutip batu-batu itu dahulu. Begitulah ibaratnya orang yang sesal di akhirat kelak kerana semasa mereka hidup di dunia ini mereka lalai dan tidak berusaha untuk mendapatkan intan permata kebajikan dan perbendaharaan agama.

Perjalanan Insan melalui dunia ini bolehlah dibahagikan kepada empat peringkat;

Peringkat Nafsu; Peringkat Percubaan; Peringkat Naluri dan Peringkat Berakal.

Dalam Peringkat Pertama (Nafsu), manusia itu adalah ibarat kelkatu. Meskipun ia ada penglihatan, tetapi tidak ada ingatan. Ia terus membakar dirinya berkali-kali ke dalam api lampu yang sama itu juga.

Dalam Peringkat Kedua (Percubaan), ia adalah ibarat anjing, apabila dipukul sekali akan lari apabila melihat kayu selepas itu.

Dalam Peringkat Ketiga (Naluri), manusia itu ibarat kuda atau biri-biri. Kedua-duanya akan lari secara naluri, apabila melihat singa atau serigala; kerana haiwan itu adalah musuhnya semula jadi. Tetapi mereka tidak lari apabila melihat unta atau lembu, meskipun binatang-binatang itu lebih besar dari badannya.

Dalam Peringkat Keempat (Berakal), manusia itu melampaui perbatasan binatang dan boleh sedikit sebanyak melihat ke hari muka dan bersedia untuk hari yang akan datang.

Pergerakannya mula-mula bolehlah diumpamakan seperti berjalan di atas tanah, kemudian mengembara atas lautan dalam kapal, kemudian ia mengenal hakikat-hakikat hingga dapat berjalan di atas air laut. Di atas peringkat itu ada satu taraf lagi yang diketahui oleh Ambiya dan Aulia Allah; kemajuan mereka diibaratkan sebagai burung terbang.

Oleh yang demikian, manusia dapat wujud dalam beberapa peringkat dari binatang hingga ke Malaikat. Di sini juga terletak bahayanya, iaitu mungkin terjatuh ke taraf yang paling bawah dan rendah. Dalam Al-Qur'an ada termaktub,

"Kami jadikan beban itu (iaitu tanggungjawab atau kebebasan memilih) kepada langit dan bumi dan gunung-ganang, mereka itu enggan menerimanya, tetapi manusia menerimanya. Sesungguhnya manusia itu zalim". (Al-ahzab:72)

Binatang dan Malaikat tidak dapat menukar peringkat atau pangkat yang ditetapkan kepada mereka, tetapi manusia boleh turun ke tempat atau peringkat yang paling bawah, atau pun naik ke peringkat Malaikat. Inilah maksud "beban" yang dimaksudkan itu. Kebanyakan manusia memilih tempat dalam dua peringkat yang bawah seperti tersebut dahulu. Tempat yang tetap selalunya tidak disukai oleh orang yang mengembara.

Kebanyakan mereka dalam peringkat atau kelas yang bawah itu kerana tidak ada kepercayaan yang penuh dan tetap tentang hari Akhirat itu. Kata mereka, Neraka itu adalah rekaan orang-orang Agama sahaja untuk menakut-nakutkan orang ramai, dan mereka pandang hina terhadap orang-orang Agama. Untuk bertengkar dengan mereka ini tidaklah berguna. Cukuplah bertanya kepada mereka demikian untuk membuat mereka merenung sebentarnya;

"Adakah kamu anggap 124, 000 orang Nabi dan juga Aulia Allah itu semuanya percaya dengan Hari Akhirat itu semuanya salah dan kamu itu sahaja yang betul?".

Jika ia menjawab, "Ya, saya percaya sebagaimana percaya saya dua itu lebih dari satu. Saya penuh yakin tidak ada Ruh dan tidak ada bahagia dan hidup sengsara di Hari Akhirat".

Maka orang seperti itu tidak ada harapan lagi. Biarkanlah mereka di situ. Kenanglah nasihat Al-Qur'an;

"Meskipun kamu ajak mereka ke jalan yang benar, namun mereka tidak akan menerimanya" (Al-Kahfi:57)

Tetapi sekiranya orang itu berkata bahawa hidup di Akhirat itu adalah satu kemungkinan tetapi doktrin (kepercayaan) itu penuh dengan keraguan dan kesulitan. Maka tidaklah mungkin untuk membuat keputusan sama ada perkara itu betul atau tidak. Maka bolehlah dikatakan kepadanya;

"Lebih baik kamu fikirkan. Kalau kamu lapar hendak makan dan tiba-tiba ada orang berkata kepadamu dalam makanan itu ada racun yang diludahkan oleh seekor ular yang bisa. Kamu mungkin enggan memakan makanan itu dan kamu rasa lebih baik tahankan sahaja lapar itu, meskipun orang yang berkata itu mungkin berbohong atau melawak sahaja".

Atau pun katalah kamu sedang sakit dan seorang pembuat Azimat berkata;

"Beri saya RM1.00 dan saya boleh tuliskan satu Azimat untuk kamu gantung pada leher dan Azimat itu akan menyembuhkan sakitmu".

Mungkin kamu memberi orang itu wang untuk membuat Azimat itu dengan harapan mendapat faedah dari Azimat itu. Atau jika seorang ahli Nujum berkata;

"Apabila bulan masuk ke falak bintang yang tertentu, minumlah sekian-sekian ubat, maka sembuhlah kamu".

Meskipun tidak percaya dengan Ilmu Nujum, namun kamu mungkin mencubanya dengan harapan supaya disembuhkan. Tidakkah kamu terfikir bahawa adalah lebih baik bergantung kepada cakap-cakap Ambiya', Auliya' dan orang-orang Sholeh itu tentang Hari Akhirat itu lebih baik daripada percaya kepada penulis Azimat atau Ahli Nujum? Ada orang yang belayar dalam kapal merempuh lautan yang penuh ombak gelombang yang menelan manusia semata-mata dengan tujuan untuk mendapat keuntungan yang sedikit, kenapa pula kamu tidak berkorban sedikit pun di dunia ini kerana untuk kebahagiaan yang abadi di Akhirat kelak?

Pernah Sayyidina Ali berkata kepada seorang Kafir; "Jika pendapat kamu betul, kedua kita akan teruklah di Akhirat kelak, tetapi jika kami betul, maka terlepaslah kami dan kamulah yang akan menderita". Beliau berkata demikian bukan kerana beliau ragu-ragu, tetapi semata-mata untuk menyedarkan orang Kafir itu.

Dari apa yang kita baca di atas itu, maka tahulah kita bahawa tugas utama hidup manusia di dunia ini ialah untuk membuat persediaan bagi Akhirat. Walaupun seorang itu ragu dan waham tentang hidup di Akhirat itu, Akal mencadangkan supaya orang itu bertindak seolah-olah ianya ada, memandangkan perkara-perkara besar yang akan ditempuh kelak. Selamat sejahteralah mereka yang menurut ajaran Allah dan RasulNya.

Cinta Allah

Cinta kepada Allah ini adalah perkara yang paling tinggi sekali dan itulah tujuan kita yang terakhir. Kita telah bercakap berkenaan bahaya kerohanian yang akan menghalang cinta kepada Allah dalam hati manusia, dan kita telah bercakap berkenaan berbagai sifat-sifat yang baik sebagai keperluan asas menuju Cinta Allah itu.

Kesempurnaan manusia itu terletak dalam Cinta kepada Allah ini. Cinta kepada Allah ini hendaklah menakluki dan menguasai hati manusia itu seluruhnya. Kalau pun tidak dapat seluruhnya, maka sekurang-kurangnya hati itu hendaklah cinta kepada Allah melebihi cinta kepada yang lain.

Sebenarnya mengetahui Cinta Ilahi ini bukanlah satu perkara yang senang sehingga ada satu golongan orang bijak pandai agama yang langsung menafikan cinta kepada Allah atau Cinta Ilahi itu. Mereka tidak percaya manusia boleh Mencintai Allah Subhanahuwa Taala kerana Allah itu bukanlah sejenis dengan manusia. Kata mereka; maksud Cinta Ilahi itu adalah semata-mata tunduk dan patuh kepada Allah sahaja.

Sebenarnya mereka yang berpendapat demikian itu adalah orang yang tidak tahu apakah hakikatnya agama itu. Semua orang Islam bersetuju bahawa cinta kepada Allah (cinta Allah) itu adalah satu tugas. Allah ada berfirman berkenaan dengan orang-orang mukmin;

"Allah Cinta kepada mereka dan mereka Cinta kepada Allah".

Nabi pernah bersabda;

"Belum sempurna imam seseorang itu hingga ia Mencintai Allah dan Rasulnya lebih daripada yang lain".

Apabila malaikat maut datang hendak mengambil nyawa Nabi Ibrahim, Nabi Ibrahim berkata,"Pernahkah engkau melihat sahabat mengambil nyawa sahabat?" Allah berfirman, "Pernahkah engkau melihat sahabat tidak mahu melihat sahabatnya?" Kemudian Nabi Ibrahim berkata, "Wahai Izrail! Ambillah nyawaku!".

Doa ini diajar oleh Nabi kepada sahabatnya;

"Ya Allah, kurniakanlah kepada ku Cinta terhadap Mu dan Cinta kepada mereka yang Mencintai mu, dan apa saja yang membawa aku hampir kepada CintaMu, dan jadikanlah CintaMu itu lebih berharga kepadaku dari air sejuk kepada orang yang dahaga".

Hasan Basri ada berkata;

"Orang yang kenal Allah akan Mencintai Allah, dan orang yang mengenal dunia akan benci kepada dunia itu".

Sekarang marilah kita bincangkan pula berkenaan keadaan cinta itu. Bolehlah ditakrifkan bahawa cinta itu adalah kecenderungan kepada sesuatu yang seronok atau nyaman. Ini nyata sekali pada dari yang lima (pancaindera) iaitu tiap-tiap satunya mencintai apa yang memberi keseronokkan atau kepuasan kepadanya. Mata cinta kepada bentuk-bentuk yang indah. Telinga cinta kepada bunyi-bunyinya yang merdu, dan sebagainya. Inilah jenis cinta yang kita ada dan binatang pun ada.

Tetapi ada dari yang keenam atau keupayaan pandangan yang terletak dalam hati, dan ini tidak ada pada binatang. Dengan melalui inilah kita mengenal keindahan dan keagungan keruhanian. Oleh itu, mereka yang terpengaruh dengan kehendak-kehendak jasmaniah dan keduniaan saja tidak dapat mengerti apa yang dimaksudkan oleh Nabi apabila baginda berkata bahawa baginda cinta kepada sembahyang melebihi dari cintanya kepada perempuan dan bau harum wangi, meskipun perempuan dan wangi-wanginya itu disukai juga oleh baginda. Tetapi siapa yang mata batinnya terbuka untuk melihat keindahan dan kesempurnaan Ilahi akan memandang rendah kepada semua perkara-perkara yang zahir walau bagaimana cantik sekalipun.

Orang yang memandang zahir saja akan berkata bahawa kecantikan itu terletak pada warna kulit yang putih dan merah, kaki dan tangan yang eloknya dan lawa bentuknya dan sebagainya lagi, tetapi orang ini buta kepada kecantikan akhlak, seperi apa yang dikatakan orang bahawa seseorang itu mempunyai sifat-sifat akhlak yang "indah". Tetapi bagi mereka yang mempunyai pandangan batin dapat mencintai orang-orang besar yang telah kembali ke alam baka, seperti Khalifah Umar dan Abu Bakar misalnya, kerana kedua-dua orang besar ini mempunyai sifat-sifat yang agong dan mulia, meskipun badan mereka telah hancur menjadi tanah. Cinta seperti ini bukan memandang kepada sifat-sifat zahir sahaja, tetapi memandang kepada sifat-sifat batin. Bahkan apabila kita hendak menimbulkan cinta dalam hati kanak-kanak terhadap seseorang, maka kita tidak memperihalkan keindahan bentuk zahirnya, dan lain-lain, tetapi kita perihalkan keindahan-keindahan batinnya.

Apabila kita gunakan perinsip ini terhadap cinta kepada Allah, maka kita akan dapati bahawa Dia sajalah sepatutnya kita Cinta. Mereka yang tidak Mencintai Allah itu ialah kerana mereka tidak Mengenal Allah itu. Apa sahaja yang kita cinta kepada seseorang itu, kita cintai kerana itu adalah bayangan Allah. Kerana inilah kita cinta kepada Muhammad (S.W.T.) kerana baginda adalah Rasul dan kekasih Allah; dan cinta kepada orang-orang alim dan orang-orang warak itu adalah sebenarnya cinta kepada Allah.

Kita akan lihat ini lebih jelas jika kita perhatikan apakah sebab-sebabnya yang menyemarakkan cinta.

Sebab pertama ialah, bahawa seseorang itu cinta kepada dirinya sendiri dan menyempurnakan keadaannya sendiri. Ini membawanya secara langsung menuju Cinta kepada Allah, kerana wujudnya dan sifatnya manusia itu adalah semata-mata Kurniaan Allah sahaja. Jika tidaklah kerana kehendak Allah Subhanahuwa Taala dan KemurahanNya, manusia tidak akan lahir ke alam nyata itu. Kejadian manusia itu dan pencapaian menuju kesempurnaan adalah juga dengan kurnian Allah semata-mata. Sungguh aneh jika seseorang itu berlindung ke bawah pokok dari sinaran matahari tetapi tidak berterima kasih kepada pokok itu. Begitu jugalah jika tidak kerana Allah, manusia tidak akan wujud dan tidak akan ada mempunyai sifat-sifat langsung. Oleh itu, kenapa manusia itu tidak Cinta kepada Allah? Jika tidak cinta kepada Allah bererti ia tidak mengenalNya. Tanpa mengenalNya orang tidak akan Cinta kepadaNya, kerana Cinta itu timbul dari pengenalan. Orang yang bodoh saja yang tidak mengenal.

Sebab yang kedua ialah, bahawa manusia itu cinta kepada orang yang menolong dan memberi kurniaan kepada dirinya. Pada hakikatnya yang memberi pertolongan dan kurniaan itu hanya Allah sahaja. Sebenarnya apa sahaja pertolongan dan kurnian dari makhluk atau hamba itu adalah dorongan dari Allah Subhanahuwaa Taala jua. Apa sahaja niat hati untuk membuat kebaikan kepada orang lain, sama ada keinginan untuk maju dalam bidang agama atau untuk mendapatkan nama yang baik; maka Allah itulah pendorong yang menimbulkan niat, keinginan dan usaha untuk mencapai apa yang dicinta itu.

Sebab yang ketiga ialah cinta yang ditimbulkan dengan cara renungan atau tafakur tentang Sifat-sifat Allah, Kuasa dan KebijaksanaanNya. Dan bermula Kekuasaan dan kebijaksanaan manusia itu adalah bayangan yang amat kecil dari Kekuasaan dan Kebijaksanaan Allah Subhanahuwa Taala jua. Cinta ini adalah seperti cinta yang kita rasai terhadap orang-orang besar di zaman lampau, umpama Imam Malik dan Imam Syafie meskipun kita tidak akan menjangka menerima sebarang faedah peribadi dari mereka itu, dan dengan itu adalah jenis yang tidak mencari untung. Allah berfirman kepada Nabi Daud,

"Hamba yang paling aku Cintai ialah mereka yang mencari Aku bukan kerana takut hukumKu atau hendakkan KurniaanKu, tetapi adalah semata-mata kerana Aku ini Tuhan".

Dalam kitab Zabur ada tertulis,

"Siapakah yang lebih melanggar batas daripada orang yang menyembahKu kerana takutkan Neraka atau berkehendakkan Syurga? Jika tidak aku jadikan Surga dan Neraka itu tidakkah Aku ini patut disembah?".

Sebab yang keempat berkenaan cinta ini ialah kerana perkaitan rapat antara manusia dan Tuhan, yang maksudkan oleh Nabi dalam sabdanya;

"Sesungguhnya Allah jadikan manusia menurut bayanganNya"

Selanjutnya Allah berfirman;

"HambaKu mencari kehampiran denganKu, supaya Aku jadikan dia kawanKu, dan bila Aku jadikan ia kawanku, jadilah Aku telinganya, matanya dan lidahnya".

Allah berfirman juga kepada Nabi Musa;

"Aku sakit, engkau tidak mengungjungiKu."Nabi Musa menjawab, "Hai Tuhan, Engkau itu Tuhan langit dan bumi, bagaimana engkau boleh sakit?" Allah menjawab, "Seorang hambaKu sakit, kalau engkau mengunjungi dia, maka engkau mengunjungi Aku."

Ini adalah satu perkara yang agak bahaya hendak dikaji berlarutan kerana ia tidak terjangkau oleh pengetahuan orang awam, bahkan yang bijak pandai pun mungkin tumbang dalam perjalanan perkara ini, lalu menganggap ada percantuman atau penjelmaan Tuhan dalam manusia. Tambahan pula perkara kehampiran hamba dengan Tuhan ini dibangkang oleh Alim Ulama' yang tersebut di atas dulu kerana mereka berpendapat bahawa manusia itu tidak dapat mencintai Allah oleh sebab Allah bukan sejenis manusia. Walau pun berapa jauh jaraknya antara mereka, namun manusia boleh mencintai Allah kerana kehampiran itu ada ditunjukkan oleh sabda Nabi

"Allah jadikan manusia menurut rupanya."

Untuk mendapat dan menjejaki maksud sabda Nabi yang penuh dan melimpah dengan lautan hikmah zahir dan batin ini, perlulah diambil pengajaran dari kalangan ulama yang muqarrabin yang arifbiLlah (ahli dalam KeTuhanan) dari kalangan Aulia Allah yang apabila bercakap, hanya akan mengungkapkan sesuatu yang didatangi dari Alam Tinggi; bukan beralaskan sesuatu kepentingan atau pengaruh hawa nafsunya. Ilmu mereka adalah pencampakkan Ilham dari Allah Taala yang didapati terus dari Allah sebagaimana yang telah ditegaskan oleh Imam Ghazali dalam karyanya Al-Risalutul lil Duniyyah sebagaimana berikut;

Ilham adalah kesan Wahyu. Wahyu adalah penerangan Urusan Ghoibi manakala Ilham ialah pemaparannya. Ilmu yang didapati menerusi Ilham dinamakan Ilmu Laduni.

Ilmu Laduni ialah ilmu yang tidak ada perantaraan dalam mendapatkannya di antara jiwa dan Allah Taala. Ia adalah seperti cahaya yang datang dari lampu Qhaib jatuh ke atas Qalbu yang bersih, kosong lagi halus (Lathif).

Tanda Tanda Cinta Allah

Ramai orang berkata ia Cinta kepada Allah Subhanahuwa Taala. Katanya itu hendaklah diuji sama ada tulen atau hanya palsu.

Ujian pertama ialah; Dia hendaklah tidak benci kepada mati kerana tidak ada orang yang enggan bertemu dengan sahabatnya. Nabi Muhammad saw bersabda;

"Siapa yang ingin melihat Allah, Allah ingin melihat dia."

Memang benar ada juga orang yang ikhlas cintanya kepada Allah berasa gentar apabila mengingat kedatangan mati sebelum ia siap membuat persediaan untuk pulang ke akhirat, tetapi jika betul-betul ikhlas dia akan bertambah rajin berusaha lagi untuk membuat persediaan itu.

Ujian kedua ialah ia mestilah bersedia mengorbankan kehendaknya untuk menurut kehendak Allah dan sedaya upaya menghampirkan diri kepada Allah dan benci kepada apa sahaja yang menjauhkan dirinya dengan Allah. Dosa yang dilakukan oleh seseorang itu bukanlah bukti ia tidak cinta kepada Allah langsung tetapi itu membuktikan yang ia tidak menyintai Allah sepenuh jiwa raganya. Fudhoil bin Iyadh seorang wali Allah berkata kepada seorang lelaki;

"Jika sesiapa bertanya kepada mu samada kamu cinta kepada Allah, hendaklah kamu diam kerana jika kamu kata: "Saya tidak cinta kepadaNya", maka kamu kafir dan jika kamu berkata, "Saya cinta", maka perbuatan kamu berlawanan dengan katamu."

Ujian yang ketiga ialah ingat kepada Allah itu mestilah sentiasa ada dalam hati manusia itu tanpa ditekan atau diusahakan benar, kerana apa yang kita cinta itu mestilah sentiasa kita ingat. Sekiranya cinta itu sempurna, ia tidak akan lupa yang dicintainya itu. Ada juga kemungkinan bahawa sementara cinta kepada Allah itu tidak mengambil tempat yang utama dalam hati seseorang itu, maka cinta kepada menyintai Allah itu mungkin mengambil tempat jua, kerana cinta itu satu perkara dan cinta kepada cinta itu adalah seperkara lain pula.

Ujian keempat kemudian menunjukkan adanya cinta kepada Allah ialah bahawa seseorang itu cinta kepada Al-Quran, iaitu Kalam Allah, dan cinta kepada Muhammad iaitu Rasul Allah. Jika cintanya benar-benar kuat, ia akan cinta kepada semua orang kerana semua manusia itu adalah hamba Allah. Bahkan cintanya meliputi semua makhluk, kerana orang yang kasih atau cinta kepada seseorang itu tentulah kasih pula kepada kerja-kerja yang dibuat oleh kekasihnya itu dan cintanya juga kepada tulisan atau karangannya.

Ujian kelima ialah ia suka duduk bersendirian untuk maksud beribadat dan ia suka malam itu lekas datang agar dapat berbicara dengan rakan atau sahabatnya tanpa ada yang menggangu. Jika ia suka berbual-bual di siang hari dan tidur di malam hari maka itu menunjukkan cintanya tidak sempurna. Allah berfirman kepada Nabi Daud,

"Janganlah terlampau karib dengan manusia, kerana ada dua jenis manusia tersingkir dari MajlisKu: iaitu mereka yang bertungkus mencari ganjaran dan menjadi pemalas apabila mereka mendapat ganjaran itu; dan mereka yang mementingkan diri mereka sendiri lalu melampaui aku. Tanda tidak redhanya aku ialah aku biarkan mereka begitu sahaja."

Pada hakikatnya, jika cinta kepada Allah itu benar-benar mengambil tempat seluruhnya di dalam hati seseorang itu, maka cintanya kepada yang lain itu tidak akan dapat mengambil tempat langsung ke dalam hati itu. Seorang dari Bani Israel telah menjadi kebiasaan sembahyang di malam hari. Tetapi apabila melihat burung bernyanyian di sepohon pokok dengan merdu sekali, dia pun sembahyang di bawah pokok itu supaya dapat menikmati nyanyian burung itu. Allah menyuruh Nabi Daud pergi berjumpa dia dan berkata,

"Engkau telah mencampurkan cinta kepada nyanyian burung dengan cinta kepadaKu, Martabat engkau di kalangan Auliya' Allah telah diturunkan,"

Sebaliknya ada pula orang yang terlalu cinta kepada Allah, suatu hari sedang ia melakukan ibadatnya kepada Allah rumahnya telah terbakar, tetapi ia tidak nampak dan sedar rumahnya terbakar.

Yang keenam ialah ibadatnya menjadi senang sekali. Seorang Wali Allah ada berkata, "Dalam tiga puluh tahun yang pertama saya melakukan sembahyang malam dengan susah payah sekali, tetapi tiga puluh yang kedua sembahyang itu menjadi seronok dan lazat pula kepada saya." Apabila cinta kepada Allah itu sempuna, maka tidak ada kesoronokan yang setanding dengan keseronokan ibadat.

Yang ketujuh ialah orang yang cinta kepada Allah itu akan cinta kepada mereka yang taat kepada Allah dan mereka benci kepada orang-orang kafir dan orang-orang yang derhaka kepada Allah. Al-Quran telah menyatakan "mereka itu bersikap kasar kepada orang-orang kafir dan berkasih sayang sesama mereka sendiri." Suatu masa, Nabi bertanya kepada Allah, "Wahai Tuhan, siapakah kekasihmu?" Terdengarlah jawapan,

"Siapa yang berpegang teguh kepadaKu seperti bayi dengan ibunya, mengambil perlindungan dengan MengingatiKu seperti burung mencari perlindungan disarangnya, dan yang marah melihat dosa seperti singa yang marah yang tidak takut kepada apa dan siapa pun."

Tidak Ada Daya dan Tidak Ada Kuasa Melainkan Kekuasaan Allah

Tuesday, 15 July 2014

Al-Quran Dan Manusia

Hari ini masyarakat banyak membuat pentafsiran kebenaran mengikut pandangan mereka. Adakalanya perkara yang bukannya masalah dianggap masalah, adakalanya perkara yang baik dianggap tidak baik, adakalanya kebenaran dianggap batil dan adakalanya kebatilan itu dianggap kebenaran. Kekeliruan ini (berlaku) kerana mereka tidak meletakkan kayu ukur kepada Al-Quran, As-Sunnah dan pandangan ulama-ulama yang muktabar.

Berbeza pendapat adalah amat menepati dengan ruh Islam namun ianya mestilah mengikut prinsip-prinsip Islam. Jika kita rasa kurang bersetuju dengan satu pendapat ulama muktabar, hendaklah kita menolaknya dengan penuh kesopanan terhadap ulama dan menggunakan hujah ulama muktabar yang lain yang sama kekuatan ilmunya. (Imam) empat mazhab amat menghormati ilmu dikalangan mereka, mempunyai hubungan peribadi yang begitu akrab walaupun mereka banyak berselisih pendapat dalam beberapa hal. Mengkritik pendapat ulama memerlukan ilmu seperti mereka sebagaimana pepatah mengatakan, “Hanya batu besar yang boleh menolak batu besar”. Ia bagi mengelakkan kritikan atau pandangan (dibuat oleh) orang yang tiada mempunyai disiplin ilmu yang betul dan ianya berdasarkan emosi, nafsu atau suasana sekeliling.

Apabila manusia hilang kayu pengukurnya, mereka menggunakan akal sebagai sandaran sedangkan akal amat lemah dalam menentukan kebenaran, ianya amat kerdil pada alam ini, hanya sedikit pengetahuan yang dibukakan kepadanya. Akal hanya memberi satu keputusan berdasarkan fakta dan fakta itu banyak dipengaruhi oleh logik, kajian, suasana atau khabaran sedangkan segalanya itu tiadalah menjamin kebenaran. Apabila akal menjadi sandaran kebenaran, maka dengan sendirinya kebenaran akan berlaku mengikut pentafsiran akal mereka. Apabila adanya kaum yang berfikir bahawa kehidupan tanpa perkahwinan tiada salah kerana dilihat perkahwinan sebagai satu penghalang kebebasan, maka ianya menjadi kebenaran bagi mereka, (malah) orang berkahwin dilihat tiada tamadun.

Apabila seorang wanita mengatakan bahawa tiada salah untuk berbogel jika ianya untuk tujuan seni, maka jika ada golongan yang menentangnya dianggap tiada memahami seni. Jika ada yang mengatakan tiada salah berzina jika ianya suka sama suka, maka zina akan menjadi satu kebaikan dalam pentafsiran mereka. Manusia akan bebas mentafsirkan kebenaran mengikut kefahaman mereka yang sesuai dengan budaya mereka sehingga perkahwinan lelaki sesama lelaki, perempuan sesama perempuan dibenarkan di atas asas hak kebebasan manusia.

Dalam Islam, golongan yang banyak mentafsirkan Islam mengikut logik adalah terdiri dari golongan Muktazilah dan Sekular sehingga mereka berpendapat bahawa Tuhan tiada kuasa dalam menentukan kehidupan manusia. Hari ini golongan ini begitu hebat untuk memperjuangkan Islam mengikut pandangan logik mereka, sehingga jika terdapat dalam Islam sesuatu yang tidak sesuai dengan akal mereka, mereka bangun menyuarakan (desakan) supaya dibuat kajian semula. Slogan bahawa Islam itu indah dan adil menjadi tema perjuangan namun keadilan yang dimaksudkan juga mengikut takrif mereka.

Dalam Islam, satu perkara yang sudah menjadi nyata nas dan disepakati ijma’ ulama, tidak boleh lagi dibuka ruang untuk dibuat kajian seperti kewajiban solat lima waktu, bilangan rakaatnya, puasa di bulan Ramadhan, mengeluarkan zakat, mengerjakan haji dan sebagainya. Yang dibolehkan ialah perbincangan dalam perkara yang tidak nyata dalam nas seperti kewajiban membaca Bismillah (secara) kuat atau perlahan, dimanakah kedudukan tangan ketika membaca al-Fatihah dan sebagainya.

Janganlah terkeliru dengan kehebatan akal, berpeganglah dengan ajaran Islam tanpa menjadikan akal sebagai sandaran. Setiap arahan Allah yang datang, hendaklah didengar dan dipatuhi walaupun tiada menepati dengan logik akal kita. Jika Al-Quran memerintah supaya tidak boleh bergaul lelaki dan perempuan yang tiada muhrim, janganlah kita menjawab kita tiada apa-apa, hanyalah (hubungan) abang angkat atau adik angkat sahaja. Jika Islam menyuruh kita memisahkan tempat tidur anak lelaki dan perempuan, janganlah dijawab ‘takkan adik beradik pun ada nafsu’, begitulah juga persoalan-persoalan yang lain sama ada yang kecil atau perkara yang besar.

Kalau kita melihat sejarah para sahabat-sahabat Nabi SAW, kita akan melihat bahawa mereka adalah manusia yang luar biasa, banyak kelakuan dan perkataan mereka diluar pemikiran manusia biasa. Inilah yang dianggap oleh masyarakat Jahiliyah di zamannya bahawa mereka terkena sihir Nabi Muhammad SAW. Ini disebabkan kehidupan para sahabat baik dari matlamat hidup, pandangan, tindak tanduk mereka amat berlawanan dengan logik akal dan suasana atau budaya yang diwarisi turun temurun oleh nenek moyang mereka.

Mereka yang dianggap gila inilah yang akhirnya bangun menguasai dunia. Hari ini mereka yang dianggap golongan pelik, gila, bodoh menjadi ikutan para pencinta Islam, mereka bagaikan bintang-bintang yang menyinari langit, mereka adalah para kekasih Allah yang terbaik di muka bumi ini. Apakah yang menyebabkan mereka menjadi golongan yang hebat ini? Tiada lain wahai saudaraku, (melainkan) jiwa mereka ini telah disentuh oleh mukjizat Al-Quran.

Apabila mukjizat Al-Quran bersentuh dengan ciptaan Tuhan yang paling sempurna dan ajaib, akan lahirlah letupan yang hebat sehingga keluarlah pada insan itu keajaiban-keajaiban yang amat luar biasa. Mereka adalah manusia yang luar biasa, mereka bukan lagi manusia biasa, segala permata-permata dalam diri mereka telah digilap sehingga mengeluarkan sinar yang menyilau mata manusia yang lain. Permata sabar, redha, cinta, rindu, tawakal, syukur, pengorbanan, berani, kuat dan sebagainya telah dihubungkan dengan ayat Allah, dididik dan dikembangkan oleh sebaik-baik Murabbi iaitu Nabi SAW sehingga sifat-sifat itu menjadi amat luar biasa. Mereka memiliki jiwa sabar yang luar biasa, kasih sayang yang luar biasa, pengorbanan yang luar biasa, keberanian yang luar biasa dan sebagainya.

Segala permasalahan kehidupan manusia khususnya masyarakat Islam, jika tidak ditarbiah mengikut Al-Quran, akan menyebabkan mereka menjadi lemah dan tidak bermaya. Yang tinggal pada mereka hanyalah warisan adat-adat dalam Islam seperti sembahyang, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Kecerdikan masyarakat hari ini diukur mengikut kelulusan peperiksaan, kekayaan, pangkat bukannya dilihat sejauh manakah mereka memahami dan menghayati Deen Allah. Nabi SAW meletakkan kefahaman dan penghayatan terhadap agama pada tempat yang tertinggi dalam ukuran kemuliaan dan kecerdikan manusia, contohnya dalam urusan jodoh, agama diletakkan sebagai perkara yang utama sebagai kayu ukur kecerdikan dan kebaikan pasangan itu.

Nabi juga mengatakan bahawa secerdik-cerdik manusia ialah mereka yang banyak mengingati mati. Bagaimanakah dikatakan cerdik seorang itu jika ia mengutamakan kehidupan dunia yang sementara dari kehidupan yang kekal abadi, dimanakah cerdiknya jika ia mengikut hawa nafsunya yang akan membinasakannya dari mujahadah nafsunya sehingga membawa ketenangan dalam kehidupannya. Bagaimanakah dikatakan cerdik jika ia lebih mendengar bisikan syaitan dari bisikan wahyu Allah SWT. Bagaimanakah dikatakan cerdik jika ia lebih mengikut perkataan dan perbuatan masyarakat atau pemimpin yang jauh dari amalan Islam dari mengikut perkataan dan perbuatan Nabi SAW. Dimanakah cerdiknya jika ia lebih mengikut orang fasik dari para Ulama dan solehin. Dimanakah cerdiknya jika kehidupannya menuju ke neraka Allah, dimanakah cerdiknya jika ia lebih bergantung pada manusia yang lemah dari bergantung pada Tuhan Yang Maha Perkasa. Dimanakah cerdiknya jika ia takbur dengan barang yang bukan miliknya kerana sesuatu yang ada pada dirinya adalah pinjaman dari Allah SWT. Persoalan ini perlulah difikirkan agar kita tidak hanyut dengan falsafah kehidupan umat Islam yang semakin hari semakin ditenggelami oleh falsafah-falsafah Barat. Segerakanlah dirimu berpaut pada bahtera Nabi Nuh (a.s), jika tidak dirimu akan tenggelam.

Nabi SAW telah bersabda bahawa umatnya akan mengikuti Yahudi sedikit demi sedikit, sehasta demi sehasta sehingga apabila mereka masuk ke lubang Dhab (biawak pasir) mereka akan mengikutinya. Justeru itu fahamilah Islam secara keseluruhan tanpa mengambil cebisan-cebisan sahaja sebagaimana firman Allah :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam agama Islam secara keseluruhan…” (Al-Baqarah : 208)

Apabila pemikiran menjadi neraca kebenaran, mereka akhirnya akan menjadi penentang kepada kebenaran tanpa disedari.

Segala permasalahan umat Islam hari ini tiadalah boleh diselesaikan hanya dengan seminar, laungan, semangat, perlambangan atau perundangan, ianya mestilah kembali kepada asas iaitu tarbiah mengikut Al-Quran dan Sunnah. Kalau dilihat masyarakat di zaman Nabi SAW, mereka hanyalah terdiri dari golongan buta huruf, pemabuk, pembunuh, penzina, pelaku sumbang mahram, penipu, pendendam, kasar, penyembah berhala, tiada diikat dengan undang-undang, memandang rendah pada golongan wanita, menjual manusia, memperhambakan manusia dan sebagainya. Namun Nabi SAW telah berjaya mengubah mereka, bukan sahaja menjadi manusia yang baik pada diri mereka tetapi mereka bangun menyebarkan kebenaran dan kebaikan Islam ke seluruh dunia.

Mereka sanggup menempuh apa jua badai yang mendatangi. Mereka datang pada manusia dengan sifat yang memperlihatkan ketenangan dan kebahagiaan, manusia tertawan pada mereka kerana kebahagiaan inilah yang dicari-cari oleh seluruh manusia. Mereka menyatakan bahawa kehidupan mereka juga dulu adalah sama seperti manusia lain, mereka juga golongan jahiliyah, mereka merasakan bahawa mereka berada dalam kehidupan yang bahagia namun mereka menyedari kesilapan mereka, dan dengan kasih sayang Allah, mereka didatangi Rasul yang memimpin tangan mereka kepada kebenaran dan kebahagiaan yang hakiki. Manusia amat percaya pada mereka, mereka mempunyai daya tarikan yang hebat bagaikan besi yang bermagnet, ramai golongan pencinta kebenaran menghulurkan tangan pada mereka untuk dibimbing dan mereka amat ikhlas dalam membimbing manusia. Dengan Al-Quranlah Nabi SAW telah berjaya mengubah manusia di padang pasir yang tiada tamadun kepada manusia yang amat hebat dalam sejarah manusia.

Manusia-manusia yang luar biasa ini masih bertebaran di dunia ini. Mereka adalah manusia yang telah disentuh oleh mukjizat Al-Quran, mereka juga menghadapi cemuhan sebagaimana cemuhan yang dilemparkan masyarakat jahiliah kepada Nabi dan para sahabat, namun bezanya serangan yang mereka hadapi ialah dari kalangan orang-orang yang mengucap kalimah Tauhid, saudara seagama mereka. Mereka hampir tenggelam (tidak dikenali) kerana keluarbiasaan yang ada pada mereka hanyalah dalam bentuk individu-individu yang berpecah, tidak sebagaimana para sahabat dalam bentuk jamaah yang kukuh. Mereka ini mudah diserang tanpa memiliki kekuatan untuk menentang namun mereka adalah golongan yang kuat jiwanya, jiwa mereka ada hubungan dengan langit, mereka tidak menghiraukan perkataan yang datang dari nilai yang rendah iaitu bumi. Mereka bagaikan gunung yang terus berpusing dengan putaran dunia tanpa terjejas dengan tiupan ribut taufan.

Jiwa mereka amat hebat, perbuatan mereka amat bercanggah dengan budaya manusia di sekelilingnya. Perkara luar biasa yang dianggap oleh mereka adalah perkara biasa bagi generasi awal Al-Quran. Al-Quran dan manusia bagaikan Gas dengan Api, apabila bertemu ia akan melahirkan letupan hebat yang boleh mengegarkan kawasan di sekelilingnya. Dari sentuhan Al-Quran inilah, lahirnya manusia seperti Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang sanggup menginfaqkan segala hartanya, dari seorang jutawan menjadi manusia yang miskin harta tetapi amat kaya jiwanya.

Sentuhan Al-Quran akan menukar jiwa manusia yang biasa kepada luar biasa. Janganlah kita hairan pada mereka yang luar biasa apalagi mengeluarkan kata-kata yang tidak baik terhadap mereka. Jawablah pada diri kita bahawa kita tidak mampu mengikuti mereka kerana jiwa kita tidak sepenuhnya menerima tarbiah Al-Quran, (sebaliknya) mereka adalah manusia yang soleh di atas muka bumi ini.

Manusia biasa amat sayang kepada harta namun manusia yang luarbiasa melihat hartanya hanyalah suatu fitnah dan amat suka mengeluarkannya dari menyimpan. Manusia biasa amat suka kepada kekayaan dan kemewahan namun manusia yang luarbiasa amat mencintai hidup yang sederhana sebagaimana Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar as-Siddiq, Saidina Umar al-Khattab yang mana mereka mampu hidup dalam kemewahan sebagai ketua negara. Manusia biasa amat sayang pada anaknya namun wanita yang luarbiasa menangis apabila tiada anak lelaki lagi untuk dihantar ke medan perang agar syahid. Wanita biasa mengharapkan suaminya pulang dari medan perang, wanita yang luarbiasa amat gembira apabila mendengar suaminya syahid di medan perang. Wanita biasa tiada mahu dirinya dimadukan, wanita yang luarbiasa meminang madunya dan bahagia bersama madunya.

Lelaki biasa tidak dapat mendidik dengan baik seorang isteri, lelaki yang luarbiasa dapat mendidik dan membahagiakan ramai isteri. Manusia biasa amat takut pada kematian, manusia luarbiasa amat merindui kematian. Manusia biasa amat cinta pada dunia, manusia yang luarbiasa amat zuhud pada dunia. Manusia biasa amat mengingati kejahatan orang padanya, manusia yang luarbiasa amat memaafkan malah memberi kebaikan pada musuhnya. Manusia biasa amat suka pada pujian dan kemayhuran, manusia luarbiasa amat membenci pujian dan kemasyhuran. Manusia biasa akan hanyut dengan kekayaan namun manusia luarbiasa tiada tenggelam dengan kekayaan seperti sifat tamak, angkuh dan sebagainya. Manusia biasa seronok dengan hawa nafsu, manusia yang luarbiasa amat seronok menentang hawa nafsunya. Manusia biasa takut dengan ujian atau musibah, manusia yang luarbiasa amat merindui musibah kerana musibah menyebabkan hatinya sentiasa terikat dengan Allah. Manusia biasa amat mencintai kenyang sedangkan manusia luarbiasa amat mencintai lapar.

Manusia biasa amat suka berdamping dengan pemerintah, sultan untuk mendapat kesenangan, manusia luar biasa amat menjauhi sultan-sultan, jika didatangi hanyalah untuk urusan agama. Manusia biasa amat suka dengan ramai pergaulan, manusia yang luar biasa amat suka bersendirian. Manusia biasa amat gerun dengan hukuman, manusia yang luar biasa mahu ia dihukum jika ia melakukan kesalahan, seperti yang terjadi ke atas wanita yang menyerah diri mahu ia direjam oleh Nabi kerana berzina walaupun Nabi melakukan pelbagai perkara supaya ia bertaubat tanpa dihukum. Ibu bapa yang biasa akan memilih bakal menantu yang kaya, berpangkat dan sebagainya, ibu bapa yang luar biasa lebih suka memilih menantu yang miskin dan tiada pangkat tetapi beragama. Pelbagai lagi contoh yang boleh diberi berdasarkan kehidupan Nabi dan para sahabat yang amat berlawanan dengan arus kehidupan biasa.

Zuhud adalah kehidupan umum para sahabat walaupun mereka berharta. Mereka sanggup menyerahkan kebun mereka untuk fisabilillah disebabkan kebunnya melalaikannya ketika dalam solat. Apabila Abdul Rahman bin Auf meninggal dunia, sahabat-sahabat semuanya dalam kesedihan dan kebimbangan kerana memikirkan bagaimana beliau akan menghadap Allah dengan harta yang begitu banyak ditinggalkan. Kemiskinan mereka tidak menghalang mereka melakukan kebaikan sehingga pernah berlaku pada seorang sahabat yang mana ia, isteri dan anak-anaknya sanggup kelaparan demi memberi makan pada tetamu, begitu juga Saidina Ali yang terkenal dengan kemiskinan tetapi amat terkenal juga dengan sifat dermawannya.

Pada hakikatnya masyarakat Islam kini tidak menempuh atau dicanai dengan sepenuhnya dengan mukjizat Al-Quran. Justeru itu, janganlah kita hairan dengan umat Islam yang kini walaupun mereka sembahyang, namun pada hakikatnya mereka juga telah menganut fahaman bertuhankan akal pada konsep hidup dan bertuhankan hawa nafsu pada kehambaan. Namun kejahilan dan nafsu telah menjadi api yang marak pada Islam, mereka akan dihancurkan sedikit demi sedikit sehingga akhirnya Islam sudah tiada lagi pada dirinya, amat malang lagi jika menjadi ejen memusuhi Islam tanpa disedari kerana bertuhankan logik akal. Apabila akal menjadi dasar kebenaran bukannya Al-Quran nescaya akan terpadamnya cahaya hati.

Racun Tersebar

Kehidupan dunia yang kelihatan indah ini amat mempesonakan setiap insan yang melihatnya, mereka terpukau sehingga lupa akan asal diri dan matlamat kehidupan.

Cahaya Islam yang menjadi rahmat dan pelindung kepada insan menjadi begitu dagang di zaman ini. Yang ada hanyalah syiar-syiarnya yang tiada mempunyai ruh, bagaikan jasad tanpa nyawa, bagaikan gula yang tiada manisnya.

Alangkah pilunya hati bila melihat sistem yang mencengkam kehidupan ini merupakan racun yang amat berbisa. Ia membunuh segenap keimanan dalam jiwa insan sedikit demi sedikit sehingga Islam tinggal pada nama sahaja. Racun sekularisma yang menyelinap ke dalam semua aspek kehidupan umat Islam sudah hampir tidak dapat dikawal. Negara kini menjadi cemas dengan isu keruntuhan akhlak di kalangan generasi muda. Mereka sebenarnya mangsa kepada kejahilan dan kelekaan pemimpin-pemimpin, ulama-ulama, ahli agama, ahli ibadah, ahli sufi dan orang awam.

Amal maaruf dan nahi mungkar bagaikan atap yang kukuh bagi sebuah rumah. Ibadah atau amal-amal Islam yang lain bagaikan dinding, tiang, perabot dan yang lainnya. Serangan jahiliyah bagaikan hujan yang turun, jika tiada atap, dengan sendirinya segala perabot akan rosak dan binasa. Begitulah juga dengan serangan jahiliyah moden, lantaran sistem pertahanan yang lemah, kini ia berjaya menanggalkan Islam sedikit demi sedikit dari penganutnya sehingga akhirnya tertanggal iman. Na’uzubillah…

Mutakhir ini, kita dapat lihat dengan jelas betapa ramainya umat Islam yang tidak sembahyang. Masjid-masjid kosong dari golongan muda. Apabila sembahyang sebagai rukun yang pertama telah hilang dari seorang Muslim, maka yang lain akan mengikutnya dengan mudah. Begitu juga dengan wanita Islam, jarum sekular telah berjaya menanggalkan sifat malu dalam diri mereka. Mereka dikhayalkan dengan budaya berbangga dengan apa yang mereka miliki, mereka tidak malu lagi untuk memperlihatkan apa yang ada diri mereka sehingga mereka sanggup berbogel diatas nama kebebasan dan keseronokan.

Mengamalkan Islam secara keseluruhan dan teguh serta wara’ dalam memelihara diri dari perkara yang diharamkan, sama ada dalam soal makan minum, percakapan, kelakuan, hati, pendidikan, hiburan dan sebagainya adalah jalan keselamatan. Sesiapa yang berpegang teguh dan tidak rela sedikitpun dirinya mengikut hawanafsu dan suasana masyarakat, nescaya ia akan selamat.

Pada masa kini, iman amat sukar untuk dipelihara. Hal ini disebut oleh Nabi SAW bagaikan mengenggam bara api. Ini disebabkan racun jahiliyah moden telah berjaya menguasai umat Islam. Mereka diajar tentang ibadah dan kebaikan tetapi dalam masa yang sama mereka turut diajar bahawa perkara kemaksiatan juga adalah kebaikan, bahkan ia dianggap tuntutan fitrah apalagi di kalangan generasi muda. Masjid didirikan untuk golongan yang mahu beribadah tetapi pusat-pusat hiburan juga dibuka untuk golongan muda. Mereka dibiarkan bebas menyanyi, menari, berpegangan tangan, berpeluk-pelukan, berpakaian seksi diatas nama keseronokan.

Ini yang dimahukan oleh anak-anak muda dan para pemimpin menyaksikan dengan wajah yang tersenyum. Mereka melihat jika berdosa pun, ia hanyalah kecil sahaja dan boleh terhapus dengan sembahyang. Mereka tidak menyedari bahawa membiarkan mungkar berleluasa akan membuka pintu langit untuk mengundang bala Allah. Memang dalam kamus ajaran Islam anutan sekular tiada kalimah bala atau barakah. Mereka tidak pernah cemas dengan kemurkaan Tuhan. Apa yang mereka bimbangkan adalah masalah ekonomi, parti hilang pengaruh, mereka hilang jawatan, rakyat tidak menyokong dan sebagainya.

Sekular adalah satu fahaman Islam yang diajar oleh Barat ketika mereka memerintah mana-mana negara. Kebanyakan negara umat Islam di seluruh dunia menganut fahaman ini. Sekular tidak pernah menghalang ibadah malah amat mengalakkannya tetapi sekular amat menentang mana-mana umat Islam yang mahukan Islam diamalkan secara keseluruhan. Bagi sekular cukuplah Islam hanya di masjid-masjid, majlis-majlis kahwin, majlis kematian, ceramah di radio dan di televisyen. Mereka tidak akan membenarkan Islam diamalkan lebih jauh daripada itu. Ajaran yang mereka terapkan ini tidak boleh dibantah, mereka mentafsirkan Islam mengikut pemikiran mereka, mereka tidak senang jika ada di kalangan ustaz-ustaz yang mengajar tafsir dengan cara menerangkan secara benar segala isi kandungan Al-Quran. Ini kerana pengajaran yang benar boleh membuka tembelang kebatilan mereka. Justeru, mereka akan menghalangnya disebabkan idealogi Islam yang mereka anuti amat berbeza dengan Islam yang dikehendaki oleh Al-Quran.

Malangnya ramai diantara mereka yang menentang Islam tanpa mereka sedari. Mereka amat cinta pada Allah, pada RasulNya, pada kitabNya. Jika ada yang mencerca Allah, Rasul atau kitab, mereka akan bangun menentang. Ini menunjukkan pada denyutan jantung mereka masih ada iman. Kebanyakan mereka berpendidikan Barat, mendapat pendidikan biasa di sekolah atau golongan yang tiada pendidikan. Lebih malang lagi para ulama di sisi mereka tidak berani menegur kesalahan mereka.

Dengan adanya para ulama yang berkepentingan dunia di sisi mereka, mereka akan terus buta dengan kebenaran. Mereka menganggap ulama itu adalah benar dan ulama yang di luar adalah batil. Inilah dosanya orang alim dimana segala tindak-tanduk mereka menjadi fatwa bagi orang yang jahil. Meletakkan kesalahan kepada mereka seratus peratus juga satu kezaliman ke atas mereka. Apa yang penting usaha dakwah perlu diteruskan dengan penuh kasih sayang dan kebijaksanaan. Memberi hukuman dengan pelbagai hukuman atau gelaran adalah melambangkan kejahilan dan tertipu dengan hawa nafsu. Dakwah memerlukan kesabaran, inilah yang diperingatkan oleh Allah dalam surah Al-Asr.

Apa yang penting bagi para pencinta Islam ialah berpegang teguh dengan keseluruhan ajaran Islam, mendalami Ilmu Tauhid, Tasauf dan memperluaskan Ilmu Fekah. Ia adalah asas kekuatan untuk bersama dengan Islam dengan penuh keteguhan dan keindahan. Mereka perlu kekuatan ilmu, amal dan jihad yang bersungguh-sungguh untuk keluar menyeru manusia kepada Islam tanpa disertai kemarahan, kebencian, dendam, takbur dan kejahilan. Ada juga yang mahu mencari keuntungan duniawi seperti harta atau jawatan seperti menjadi YB, MB, Menteri atau PM.

Sirah mencatatkan bahawa ramai di kalangan mereka yang berjihad bersama dengan Nabi SAW ditolak jihad mereka disebabkan wujudnya unsur-unsur yang menyeleweng dalam hati mereka. Ramai yang ada dalam saff Islam hari ini marah kerana tidak dapat projek atau mendakwa mereka diketepikan. Bila mereka tidak dapat apa yang diinginkan, maka berlakulah isu-isu tertentu yang membangkitkan perasaan marah dan dendam. Kita tidak nafikan ramai dipihak yang mendakwa pejuang Islam, menggunakan politik untuk meneguhkan agama tetapi kita tak boleh nafikan bahawa ada juga di kalangan mereka yang menggunakan agama untuk keuntungan politiknya.

Kita perlu menepikan segala unsur ini. Lihatlah bagaimana peristiwa Saidina Ali (k.w.h) yang tidak membunuh seorang pemimpin kuffar disebabkan mukanya diludah. Ia bimbang ia membunuh bukan kerana Allah tetapi disebabkan kemarahan dirinya. Kecelaruan akan berada di mana-mana jika keikhlasan tidak dijadikan asas dan diperingatkan setiap masa. Justeru bagi menekankan kepentingan sifat ikhlas ini, Imam Nawawi rahimahuLlah meletakkan hadis ‘ikhlas’ sebagai hadis pertama dalam kitab Hadis 40. Sesungguhnya ikhlas adalah nyawa bagi ibadah. Tanpanya, ibadah itu tiada nilai sedikitpun walaupun ia dilihat hebat pada mata manusia.

Dakwah perlu diusahakan bersungguh-sungguh. Jika kita sayangkan negara dan umat Islam, kita tidak rela lagi iman-iman umat Islam ditanggalkan dari dalam dada penganutnya satu demi satu. Kita tidak boleh menjadi pencinta masjid sahaja tanpa merasa berdosa melihat para pemuda kehilangan iman, wanita kehilangan sifat malunya. Serangan sekular yang hebat ialah memperbanyakkan hiburan dan mendidik Muslim mencintai kebendaan. Kebendaan bagi mereka seolah-olah Tuhan yang akan memberikan apa jua kebahagiaan. Ini amat bertentangan dengan apa yang difahami bahawa orang-orang yang bahagia ialah para Nabi, walinya, orang-orang yang soleh.

Kebendaan bukanlah ukuran kebahagiaan manusia. Di hari ini, rumah-rumah yang dilihat mewah sudah menjadi neraka kepada anak-anak mereka. Anak-anak mereka lebih suka tidur di tembok-tembok yang keras dari tilam yang empuk. Keberkatan sudah hilang dalam kehidupan umat Islam sekarang. Ini disebabkan mereka hanya beramal maaruf tanpa mencegah kemungkaran, malah mencintai dan bersama dengan kemungkaran. Apabila menganggap dosa yang dilakukan kecil sahaja, ia adalah sifat munafik yang disebut oleh Nabi SAW bahawa seorang yang beriman apabila melakukan dosa yang kecil dirasakan seperti gunung, sedangkan para munafik apabila melakukan dosa yang besar dilihatnya seperti seekor nyamuk.

Apa yang penting, marilah wahai para pencinta Islam. Bergeraklah secara tersusun, hidupkan kembali hati generasi ini kepada cintakan Allah, RasulNya dan Islam. Para doktor yang benar, apabila ia melihat nadi atau jantung pesakit masih berdenyut, mereka akan berusaha memberi rawatan untuk menyelamatkan nyawa pesakit tersebut walaupun ia sangat parah. Begitu jugalah wahai para pencinta Islam, jadikan dirimu doktor yang merawat penyakit umat Islam yang sudah terkena racun sekular sama ada pada pemimpin, ulama-ulama dan masyarakat yang jahil. Janganlah dijauhi mereka, dekatilah mereka dengan penuh lemah lembut dan kasih sayang sebagaimana Allah memerintah Nabi Musa (a.s) berdakwah kepada Firaun : “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas dalam kekufurannya. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lemah-lembut, semoga ia beringat atau takut”. (Taha : 43-44)