Saturday, 19 July 2014

Jalan Dakwah Perlukan Bekalan

“Sesungguhnya inilah jalan-Ku yang lurus,ikutilah dia dan jangan kamu mengikuti jalan-jalan lain lalu kamu bercerai-berai dari jalanNya,demikianlah diwasiatkan kepada kamu,semoga kamu bertaqwa.” (AL-An’am:153)

Setiap musafir di perjalanan memerlukan bekalan yamg mencukupi untuk meneruskan perjalanannya, sehingga sampai ke matlamatnya. Dia tidak boleh tidak mesti menghitung segala kemungkinan yang bakal merintangi perjalanannya, atau sekurangnya-kurangnya melambat-lambatkan sampai ke arah tujuannya.

Jalan da’wah jalan para da’ie yang menyeru dan mengajak manusia kepada Allah. Inilah jalan hidup mereka dan inilah jalan para Nabi dan para Rasul serta sahabat-sahabat baginda. Oleh itu dia mestilah menyediakan segala “bekalan” yang mampu melindungi dirinya dari segala bentuk penyelewengan yang boleh memesongkannya, supaya tidak berhenti, tidak tergelincir dan tidak tersekat malah terus mara.

Bekal yang sangat perlu dalam perjalanan ini ialah iman yang teguh serta taqwa kepada Allah. Bekal inilah yang akan memancarkan segala mata air kebaikan dari lubuk hati, melahirkan segala daya dan kekuatan, memupuk ketinggian cita-cita, menambahkan keazaman dan kemahuan. Seterusnya ia akan memudahkan langkah, meringankan segala bentuk tarikan keduniaan, menjauhi segala kesalahan dan menerangi segala laluan dan jalan. Dari iman dan hati yang hidup dengan Allah, jiwa yang suci bersih ini akan lahirkan da’ie yang ikhlas, tahan diuji, sabar, tawakkal, dan kekadang menjadi sebab kepada datangnya pertolongan Allah di dalam kerja da’wahnya.

Perkara pertama sebagai bekal dijalan da’wah ialah merasai kehadiran Allah. Dia sentiasa bersama kita di setiap detik. Barang siapa yang sentiasa merasa kekurangan sesuatu dan barang siapa yang dibiarkan Allah keseorangan, sudah tentulah ia akan terus sesat dan akhirnya gugur dari jalan da’wah. Firman Allah: “Dan bersabarlah,dan tiadalah kesabaranmu itu kecuali kerana Allah dan janganlan merasa dukacita ke atas mereka,dan janganlah kamu merasa susah dari tipu daya mereka. Sesungguhnya Allah bersama dengan orang yang bertaqwa dan berbuat baik. (An-Nahi:127-128)

Mengenal Allah (makrifatuLlah) dengan hakikat yang sebenarnya akan melahirkan ketenangan dan ketenteraman kepada jiwa para da’ie. Bila diuji, dia bersabar dan bila diberi nikmat, ia bersyukur, kerana ia melihat semuanya datang daripada Allah.

Di atas jalan da’wah ini, kita sangat memerlukan Nur Illahi bagi menerangi jalan kita supaya kita sentiasa melangkah di atas basyirah (mata hati) dan pandangan jauh, jelas dan terang tanpa penyelewengan. Di samping itu, kita dapat mengenal tipu daya musuh, sama ada musuh zahir (syaitan,manusia,dunia) atau musuh batin (nafsu) yang sentiasa memusuhi dan mahu menyesat kita. Firman Allah: “Wahai para mu’min,bertaqwalah kamu kepada Allah dan berimanlah kepada RasulNYA, supaya Dia memberi kepadamu dua kali ganda dari rahmat-NYA dan memberikan kepadamu cahaya yang kamu perlukan untuk berjalan, dan Dia mengampuni kamu dan Allah itu Maha Pengampun dan Maha Pengasih.” (Al-Hadid:28)

Dan firman-NYA lagi: “sesungguhnya orang bertaqwa itu apabila mereka diganggu syaitan ,mereka ingat dan melihat lalu sedar.” (Al-A’raf:201)

Oleh itu, para da’ie mesti memberi perhatian yang serius terhadap kesucian hatinya dan mempertingkatkan kekuatan hubungannya dengan Allah. Sesungguhnya kekuatan da’wah bergantung kepada kekuatan hubungan da’ie dengan Allah. Jika kuat dengan Allah, nescaya da’wahnya akan mampu mengetuk pintu hati manusia dan menjaminnya untuk terus istiqamah di atas perjalanan ini.

Sentiasalah kita berada di atas jalan dakwah, supaya kita mampu dan punya daya mengubah kebatilan dan keadaan yang tidak betul, supaya dapat menegakkan yang hak. Untuk itu wajiblah kita merasa mulia, kuat dan tinggi serta menjauhkan diri dari perasaan lemah, hina dan rendah diri, semuanya ini tidak akan dapat digarap tanpa bekalan iman yang kukuh. Firman Allah swt yg bermaksud: “Dan janganlah kamu merasa sedih dan berdukacita, padahal kamulah yg paling tinggi sekiranya kamu orang-orang yg beriman.” (Ali-Imran:139)

Di atas jalan ini, kita akan dapat melaksanakan jihad fi sabilillah serta dapat memberi pengorbanan dengan keupayaan kita demi perlaksanaan jihad ini. Harta, usaha, masa, buah fikiran malah jiwa kita sekalipun mestilah bersedia untuk dikorbankan dalam jihad ini. Hanya orang-orang beriman dan cinta akhirat sahaja yang sanggup melakukan semua ini dengan ikhlas hati kerana mereka mengutamakan Allah dan Rasul lebih dari segala-galanya. Firman Allah swt yg bermaksud: “Sesungguhnya Allah telah membeli dari para mukmin itu jiwa-jiwa mereka dan harta-harta mereka dengan balasan syurga, iaitu hendaklah mereka berjihad (berperang) di jalan Allah, lalu mereka membunuh dan terbunuh.” (At-taubah:111)

Di atas jalan ini, kita terdedah kepada cubaan atau ujian kritikan, cacian, makian, penghinaan dan sebagainya kerana ini semua adalah sunnatullah (ketetapan Allah) di jalan dakwah. Tiada siapa yang dapat menolong kita, menanggung beban dan kesakitan melainkan iman dan taqwa kita kepada Allah swt. Biarlah nampak semua ini datang daripada Allah swt. Firman Allah swt yg bermaksud: “Sesungguhnya kamu akan diuji dengan harta benda kamu dengan diri kamu dan sesungguhnya kamu akan mendengar celaan dan cercaan yg banyak dari orang-orang yg telah diberi kitab terdahulu daripada kamu dan dari orang –orang musyrikin yang menyekutukan Allah tetapi jika kamu bersabar dan bertaqwa, maka sesungguhnya yg demikian itu adalah sebaik-baik perkara.” (Ali-Imran:186)

Inilah yang telah dilalui Rasulullah saw, para sahabat dan para da’ie yg mengikut jejak langkah mereka. Rasulullah saw ketika menghadapi celaan dan cercaan dengan penuh tawakal menjawab dengan membaca sepotong ayat Al-Quran: “Mengapakah kami tidak bertawakkal kepada Allah, padahal Dia telah menunjukkan kepada kami akan jalan-jalan kami dan sesungguhnya kami akan bersabar di atas gangguan-gangguan kamu terhadap kami, dan kepada Allah hendaknya bertawakkal orang-orang yg bertawakkal..”(Ibrahim:12)

Di atas jalan ini, kita amat memerlukan Allah supaya Dia memantapkan kita dalam perjalanan ini tanpa bimbang dan ragu, tanpa menjauhkan diri dari amal, tanpa meninggalkan amal dan kewajiban walau bagaimana berat dan susah sekalipun. Allah akan hanya memberi kurniaan ini kepada golongan mukmin seperti dalam firman Allah yg bermaksud: “Allah menetapkan pendirian orang–orang yang beriman dengan perkataan yang tetap di dalam kehidupan di dunia dan akhirat.” (Al-Anfaal:12)

Para da’ie dijalan Allah juga terdedah kepada sifat-sifat malas, lesu, dan jemu serta berbagai-bagai penyakit hati. Kalau sifat-sifat ini berterusan menguasai diri, ia akan membawa kerengganan kepada dakwah itu sendiri, kelekaan dan terus tidak bergerak. Oleh itu, nasihat–menasihati adalah amat perlu bagi menghindarkan mereka leka, hanyut dan merasa lemah semangat. Tolong–menolong dan bantu-membantu serta menutup keaiban dan kelemahan diri mereka juga akan menghalang saudara kita dihinggapi penyakit-penyakit negatif tadi.

Para da’ie juga terdedah kepada peristiwa-peristiwa serta realiti kehidupan yang susah dan mencabar, yang boleh menjadikannya bengong. Di saat inilah dia mesti bertegas di atas ajaran Islam dan nilai-nilai Islam, dan terus maju untuk menyatakan yang hak walaupun dia akan menghadapi ancaman dan ugutan. Sudah tentu dalam saat seumpama ini bekalan iman dan taqwa yg dapat menolongnya mendapatkan bantuan Allah swt. Firman Allah swt yg bermaksud: “Barang siapa yg bertaqwa kpd Allah. Allah akan memudahkan urusannya.” (At-Talaaq:4)

Di atas jalan ini juga, kita mesti menghayati Islam, dari segi perkataan serta perbuatan. Tidak menyalahi perintah Allah dan Rasul dalam setiap keadaan dan suasana. Ukhuwah Islamiyyah dan kasih sayang yang dijalin oleh perasaan cinta kepada Allah adalah syarat agar persaudaraan dan perpaduan dapat dikekalkan dalam barisan anggota jemaah. Sesungguhnya pada persahabatan yang baik itu ada bekalan.

Di atas jalan ini juga, kita memerlukan ilmu yg bermanfaat untuk menghadapi manusia yang pelbagai latar belakangnya. Tidaklah mencukupi dengan membaca kitab yang banyak, tetapi mestilah diiringi dengan amalan “zikir khususiyah”, nescaya Allah akan menambahkan kurnia ilmu (ladunni), nur makrifat dan taufikNya. Benarlah firmanNya yg bermaksud: “Dan bertaqwalah kamu kepada Allah kerana Allah mengajar kamu dan Allah mengetahui segala sesuatu.”(Al-Baqarah:282)

Pertolongan Allah dan kemenangan agamaNya tidak akan menjadi kenyataan jika tidak disertai dengan menggunakan semua potensi yang ada dan usaha yang gigih serta jihad yang sepenuh hati (100%). Di samping itu, para da’ie juga mestilah mempunyai syarat-syarat yang melayakkan mereka mendapat pertolongan dan kemenangan daripada Allah. Jelas sekali bahawa perkara pokok untuk mengundang pertolongan Allah ialah bekalan iman dan taqwa, kerana dari kedua-duanya itu akan melahirkan kemantapan da’ie dalam mengharungi perjalanan ini. Allahukbar...sekarang..renunglah dalam diri kita, bagaimana lemahnya kita. Kita benar-benar perlukan bekalan di sepanjang jalan. Kita tidak akan mampu membuat satu kebaikan, apatah lagi beramal soleh tanpa bekalan iman dan taqwa. Bekalan iman dan taqwa juga adalah kurniaan daripada Allah swt yang benar-benar bersungguh bermujahadah. Lantaran itu, marilah sama-sama memperbaiki bekalan iman dan taqwa serta sentiasa memperbaharuinya di sepanjang perjalanan. Jangan biarkan ia berkurang atau habis ditengah jalan, malah terus menambah serta memperkukuhkannya. Semoga kita termasuk di kalangan orang-orang yg membenarkan janji-janji Allah. Firman Allah swt yg bermaksud:

“Di antara orang-orang mukmin itu, ada orang-orang yang menepati apa yg telah mereka janjikan kepada Allah, maka ada di antara mereka yang gugur. Dan di antara mereka ada yg menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah(janjinya).” (Al-Ahzab:23)

Ya Allah Ya Tuhan kami, jadikanlah kami tergolong dikalangan mereka yang telah Kau janjikan dan gugurlah kami dijalan -Mu..amin

Friday, 18 July 2014

Seruan Dakwah

Asas utama da’wah ialah menyeru manusia kembali kepada Allah; mengingatkan kembali roh kepada Tuhannya, mengamalkan syariat dan wahyu Tuhan dalam urusan kehidupannya, mengubah manusia daripada perhambaan kepada sesama makhluk, nafsu dan dunia, kepada perhambaan semata-mata kepada Allah swt Inilah seruan dari zaman berzaman Nabi Adam as sehinggalah lahirnya Nabi akhir zaman, Muhammad saw. Seterusnya tugas ini disambung oleh orang-orang yang mengikuti jejak mereka sehingga ke akhir zaman.

Tanggungjawab melaksanakan da’wah, menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran merupakan tugas asasi setiap Muslim. Firman Allah swt: “Dan hendaklah ada dikalangan kamu satu golongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (Ali-Imran:104)

Para penda’wah (da’e) adalah mereka yang terpilih untuk menyambung tugas keNabian setelah wafatnya Rasulullah saw. Kepada mereka, Allah menjanjikan kelebihan dan ganjaran yang besar, serta digolongkan sebagai orang-orang yang beruntung. Firman Allah yang bermaksud; “Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada mereka yang menyeru kepada (agama) Allah dan melakukan amal soleh, sambil berkata;Sesungguhnya aku dari kalangan orang-orang yang menyerah diri (Islam).” (Fussilat:33)

Da’ie adalah mereka yang berniaga dengan Allah, yang tidak akan rugi selama-lamanya. Dan pulangan yang dijanjikan oleh Allah ialah syurgaNya. Firman Allah swt yang bermaksud: “Wahai org-org yang beriman, sukakah kamu Aku tunjukkan satu perniagaan yang dapat menyelamatkan kamu dari azab yang pedih, (iaitu) kamu beriman kepada Allah dan RasulNya dan berjihad dijalan Allah dengan harta dan jiwa kamu, itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahuinya. Nescaya Allah akan mengampuni dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dlm syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di dlm syurga ‘Adnin. Itulah keuntungan yang besar.” (As-Saff:10-12)

Jalan da’wah adalah satu jalan kehidupan para da’ie yang menyeru dan mengajak manusia kepada Allah. Perjalanan ini akan menempuh pelbagai mehnah (ujian) dan tribulasi, onak duri dan ranjau di sepanjang perjalanannya. Sesungguhnya Allah akan menguji hakikat diri mereka. Sabda Rasulullah saw : “Orang yang paling berat diuji ialah para nabi, kemudian yang paling baik selepasnya, kemudian orang yang paling baik selepas itu.” “Sesungguhnya Allah, apabila mengasihi sesuatu kaum, diujinya mereka itu (dengan pelbagai ujian), barangsiapa yang redha dengan ujian itu, maka mereka mendapat keredhaanNya. Barangsiapa yang benci(marah), maka baginya kemurkaan Allah swt.” Dalam meniti liku-liku perjalanan ini, kalaulah seorang da’ie tidak berada di bawah lindungan Allah, tidak berhubung terus denganNya, tidak bertawakal kepadaNya, tidak berpegang kepada kitabNya dan tidak pula mengikuti sunnah NabiNya, maka sebenarnya ia sedang berada di ambang bencana dan musibah yang besar.

Rasulullah saw telah meramalkan cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi oleh para Mukmin, da’ie dan mujahidin(pejuang agama) dijalan Allah.Baginda saw bersabda: “Orang mukmin sentiasa diambang 5 dugaan yang sukar: mukmin yang dengki kepadanya, munafik yang benci kepadanya, kafir yang memeranginya, syaitan yang menyesatkannya dan nafsu yang sering bertarung untuk mengalahkannya.” (Abu Bakar Ibnu Lal dari Anas)

Dalam menghadapi pertarungan dengan musuh-musuh di atas, sebenarnya para da’ie telah meletakkan diri mereka di dalam medan mujahadah yang terbaik, melebihi mujahadah yang dilakukan oleh mereka yang hanya duduk berzikir dan tidak mengambil tahu permasalahan ummah diluar sana. Inilah peluang kepada mereka untuk membersihkan diri dan mensucikan jiwa. Dalam medan ini, mereka berhadapan dengan kata nista, celaan manusia, kezaliman dan penyiksaan. Ia meruntun sifat sabar, redha, tawakal, menyedari keupayaan diri yang terbatas, sehingga meresap ke dalam jiwa mereka kalimah ‘La haualawala quwwata illa billahi ‘aliyu ‘azim’(Tidak ada daya dan upaya melainkan dengan apa yang diizinkan oleh Allah). Inilah ‘maqam’ yang dicari oleh para Sufi dalam perjalanan mujahadah mereka.

Dalam medan ini juga, mereka harus berhati-hati dengan tipu daya syaitan dan nafsu. Kekadang apabila dakwah kita diterima orang atau program yang dianjurkan berjaya, kita melihat ia datang dari kebijaksanaan diri kita, hasil perancangan yang baik dan tersusun. Maka hilanglah “Allah” ketika itu, kita nampak diri kita yang hebat. Sifat “ananiyah” yang menjadikan kita syirik khafi dengan Allah swt.

Syaitan pula akan melakukan tipu dayanya secara yang sangat halus dan sudah tentu ia memberi perhatian yang serius kepada para da’ie, musuhnya yang paling utama. Syaitan akan memasukkan perasaan ujub, riya’ dan takabbur ke dalam diri kita. Nafsu pula mungkin akan menolak kita melakukan ‘kebaikan’ sedangkan dalam ‘kebaikan’ tadi, ia dipenuhi dengan kehendak hawa nafsu. Sebab itu, kita merasa seronok apabila ramai yang mendengar ucapan kita dan bersedih apabila sedikit yang memberi perhatian di atas ucapan kita.

Mungkin di malam hari, kita banyak bertahajud dan berzikir sehingga datang perasaan, merasa dirinya lebih baik daripada orang lain. Dan bila berhadapan dengan orang yang didakwahkan (mad’u) yang agak longgar dari sudut amalan syariatnya, maka perasaan yang sama hadir dalam hatinya. Tanpa sedar, ia telah tertipu dengan jarum halus syaitan. Adakah dia merasa terjamin di saat kematiannya nanti yang mana ia akan mati dalam keadaan beriman?

Berhadapan dengan musuh zahir tidaklah sepayah menentang musuh batin. Musuh zahir boleh dilihat dan dihadapi dengan kemantapan fikrah dan strategi. Tetapi musuh batin ini sangat halus dan seni, tanpa ilmu dan jiwa yang suci serta dibimbing oleh guru yang mursyid, dibimbangi segala penat lelahnya di dunia ini tidak diterima Allah akibat penyakit-penyakit tadi.

Oleh itu para da’ie wajib memberi perhatian yang serius terhadap musuh batin ini, melebihi perhatiannya kepada musuh zahirnya. Kemantapan jiwa perlu dipertingkatkan, disucikan dengan jalan zikir dan mujahadah yang istiqamah; bukan sekadar untuk ia merasa sensitif dengan perjalanan hatinya, malah suatu ketika apabila menghadapi ujian yang hebat dalam dakwah dan jihadnya, maka ketika itulah ketahanan dan kekuatan jiwa amat diperlukan.

Wahai para da’ie dan diriku, berhati-hatilah dengan jalan ini. Bukan musuh zahir yang kamu perlukan takutkan, tetapi berhati-hatilah dengan musuh kamu yang ada dalam dirimu. Sesungguhnya, jiwalah yang perlu dimantap dan ditarbiyahkan kerana kekuatan sebenar dalam dakwah dan kehidupan kamu ialah yang ada dalam diri kamu, iaitu jiwa atau roh. Oleh itu, jadilah ahli zikirullah dan pada masa yang sama menjadi mujahidin yang membawa cahaya kepada seluruh manusia.

Ya Allah selamatkanlah kami dari tipudaya musuh kami yang terdiri daripada dunia, manusia, nafsu dan syaitan. Amin

Dunia Menjanjikan "Kebahagiaan"?

Kehidupan telah banyak mengajar aku tentang siapa aku. Aku yang sentiasa berubah mengikut masa dan suasana. Kedewasaan yang aku bijak sekarang telah membawa aku kepada satu dimensi pemikiran dan kehidupan yang baru.

Masih aku ingat lagi bagaimana aku dahulu adalah insan yang hidup bermain dengan ulitan mimpi dan berjalan ke arah yang tidak pasti. Hidupku dimanjai, nafsuku sentiasa keriangan, jasadku kenyang, tidurku lena dan penuh mimpi indah namun hakikatnya jiwa aku amat merasai kekosongan, resah dan sunyi. Kalimat ketenangan dan kebahagiaan tiada dalam kamus hatiku.

Alhamdulillah, aku memanjatkan kesyukuran kepada Allah swt. Aku kini mula mengenal sedikit sebanyak hakikat dunia yang aku sembah selama ini. Hatiku mula memahami mengapa ia amat jauh oleh para kekasih Allah, sedikit aku dapat merasai bagaimana jiwa mereka rindu kepada perkampungan akhirat. Betapa hinanya dunia di sisi mereka.

Dalam satu riwayat diceritakan, pernah Rasulullah saw membawa sahabatnya ke satu longgokan sampah sarap yang terdapat baju-baju yang buruk dan tengkorak manusia. Rasulullah saw bersabda, “inilah dunia” sambil Baginda menunjukkan ke arah baju buruk dan tengkorak kepala manusia. “Dia dahulu seperti kamu, suka pakaian mewah, makanan yang lazat, menyintai dunia,” sambung Baginda lagi.

Aku juga pernah mendengar kisah bagaimana Imam Al-Ghazali rm, apabila kedatangan maut, ketika anak-anak muridnya yang mengelilingi tubuhnya sambil menangis, lalu dia bertanya. “kenapa kamu semua menangis?” jawab murid-muridnya, kami menangis kerana kau akan meninggalkan dunia ini.” Berkata Imam Al-Ghazali, “sepatutnya akulah yang menangis kepada kamu semua, kerana aku akan pergi ke satu alam yang penuh dengan rahmat Allah, bertemu dengan para solehin, sedangkan kamu semua berada di alam yang penuh dengan hasad dengki, fitnah, dosa dan noda.”

Begitulah juga dengan Al-Junaid, ketika ditangisi oleh murid-muridnya ketika saat hampir ajalnya, beliau bertanya, “mengapa kalian menangis?” jawab mereka, “kami menangis kerana memikirkan yang guru akan meninggalkan kami semua.” Lalu Al-Junaid berkata, “ Mengapa engkau belajar dengan yang mati(manusia), palingkan hatimu dengan belajar yang kekal (Allah)”.

Benarlah kata-kata Al-Junaid, belajarlah dengan yang kekal abadi kerana kita mesti memahami apa jua yang berlaku ke atas diri dan kehidupan kita baik berupa kesedihan, kegembiraan, suka duka, kerana di situ ada pengajaran daripada Allah swt.

Aku menoleh kembali ke belakang, melihat akan suatu perkara yang dahulu aku tangisi dan kesali berlaku ke atas diriku. Kini aku amat bersyukur dengan peristiwa itu, kerana ia telah membawa aku kepada kehidupanku sekarang. Ya! kini aku seolah-olah tersedar dari lamunan khayalan dan angan-angan. Aku bangkit memikir tentang siapa aku, dari mana aku datang, apa tujuan aku datang dan ke mana aku akan pergi. Dengan kesedaran ini aku melangkah ke gerbang menghayati ajaran Islam yang penuh dengan kenikmatan, ketenangan dan kebahagiaan.

Dulu aku menganggap Islamku sudah sempurna, namun apabila aku mendapat kesedaran tentang fikrah Islam yang sebenarnya, rupanya aku jauh ketinggalan di dalam melaksanakan amanah sebagai hamba Allah dan khalifahNya di muka bumi. Aku lalai dari menunaikan tanggungjawab kepada Ruhku, akalku dan jasadku, keluarga, sahabat dan masyarakat. Aku jauh ketinggalan untuk mengikuti jejak dan tapak kaki Rasulullah saw di padang pasir, namun tapak-tapak kaki suci itu sudah jelas di depanku kini. Akan kuturuti walaupun sudah ketinggalan jauh dibelakang, semoga Allah memasukkan aku di kalangan jemaah Baginda saw. Aku mengharap debu-debu jihad yang berterbangan sedikit sebanyak mendiami pakaianku dan kulitku.

Thursday, 17 July 2014

Dakwah Tanpa Kasih Sayang

Hari ini ramai orang yang bercakap tentang seruan kepada Islam, sedangkan jiwa mereka kering dari pancaran kasih sayang, malah dipenuhi kekerasan dan permusuhan. Al-Quran dan Hadith digunakan untuk tujuan permusuhan dan menyenangkan nafsunya. Kasih sayang dihancurkan. Manusia yang diseru tidak melihat sinar kasih sayang terpancar di wajah mereka.

Kebanyakan para pendakwah mendahulukan berita ancaman daripada memberi kasih sayang. Mereka utamakan perkhabaran tentang azab Allah dari sifat kecintaan dan pengampun Allah. Mereka sebenarnya pembunuh harapan di dada-dada manusia yang mencari setitis harapan. Dakwah penuh dengan kekakuan, bersidang dalam dewan-dewan yang mewah, membentangkan kertas-kertas kerja yang memperlihatkan idealisma yang hebat, tetapi perkara yang amat diperlukan oleh manusia di sekeliling mereka tidak dititikberatkan, iaitu kasih sayang.

Masyarakat memerlukan orang yang bertanya khabar pada mereka, yang membantu kesusahan mereka, yang memberi kata-kata harapan, yang menghulurkan tangan kasih sayang demi membawa kepada kebenaran.

Islam adalah gambaran kasih sayang Allah di alam ini. Mereka yang membawanya mestilah mengamalkan sifat keTuhanan dan sifat kenabian iaitu kasih sayang. Dalam sebuah rumahtangga, isteri merasai ketenangan, anak-anak merasai kedamaian. Mulakan kasih sayang pada dirimu dan dalam rumahtanggamu sebelum kamu lontarkan kepada dunia luar. Jika kamu majikan, sinarkan pada pekerjamu. Jika kamu pemimpin masyarakat, pancarkan pada mereka. Jika anda seorang ulama’, lunakkan bahasamu, hubungkan jiwa kamu dengan manusia yang mengharap pimpinanmu dengan kasih sayang. Jauhkan bertelagah dalam masalah khilafiah, supaya umat ini tidak terdidik dengan kebencian. Halakan tujuan dakwahmu kepada dunia yang rosak di depan dengan ikhlas dan kesedaran ubudiyyah kepada Allah.

Dakwah mesti berasaskan kasih sayang. Kemungkaran mestilah dicegah dengan hikmah. Jangan biarkan manusia mengekalkan kemungkaran, nescaya dunia akan dimurkai Allah dan manusia yang tidak berdosa juga akan menerima azab. Lihatlah negara yang tidak mencegah kemungkaran, mereka dilemparkan kesengsaraan. Demi kasih sayang pada negara dan umat manusia, bangunkanlah amal ma’aruf nahi mungkar, agar segala bala terangkat dari kita.

Manusia yang membela dan mencintai kemungkaran, adalah manusia yang tidak memahami hakikat kasih sayang. Perbuatan mereka menghancurkan generasi mereka sendiri. Akibat mereka membiarkan kemungkaran yang kecil berleluasa berlaku, akhirnya ia menjadi penyakit yang merbahaya kepada generasi mereka, kepada anak-anak mereka, kepada cucu mereka. Hari ini, kita sudah melihat anak-anak tidak lagi menghormati ibubapa, tidak menghormati guru-guru. Anak-anak sudah tidak mengenal Allah. Mereka mencintai nafsu dan syaitan. Siapakah yang telah melakukan jenayah ini? Soalan yang perlu pada jawaban…

Hari ini gerakan dakwah sudah banyak yang tersasar pedoman. Mereka lebih menumpukan ketajaman pemikiran pada anggotanya dari semaian iman dan kasih sayang. Dakwah bergerak dengan idealisma sedangkan manusia di depan mereka rosak disebabkan kehilangan kasih sayang. Mereka sepatutnya pendokong kasih sayang, bukan penyebar kebencian dan permusuhan.

Gerakan Kristian berjaya kerana menonjolkan aspek kasih sayang sebagai wajah mereka, sedangkan kasih sayang yang mereka tonjolkan akan menghancurkan kehidupan manusia di akhirat nanti. Gerakan Islam menonjolkan hukum dan membelakangi kasih sayang, sehingga masyarakat terasa mereka jahil. Harapan mereka tertimbus di bawah hukum-hukum yang didatangkan tanpa didahulukan pengisian iman sebagai tunjang.

Ulama’-ulama’ bercakaran didepan orang-orang jahil. Penyelesaiam masalah tidak didahulukan kasih sayang dan kebenaran tetapi mencari kemenangan. Hancurlah umat kerana pemimpin yang tidak memberi kasih sayang kepada rakyat, hancurlah kepimpinan kerana ulama’-ulama’ tidak memberi nasihat dengan kasih sayang, hancurlah ulama’ lantaran ulama’ tiada kasih sayang kepada kebenaran tetapi lebih mencintai kepalsuan dunia. Ulama’ mencari kemasyhuran, pujian manusia, pengikut yang ramai. Akhirnya hancurlah negara tanpa kasih sayang, yang ada pada masyarakat ialah hati-hati ganas seperti serigala.

Syaitan Dan Nafsu Menjadi Sahabat

Demi Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kehidupan yang panjang ini penuh dengan bahaya yang menanti orang yang menuju Allah SWT. Syaitan sebagai musuh utama tidak akan membiarkan manusia dalam kebaikan, tidak akan membiarkan ibadah sampai ke hadrat Ilahi.

Syaitan tidak menyerang manusia pada mata, telinga, kaki atau tangan tetapi ia melakukan serangan di tempat yang utama iaitu hati. Serangan yang dilakukan itu amat halus dan dengan pelbagai tipu daya sehingga ramai yang tidak menyedarinya. Ia mempunyai penolong yang setia yang berada dalam diri anak Adam iaitu nafsu ammarah. Perjalanan yang panjang inilah yang memberi peluang bagi syaitan utuk menghilangkan kebaikan yang kita lakukan. Ia mahu segala amal soleh menjadi hancur berkecai tanpa makna.

Cuba kita perhatikan bagaimana bijak dan busuknya syaitan dalam membawa manusia bersamanya ke neraka. Ramai mereka yang dahulunya hebat dengan dakwah sama ada ketika belajar atau ketika muda, apabila kahwin hilang entah ke mana. Ada yang kuat ibadahnya tetapi apabila kerja, menjadi manusia yang lalai. Ramai yang mulanya ikhlas berniaga, diniatkan jika berjaya mahu membantu agama dan membantu orang-orang miskin, namun apabila berjaya mereka lupa malah menjadi orang yang sombong. Ramai yang begitu tinggi ukhuwahnya, selalu makan bersama dan berpelukan bila bertemu, tetapi akhirnya menjadi musuh yang ketat.

Syaitan menggunakan senjata yang paling ampuh iaitu elemen keluarga, harta, pangkat, wanita dan senjata dalam diri manusia seperti sifat ego, dengki, cinta dunia, marah, dendam, taksub, suka berdebat, suka berehat, jemu dan sebagainya untuk melalaikan manusia dari Allah SWT. Apa yang malangnya banyak amal yang dilakukan menjadi hancur apabila syaitan berjaya memasukkan jarum ujub, riya’ dan sombong.

Begitu juga mereka yang separuh abad usianya mengabdikan diri pada dakwah, namun apabila usia di hujung senja, ia menjadi manusia biasa. Ruhnya menghadap Tuhan bukan sebagai seorang pejuang fi sabilillah, tetapi sebagai seorang biasa yang tidak peka dan mengambil apa-apa tindakan dengan suasana semasa malah hanya relaks dengan kepentingan peribadi semata-mata. Alangkah ruginya kehidupan, alangkah ruginya usia dan masa.

Ada mereka yang bila perniagaannya menghadapi masalah, dia mengundurkan diri dan lupakan Tuhan, meninggalkan amal dan dakwah. Kalau kita bertanya kenapa ianya berlaku, tidakkah mereka merasa rugi sedangkan ganjaran dan kemuliaan mereka yang berada di medan dakwah adalah tinggi di sisi Allah SWT.

Mereka mempunyai ilmu, mengetahui ayat-ayat Al-Quran dan Hadis yang menerangkan kelebihan dakwah, malah ia fasih disebut dilisan mereka, malah juga sentiasa memperingatkan diri sendiri dengan tipu daya syaitan dan nafsu. Namun, persoalannya apa lagi yang tiada pada mereka sehingga mereka hanyut. Syaitan yang mereka musuhi menjadi teman sejati, budaya hidup yang lalai menjadi keseronokan, dakwah yang menjadi agenda utama menjadi perkara yang membosankan, sahabat yang dicintai kerana Allah menjadi sahabat yang ingin dijauhinya.

Kalau kita mengadakan muhasabah perkara ini, ia dapat memberikan beberapa jawapan, tapi jawapan yang paling utama adalah disebabkan tipu daya syaitan serta nafsu. Ramai yang terkena serangan syaitan dan mereka tidak sedar dan tidak mampu menahannya. Demi Allah, syaitan tidak pernah berputus asa dan ia tidak pernah tidur atau berehat untuk merosakkan anak Adam. Dengan penuh kesabaran ia sentiasa menunggu peluang untuk ia bertindak di mana ketika itu kita lupa dan lalai.

Orang yang tenang dalam mengingati Allah adalah musuh syaitan. Ketenangan menyebabkan seseorang itu dapat berfikiran waras dalam setiap tindakannya. Justeru itu syaitan akan mengugat ketenangan diri manusia itu dahulu. Ia menggunakan isteri, anak-anak, ibu bapa, saudara mara, perniagaan, harta, jawatan, musibah atau penyakit. Ia akan menggunakan sepenuhnya segala apa yang ada di sekeliling atau sifat dalam diri manusia untuk menggoncangkan ketenangannya.

Syaitan boleh menjadikan sahabat yang baik sebagai musuh ketat, anak buah sebagai penderhaka, orang yang dibantu suatu ketika dulu menaburkan fitnah dan pelbagai lagi. Ia juga mendatangkan perasaan ketakutan terhadap masa depannya dengan pelbagai ancaman seperti dibuang kerja, penjara atau pelbagai tekanan yang akan dihadapi.

Hari ini syaitan bertepuk tangan. Ia telah berjaya menyelinap ke dalam hati umat Islam sehingga berjaya mengugat dan memecahkan keharmonian kasih sayang sesama mereka. Mereka yang dahulunya kelihatan kuat, hebat dalam berpidato, berkasih sayang dengan erat, tapi hanya kerana masalah khilafiah, ada yang berpecah belah sehingga bermusuhan bagaikan orang jahil. Caci mencaci, fitnah menfitnah, pulau memulau mula dan sudah berlaku. Sesungguhnya segala permusuhan mereka itu adalah di atas jalan syaitan dan nafsu, bahkan tidak dibenarkan oleh syara’. Paling menyedihkan, segala bangunan kebaikan yang mereka dirikan bersama dulu hancur begitu sahaja.

Ramai yang gugur tetapi bukannya gugur di medan jihad, tetapi gugur di lembah nafsu. Mereka semua terkena bom atau peluru yang dilontarkan oleh syaitan. Keilmuan, keimanan dan kasih sayang mereka tidak begitu kebal untuk menjadi benteng dalam mempertahankan diri. Sekadar mengutuk dan memarahi syaitan sebagai penyebab adalah menutup kelemahan diri. Sebagai musuh, ia sudah menyatakan bahawa ia akan melakukan serangan kepada kita, ia akan bersabar sehingga ketika menghadapi sakaratulmaut pun ia akan terus mengumpul bala tenteranya untuk merosakkan kita. Yang penting bagi kita ialah menyiapkan pertahanan agar serangan yang dilemparkan tidak memberi kesan. Memandang rendah pada keupayaan musuh biasanya membawa akibat yang buruk.

Kebahagiaan

Ketahuilah bahawa manusia ini bukanlah dijadikan untuk gurau-senda atau "saja-saja" semata-mata. Tetapi adalah dijadikan dengan 'Ajaib sekali dan untuk tujuan yang besar dan mulia. Meskipun manusia itu bukan Qadim (kekal dari azali lagi), namun ia hidup selama-lamanya. Meskipun badannya kecil dan berasal dari bumi, namun Ruh atau Nyawa adalah tinggi dan berasal dari sesuatu yang bersifat Ketuhanan. Apabila hawa nafsunya dibersihkan sebersih-bersihnya, maka ia akan mencapai taraf yang paling tinggi. Ia tidak lagi menjadi hamba kepada hawa nafsu yang rendah. Ia akan mempunyai sifat-sifat seperti Malaikat. Dalam peringkat yang tinggi itu, didapatinya SyurgaNya adalah dalam bertafakur mengenang Allah Yang Maha Indah dan Kekal Abadi. Tidaklah lagi ia tertakluk kepada kehendak-kehendak kebendaan dan kenafsuan semata-mata. Al-Kimiya' Keruhanian yang membuat pertukaran ini. Seorang manusia itu adalah ibarat bahan "Kimia" yang menukarkan logam biasa( Base Metal) menjadi emas. Kimia ini bukan senang hendak dicari. Ia bukan ada dalam sebarang rumah orang.

Kimia ini ialah ringkasya berpaling dari dunia dan menghadap kepada Allah Subhanahuwa Taala. Bahan-bahan Kimia ini adalah;

1. Mengenal Diri 2. Mengenal Allah 3. Mengenal Dunia ini Sebenarnya (Hakikat Dunia) 4. Mengenal Akhirat sebenarnya (Hakikat Akhirat)

Di dalam Kitab Kimiya Saa'dah (Kimia Kebahagiaan) karangan Imam Al-Ghazali telah menjelaskan apa itu kimia yang dimaksudkan dan bagaimana mereka beroperasi. Ketahuilah bahawasanya "perbendaharaan Tuhan" di mana Kimia ini boleh didapati ialah di Hati Para Ambiya' dan pewaris-pewarisNya dari kalangan ulama-ulama Sufi iaitu kalangan Aulia Allah. Sesiapa yang mencarinya selain daripada itu adalah sia-sia dan akan Muflis di Hari Pengadilan kelak apabila ia mendengar suara yang mengatakan , "Kami telah angkat tirai dari kamu, dan pandangan kamu hari ini sangat tajam dan nyata".

Allah Subhanahuwa Taala telah turunkan ke bumi ini 124,000 orang Ambiya’ untuk mengajar manusia tentang bahan-bahan kimia ini. Bagaimana hendak menyucikan hati mereka dari sifat-sifat rendah dan keji itu.

Mari sama-sama kita meneliti perkembangan perbincangan Imam Ghazali ini dari satu tingkat ke satu tingkat yang membuka jalan-jalan orang-orang Sufi yang mencapai Maqam Mahabbah (kecintaan); puncak tertinggi kebahagiaan yang ingin dimiliki oleh orang-orang yang Mengenal Allah di"posting" yang akan datang.InsyaAllah..

bersambung.....

Anak Kunci Mengenal Diri

Mengenal diri itu adalah "Anak Kunci" untuk Mengenal Allah. Hadis ada mengatakan; 'Siapa yang kenal dirinya, maka dia Mengenal Allah". Firman Allah Taala; "Kami akan tunjukkan kepada mereka tanda-tanda Kami dalam dunia ini dan dalam diri mereka sendiri, supaya Hakikat itu boleh terzahir kepada mereka" (Al-Fusilat:53)

Tidak ada perkara yang lebih hampir dari diri sendiri. Jika kita tidak kenal diri sendiri, bagaimana kita hendak tahu perkara-perkara yang lain? Yang dimaksudkan dengan Mengenal Diri itu bukanlah mengenal bentuk lahir kita, badan, muka, kaki, tangan dan lain-lain anggota kita itu. Kerana mengenal semua perkara itu tidak akan membawa kita mengenal Allah. Dan bukan pula mengenal setakat perkara dalam diri kita iaitu bila kita lapar kita makan, bila dahaga kita minum, bila marah kita memukul dan sebagainya. Jika kita bermaksud demikian, maka binatang itu sama juga dengan kita. Yang dimaksudkan sebenar mengenal diri itu ialah;

· Apakah ada dalam diri aku itu? · Dari mana aku datang? · Ke mana aku akan pergi? · Apakah tujuan aku berada dalam dunia fana ini? · Apakah sebenarnya bahagia dan apakah sebenarnya derita?

Sebahagian daripada sifat-sifat kita adalah bercorak kebinatangan.Sebahagian pula bersifat Iblis dan sebahagian pula bersifat Malaikat. Kita hendaklah sedari sifat yang mana perlu ada; dan yang tidak perlu. Jika kita tidak tahu, maka tidaklah kita tahu di mana letaknya kebahagiaan kita itu.

Kerja binatang ialah makan minum, bekerja, tidur,bersyahwat dan berkelahi. Jika kita hendak jadi binatang, buatlah itu sahaja. Iblis dan syaitan itu sibuk hendak menyesatkan manusia, pandai menipu dan berpura-pura. Kalau kita hendak menurut mereka itu, buatlah sebagaimana kerja-kerja mereka itu. Malaikat sibuk dengan memikir dan memandang Keindahan Ilahi. Mereka bebas dari sifat-sifat kebinatangan. Jika kita ingin bersifat dengan sifat KeMalaikatan, maka berusahalah menuju asal kita itu agar dapat kita mengenali dan memikirkan Allah Yang Maha Tinggi dan bebas dari belenggu hawa nafsu. Kita hendaklah tahu kenapa kita dilengkapi dengan sifat-sifat kebinatangan itu. Adakah sifat-sifat kebinatangan itu akan menaklukkan anda atau adakah anda menakluki mereka?. Dan dalam perjalanan kita ke atas martabat yang tinggi itu, kita akan gunakan mereka sebagai tunggangan dan sebagai senjata.

Langkah pertama untuk mengenal diri ialah mengenal dalam diri itu terdiri dari bentuk yang zahir, iaitu badan; dan perkara yang batin iaitu hati atau Ruh. Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu bukanlah seketul daging yang terletak dalam sebelah kiri badan. Yang dimaksudkan dengan "HATI" itu ialah satu perkara yang menggunakan semua keupayaan; yang lain itu hanyalah sebagai alat dan kakitangannya. Pada hakikat hati itu bukan termasuk dalam bidang Alam Nyata(Alam Ijsam) tetapi adalah termasuk dalam Alam Ghaib. Ia datang ke Alam Nyata ini ibarat pengembara yang melawat negeri asing untuk tujuan berniaga dan akhirnya kembali akan kembali juga ke negeri asalnya. Mengenal perkara seperti inilah dan sifat-sifat itulah yang menjadi "Anak Kunci" untuk mengenal Allah.

Sedikit idea tentang hakikat Hati atau Ruh ini bolehlah didapati dengan memejamkan mata dan melupakan segala perkara yang lain kecuali diri sendiri. Dengan cara ini, dia akan dapat melihat tabiat atau keadaan "diri yang tidak terbatas itu". Meninjau lebih dalam tentang Ruh itu adalah dilarang oleh hukum. Dalam Al-Quran ada diterang; Mereka bertanya kepadamu tentang Ruh. Katakanlah Ruh itu adalah dari Amar(perintah atau urusan) TuhanKu". (Bani Israil:85)

Demikianlah sepanjang yang diketahui tentang Ruh itu dan ia adalah jauhar yang tidak boleh dibahagi-bahagi atau dipecah-pecahkan dan ia termasuk dalam "Alam Amar". Ianya bukanlah tidak ada permulaan. Ia ada permulaan dan diciptakan oleh Allah. Pengetahuan falsafah yang tepat berkenaan dengan Ruh ini bukanlah permulaan yang mesti ada dalam perjalanan Agama, tetapi adalah hasil dari disiplin diri dan berpegang teguh dalam jalan itu; seperti tersebut di dalam Al-Quran; "Siapa yang bersungguh-sungguh dalam jalan Kami, nescaya Kami akan pimpin mereka ke jalan yang benar itu". (Al-Ankabut:69)

Untuk menjalankan perjuangan Keruhanian ini, bagi mencapai pengenalan kepada diri dan Tuhan, maka · badan itu bolehlah diibaratkan sebagai sebuah Kerajaan, · Ruh itu ibarat Raja. · Pelbagai deria(senses) dan keupayaan(fakulti) itu ibarat satu ketumbukan tentera, · Aqal itu bolehlah diibaratkan sebagai Perdana Menteri. · Perasaan itu ibarat Pemungut Hasil. · Marah itu ibarat Pegawai Polis. Dengan pakaian Pemungut Hasil, perasaan itu berterusan ingin hendak merampas, merabuk dan marah sentiasa cenderung kepada kekasaran.Kedua-dua mereka ini perlu ditundukkan ke bawah perintah Raja. Bukan dibunuh atau dimusnahkan kerana mereka ada tugas yang perlu mereka jalankan, tetapi jika perasaan dan marah menguasai Aqal, maka tentulah Ruh akan hancur.

Ruh yang membiarkan keupayaan-keupayaan yang bawahnya menguasai keupayaan-keupayaan yang atas adalah ibarat orang orang yang menyerahkan malaikat kepada kekuasaan Anjing atau menyerahkan seorang Muslim ke tangan orang Kafir yang zalim. Orang yang menumbuh dan memelihara sifat-sifat iblis atau binatang atau Malaikat akan menghasilkan ciri-ciri atau watak yang sepadan dan dengannya iaitu iblis atau binatang atau Malaikat itu. Dan semua sifat-sifat atau ciri-ciri ini akan dizahirkan dengan bentuk-bentuk yang kelihatan di Hari Pengadilan.· Orang yang menurut hawa nafsu terzahir seperti babi, · orang yang garang dan ganas seperti anjing dan serigala, · dan orang yang suci seperti Malaikat.

Tujuan disiplin akhlak (moral) ialah untuk membersihkan Hati dari karat-karat hawa nafsu dan marah, sehingga ia jadi seperti cermin yang bersih yang akan membalikkan Cahaya Allah Subhanahuwa Taala. Mungkin ada orang bertanya; "Jika seorang itu telah dijadikan dengan mempunyai sifat-sifat kebinatangan, Iblis dan juga Malaikat, bagaimanakah kita hendak tahu yang sifat-sifat Malaikat itu adalah jauharnya yang hakiki dan yang lain-lain itu hanya sementara dan bukan sengaja?" Jawabannya ialah jauhar atau zat sesuatu makhluk itu ialah dalam sifat-sifat yang paling tinggi yang ada padanya dan khusus baginya. Misalnya keldai dan kuda adalah dua jenis binatang pembawa barang-barang, tetapi kuda itu dianggap lebih tinggi darjatnya dari keldai kerana kuda itu digunakan untuk peperangan. Jika ia tidak boleh digunakan dalam peperangan, maka turunlah ke bawah darjatnya kepada darjat binatang pembawa barang-barang sahaja.

Begitu juga dengan manusia; keupayaan yang paling tinggi padanya ialah ia boleh berfikir iaitu ia ada Aqal. Dengan fikiran itu dia boleh memikirkan perkara-perkara Ketuhanan. Jika keupayaan berfikir ini yang meliputi dirinya, maka bila ia mati (bercerai nyawa dari badan), ia akan meninggalkan di belakang semua kecenderungan pada hawa nafsu dan marah, dan layak duduk bersama dengan Malaikat. Jika berkenaan dengan sifat-sifat Kebinatangan, maka manusia itu lebih rendah tarafnya dari binatang, tetapi Aqal menjadikan manusia itu lebih tinggi tarafnya, kerana Al-Quran ada menerangkan bahawa; "Kami telah tundukkan segala makhluk di bumi ini kepada manusia" (Luqman:20)

Jika sifat-sifat yang rendah itu menguasai manusia, maka setelah mati, ia akan memandang terhadap keduniaan dan rindukan kepada keseronokan di dunia sahaja. · Ruh manusia yang berakal itu penuh dengan kekuasaan dan pengetahuan yang sangat menakjubkan. · Dengan Ruh Yang Berakal itu manusia dapat menguasai segala cabang ilmu dan Sains; · Dapat mengembara dari bumi ke langit dan balik semula ke bumi dalam sekelip mata, · Dapat memeta langit dan mengukur jarak antara bintang-bintang. · Dengan Ruh itu juga manusia dapat menangkap ikan-ikan dari laut dan burung-burung dari udara, dan · Menundukkan binatang-binatang untuk berkhidmat kepadanya seperti gajah, unta dan kuda.

Lima deria (pancaindera) manusia itu adalah ibarat lima buah pintu terbuka menghadap ke Alam Nyata (Alam Syahadah) ini. Lebih ajaib dari itu lagi ialah ia ada Hati. Hatinya itu ada sebuah pintu yang terbuka menghadap ke Alam Arwah (Ruh-ruh) yang ghaib. Dalam keadaan tidur, apabila pintu-pintu deria tertutup, pintu Hati ini terbuka dan manusia menerima khabaran atau kesan-kesan dari Alam Ghaib dan kadang-kadang membayangkan perkara-perkara yang akan datang. Maka hatinya adalah ibarat cermin yang membalikkan (bayangan) apa yang tergambar di Luh Mahfuz. Tetapi meskipun dalam tidur, fikiran tentang perkara keduniaan akan menggelapkan cermin ini. Dan dengan itu gambaran yang diterimanya tidaklah terang. Selepas bercerai nyawa dengan badan (mati), fikiran-fikiran tersebut hilang sirna dan segala sesuatu terlihatlah dalam keadaan yang sebenar. Benarlah firman Allah dalam Al-Quran; "Kami telah buangkan hijab dari kamu dan pandangan kamu hari ini sangatlah terang dan nyata". (Surah Qaf:22).

bersambung.....