Thursday, 2 February 2017

Dakwa Dan Dakwi

Untuk menuntut Ilmu KeTuhanan melalui jalan para ‘arifbiLlah, kita mestilah memahami beberapa syarat atau disiplin yang perlu ada, tanpanya perjalananmu tidak sempurna kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Kalam hikmah dalam al-Hikam mengatakan “permulaan awal yang benar akan melahirkan akhir yang benar.”

Allah telah menciptakan alam ini, perjalanan insan dengan hukum sebab musabab.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”. (Ar-Ra’du : 11)


Kita perlulah mendapat bimbingan seorang guru yang mursyid yang memiliki segala syarat-syarat dan kelayakan. Berhati-hatilah dengan zaman ini kerana amat sukar untuk mendapatkannya sehingga Imam Al-Ghazali mengatakan, (bertemu) guru mursyid di zamannya bagaikan mendapat belerang merah.

Ramai yang ada pada hari ini adalah (guru) dakwaan, kepalsuan malah ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengikut yang ramai, mendapatkan kekayaan, kehormatan dan mengambil kesempatan terhadap wanita melalui jalan yang tiada syarak. (Mereka juga) memasukkan pelbagai ajaran kebatilan, membuat pelbagai dakwaan seperti ia adalah wali Allah, sultan Auliya, Qutub Alam dan sebagainya. Mendakwa dapat kasyaf, memiliki firasat, karamah, sentiasa didatangi Imam Mahadi, para wali yang ghaib, mencari harta karun, berguru dengan guru ghaib, berhujah dengan ilham, mimpi, suka menceritakan hal-hal kerohanian dirinya, mendakwa boleh meninggalkan syariat atau meringankan syariat kerana sudah mencapai fana dan sebagainya.

Sebaiknya dibuat penilaian dari sudut akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, syariatnya, ilmunya, pegangannya, salasilahnya, perguruannya. Kita juga perlu melihat akhlaknya seperti amat ikhlas, menjauhi akan kemasyhuran, tiada mencintai makhluk malah suka jika ditinggalkan, suka bersendirian kerana asyik dengan Tuhannya, mempunyai pelbagai ilmu, tidak jumud dan sebagainya.

Jauhilah guru yang membuat pelbagai dakwaan atau yang menunjukkan kelebihan kerana ia bukan matlamat tasauf yang hakiki. Ingatlah bahawa guru akan menjadi sahabat sejati dimana ia amat mempengaruhi kehidupan kita. Carilah guru yang dapat memberi petunjuk pada kita dengan lisan dan perbuatannya.

Sebaiknya lengkapkan diri kita dengan kemantapan ilmu baik ilmu usul, memahami tasauf dari kitab yang muktabar, mengetahui dengan baik syariah serta meminta nasihat dari orang yang mempunyai ilmu dari bidang tersebut yang dipercayai akan keadilan dan keilmuannya. Ia adalah langkah terbaik sebelum mengikuti mana-mana guru tasauf agar dengan ilmu tersebut, ia menjadi penyuluh diri kita dalam mengamalkannya agar tidak mudah ditipu apalagi tersesat. Ini adalah zaman yang amat memerlukan kita berhati-hati.

Tasauf tidak lain hanyalah membawa pengamalnya kepada makrifat dan ubudiyyah yang tinggi kepada-Nya dengan penuh keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan berpegang teguh pada syariat dan sunnah Rasulullah SAW.

Thursday, 26 January 2017

Ujian Suatu Kasih Sayang

Wahai diriku,

Dirimu sentiasa diuji dengan bermacam-macam perkara. Sehinggalah dirimu mengangkat bendera putih ke hadrat Penciptamu. Dia yang menciptakan dirimu dari setitis air yang tiada nilai pun di sisi makhluk dan memberikan segala rezeki untuk dirimu. Anak, isteri, rumah, kenderaan, pekerjaan, kesihatan dan pelbagai lagi telah disediakan untukmu. Asalnya dirimu hanyalah datang dalam keadaan lemah dan tidak berpakaian. Sekarang kau lihat apa yang kamu ada sekarang? Adakah ini semua masih tidak mencukupi?

Wahai diriku,

Ujian dengan anak, isteri dan harta benda adalah merupakan proses untuk mengingatkan kehebatan diri-Nya. Cukup rezeki-keperluan atau tidak adalah bukan isunya jika hatimu benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Kau tahu bukan, tujuan hidupmu diciptakan adalah utk ‘mengabdikan’ diri kepada Tuhan. Pengabdian kepada Tuhan adalah matlamat ‘utama’ kamu diciptakan. Apakah dengan pemberian rezeki berupa anak, isteri dan harta benda itu melalai kamu dengan pengabdian kepada Tuhan atau menguatkan lagi pengabdian kepada Tuhan.

Wahai diriku,

Janganlah sedih dan terkilan dengan ujian dari Tuhan. Ini semua adalah jalan untuk mendidik hawa nafsumu yang jahat. Jalan ini juga adalah untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu. Inilah kasih sayang Allah kepadamu, agar kamu terus merasa lemah, berhajat, fakir dan tunduk pada Allah swt yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Tanpa ujian ini, nafsu dalam dirimu tidak akan menyedari bahawa dirimu sedang berada dalam kesombongan, keangkuhan, kehebatan dan takabur. 

Wahai diriku,

Melalui ujian, dirimu tidak akan mengaku semua yang kamu miliki sekarang ini adalah datang dari usaha, ilmu dan kebijakan dirimu. Berapa ramai di luar sana mengaku bahawa kekayaan harta benda, kecantikan isteri-isteri, keramaian anak-anak adalah datang daripada kehebatan akal dan ilmu diri sendiri. Inilah kesyirikan yang tiada disedari oleh mereka. Maka insaflah wahai diriku, Allah itu amat menyayangi dirimu agar dirimu tidak lalai dan leka dengan diri-Nya yang Maha Perkasa dan Kuasa.

Wahai diriku,

Pegang, gengam serta gigit sekuat-kuatnya pesanan gurumu bahawa merasai sifat kehambaan, nafas yang sentiasa bersyukur dan hati yang sentiasa mencari cinta Allah adalah penawar untuk dirimu tenang dan aman dengan ujian hidup......

Wahai guruku,

Jutaan terima kasihku kepadamu kerana banyak membimbing diriku yang selalu lalai dengan Allah swt. Dirimu telah banyak memberi daku kesedaran akan hakikat kehidupan ini.

Ya Rasulullah,

Selawat dan salam sejahtera buat dirimu, ahli keluargamu dan para sabahatmu kerana telah membawa cahaya kerahmatan di alam maya ini. Tanpa dirimu, pasti diriku tidak wujud dan pasti dalam kegelapan.



Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku pohon keampunan dari Mu atas kelalaianku dan sujudku hanyalah untuk-Mu..

Sunday, 1 January 2017

Selawat Fatih

Selawat Fatih ini mampu membukakan asrar (rahsia) ajaib yang menghairankan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya seratus kali setiap hari. Ramai yang mempertikaikan selawat ini tetapi mengejar sesuatu fadhilat itu tidak salah.

Sememangnya naluri manusia inginkan sesuatu sebagai imbuhan, umpamanya pahala dan fadhilat membaca sesuatu selawat. Itulah hikmah diwujudkan fadhilat.

Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau nak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.

.

Selawat Fatih dari  As-Sayyid Abul Makkkarim Asy-Syeikh Muhammad Syamsuddin;

.

.

.

Huraian Makna Selawat Fatih

.

Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya Amalan Kecemerlangan Rohani (1993) seperti berikut:

.

Yang membuka apa yang tertutup – Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad  SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.

.

Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.

.

Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu – Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran.

.

Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran – Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .

.

Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus – lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW  penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.

.

Kelebihan Dan Fadhilat Selawat Fatih:

.

Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersenidiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulamak terdahulu. Antara kelebihan Selawat Fatih ialah :

.

1.  Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.

.

2.  Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.

.

3.  Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.

.

4.  Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.

.

5.  Sesiapa mengamalkan  dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.

.

6.  Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,

.

7.  Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.

.

8. Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.

.

9. Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.

.

10. Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,

1) Baca surah al-Qadr,

2) Baca al-Zalzalah,

3) Baca al-Kafirun,

4) Baca Ma-’uzatain.

Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih.

.

Oleh kerana banyaknya fadhilat Selawat Fatih ini, maka marilah kita amalkan membacanya secara istiqamah.

.

.

Wallahu A’alam Bissowab

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Tuesday, 13 December 2016

Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia?

Masih adakah lagi orang yang percaya dengan ungkapan "Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia?"  Kalau ada, mari kita dengar hujjah-hujjah berikut ini dan nilaikan sendiri. 


Ada yang mengatakan bahawa ungkapan ini adalah hadits Nabi S.a.w. Walaubagaimana pun tidak ditemui sama sekali sama ada ia Hadits Shahih, Hasan, mahupun Dhaif. Ianya mungkin hanya ungkapan dari orang-orang tua Melayu lama yang salah faham tentang alam jin.

Mari kita dengar apa yang Al-Quran Al-Karim katakan tentang Jin. "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang shaleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya, adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza."  [Surah Al-Jin : ayat 11]

Sila lihat juga Kisah jin mendengar Rasulullah S.a.w membaca Al-Quran

Ayat di atas menyebut dengan jelas bahawa ada jin yang shaleh (baik). Iaitu jin-jin yang beriman dengan apa yang didengar dari Rasulullah S.a.w. Ini bermakna para jin yang mendengar bacaan Al-Quran oleh Rasulullah S.a.w itu juga adalah Sahabat Nabikerana sahabat Nabi ialah siapa yang berjumpa dan beriman dengan Nabi Muhammad S.a.w hingga ke akhir hayat.

Allah telah menegaskan bahawa ada beberapa jin yang beriman dan mendengar Al-Quran dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sehingga mereka juga adalah sahabat dan orang-orang pilihan." [Imam Ibnu Hazm - al-Muhalla bil atsar, 9:365]

Maka adakah patut kita mengatakan Sahabat Nabi itu sama dengan sejahat-jahat manusia? Sungguh tidak patut sama sekali dan itu merupakan satu tuduhan yang bathil. 

Apa lagi ada pendapat yang mengatakan, para jin juga ada para nabi atau utusan pendakwah mereka sendiri, berdasarkan kepada ayat;

"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?....... " [Surah Al-An'aam : ayat 130]

Ibnu Abbas mengatakan bahawa para Rasul adalah dari kalangan Bani Adam, sedangkan dari kalangan jin sedikit sekali.  Imam Ibnu Jarir at-Thabari meriwayatkan dari Ad-Dhahak ibnu Muzahim, dia menduga bahawa dari kalangan jin terdapat rasul-rasul, dan pendapatnya itu berlandaskan kepada dalil ayat ini (di atas). Pendapat tersebut masih perlu dipertimbangkan, kerana apa yang dikatakannya itu masih bersifat ihtimal (hipotesis) dan makna ayat tidak jelas menunjukkan pengertian itu. Perihalnya, hanya Allah yang lebih mengetahui. [Tafsir Ibnu Katsir]

Menurut Mujahid, Ibnu Juraid dan lain-lainnya, mengatakan bahawa para Rasul itu hanyalah dari golongan manusia sahaja. Tiada satu pun dari kalangan makhluk jin yang menjadi rasul.  [Tafsir Ibnu Katsir]

Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad S.A.W. [Tafsir al-Razi]

"Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran) ada di antara kami golongan yang Muslim, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." [Surah Al-Jin : ayat 14]

Maka bagaimana mungkin jin yang Muslim dan taat kepada Allah S.w.t disamakan dengan manusia yang paling jahat? Adalah tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali. Sedangkan sejahat-jahat Iblis pun, dia tidak mengaku dia itu Tuhan. Tetapi ada manusia yang mengaku dirinya adalah tuhan, contohnya Firaun.

"Lalu dia (Firaun) menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru. Dengan berkata:"Akulah tuhan kamu, yang tertinggi"." [Surah An-Naazi'aat : ayat 23 - 24]

Begitu juga dengan kisah Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. Raja Namrudmerupakan manusia pertama di dunia ini yang mengaku sebagai Tuhan.

"Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu (Namrud) kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Dia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim." [Surah Al-Baqarah : ayat 258]

Begitu juga dengan Dajjal yang suatu hari nanti akan keluar dan akan mengaku sebagai Tuhan. Dajjal merupakan kemuncak manusia mengaku sebagai Tuhan, mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh Namrud dan Firaun suatu waktu dahulu.

Kita juga pernah mendengar ada manusia (ramai dari kaum Bani Israel dulu) yang membunuh para nabi dan rasul a.s. Tetapi kita belum pernah dengar lagi cerita tentang para jin membunuh para nabi.

Dan ramai lagi manusia-manusia jahat dan dicela di dalam Al-Quran dan Al-Hadits termasuklah Dajjal, Abu Lahab, Abu Jahal dan sebagainya. Secara rasionalnya pun sudah tidak munasabah sebaik-baik jin adalah sama dengan mereka-mereka tadi. Sedangkan para jin juga ada yang akan masuk syurga (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan jin akan menjadi debu seperti haiwan menjadi debu), kerana jin juga diuji keimanan mereka dan disuruh beribadat kepada Allah S.w.t.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". [Surah Az-Dzaariyaat : ayat 56]

Imam Ibnu Hazm mengatakan dalam al-Milal wan-Nihal, "Mereka (jin) masuk Syurga."

"Dan masing-masing memperolehi darjat (seimbang) dengan apa yang dikerjakannya." [Surah Al-An'aam : ayat 132]

Abus-Syeikh mentakhrij dari Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: "Makhluk itu ada empat macam; makhluk di syurga semuanya, makhluk di neraka semuanya dan dua makhluk di syurga dan neraka. Yang di syurga semuanya adalah Malaikat, yang di neraka semuanya adalah syaitan. Adapun yang di syurga dan di neraka adalah jin dan manusia. mereka mendapat pahala dan seksa."  [Ustaz Zahazan Mohamed]

Kesimpulan

Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz telah membuat kesimpulan ringkas tentang benarkah sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia, dalam bukunya Mombongkar Rahsia Jin, Syaitan, dan Iblis dalam Al-Quran, mengatakan bahawa kenyataan itu adalah zalim dan salah kerana;

1 - Jin dipertanggungjawabkan dengan taklif agama Allah yang memungkin mereka ke syurga ataupun neraka. Surah Ar-Rahman, ayat 31 hingga 32.

2 - Allah mengiktiraf kewujudan golongan jin yang shaleh dan layak ke syurga. Surah Al-Jin, ayat 11 dan 14.

3 - Allah mengiktiraf para utusan dan pendakwah daripada golongan jin. Surah Al-Ahqaaf, ayat 29 hingga 32.

4 - Generasi awal jin yang memeluk Islam di tangan Rasulullah S.a.w diiktiraf sebagai para sahabat Nabi oleh ulama Hadits.

5 - Nabi Muhammad S.a.w memuji para sahabatnya daripada kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah ketika mendengar Surah Ar-Rahman. Dari Sunan At-Turmudzi.

6 - Allah menyediakan syurga untuk manusia dan jin yang beriman. Surah Ar-Rahman, ayat 56.  [Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz - Mombongkar Rahsia Jin, Syaitan, dan Iblis dalam Al-Quran]

Tidak kira jin atau manusia, masing-masing membawa watak baik atau jahat secara individu. Tidak perlu lah kita tuduh secara pukul rata kerana kejahatan segelintir jindengan mengatakan semua jin itu jahat. Suka kah kita apabila ada seorang Muslim yang membuat kejahatan, kemudian semua Muslim dituduh sebagai jahat atau "terrorist"?  Maka begitulah halnya dengan bangsa jin. Mereka juga tidak suka anda menuduh yang bukan-bukan terhadap mereka.

Adakah anda masih mahu mengatakan "sebaik-baik jin itu adalah sejahat-jahat manusia?" Itu merupakan satu tuduhan yang sangat berat. Kita akan kena jawab di akhirat nanti di atas tuduhan tidak berasas itu.

Saturday, 13 August 2016

Kalam dari seorang Arifbillah


Dirimu adalah rahsia Allah, tiada yang mengetahuinya melainkan yang berilmu, mengenali diri adalah pembukaan pada alam ghaib yang tinggi. Ramai manusia yang telah buta dan tertipu dengan pandangan basyariah, mereka tidak dapat melihat hakikat disebalik kehidupan. Jiwa dinodai dengan cinta dunia, Tuhan dibelakangi dan akibatnya hati terhijab dengan cahaya kebenaran. Hati tidak berfungsi sebagai alat menerima hidayah, hati tidak menyelami rahsia makrifat dan akhirnya hati menjadi mati untuk iman.
Amat bahaya kehidupan ini jika tiada ilmu, ilmu adalah cahaya bagi jiwa bagaikan matahari bagi alam. Tanpa cahaya manusia dalam kegelapan dan begitu jua tanpa ilmu, manusia kegelapan dalam melihat kebenaran. Tiada jalan lain, kembalikan rohani kepada kebersihan sehingga terpancar kembali ilmunya dialam arwah bagaikan mata air yang keluar dari bumi. Cahayakan kembali ia dengan mematuhi segala hukum syariatnya, beramal dengan jalan tarekah tasauf yang haq sehingga mencapai maqam hakikat dan makrifat. Janganlah hanya berdiri dialam syariat sahaja, berdiri diatas ilmu fekah semata-mata. Ia boleh mengeraskan hati sehingga jiwamu jauh dari kelembutan dan keindahan amal Islam. Tenggelamlah dirimu dalam lautan tasauf yang akan membawa dirimu mengecapi kebahagiaan yang hakiki. Islam akan menjadi kuat apabila pendukungnya adalah mereka yang berjaya menundukkan hawanafsu, Islam akan kelihatan indah pada mukmin yang jiwanya terpancar rahsia makrifat. 

Tuesday, 2 August 2016

Hakikat Permusuhan Dengan Siapakah?

Kerosakan demi kerosakan berlaku di dunia dan di dalam masyarakat manusia adalah suatu yang pasti akan berlaku. Lihatlah darah umat Islam tidak lagi berharga bahkan darah seekor harimau lebih berharga dan penting bagi manusia. Pembunuhan demi pembunuhan berlaku di atas tujuan keamanan dan kebebasan yang dianjurkan oleh kuasa barat atau kuasa kafir. Keruntuhan akhlak dan budaya Islam juga berlaku satu persatu adalah lambang permusuhan yang akan berlaku sehingga kiamat di antara azazil dan manusia.

Tahukah kita siapa sebenar musuh kita? Tahukah kita siapa yang menyusun atur pembunuhan umat manusia dari segi fizikal, mental dan akidah? Tahukah kita siapa yang menjadi ‘tok dalang’ untuk konspirasi membawa semua manusia (keturunan Adam) kembali kepada alam akhirat bersamanya dalam neraka Jahanam? Tahukah kita siapa proksi-proksi yang dijadikan azazil untuk membawa mesej dan ‘menyihirkan’ umat manusia agar bersamanya ke dalam neraka?

Keimanan vs kekufuran, cahaya vs kegelapan, mahmudah vs mazmumah dan haq vs batil adalah perkara yang akan berterusan berlaku ke atas umat manusia. Siapa memilih keimanan maka ia telah memilih cahaya Allah melalui Nabi-nabi dan Rasul-rasul dan sesiapa yang memilih kekufuran maka ia telah memilih kegelapan melalui jalan iblis atau syaitan.

Permusuhan awal yang berlaku adalah di antara Azazil dan Nabi Adam A.S. Kita wajib memahami bahawa ‘permusuhan’ ini akan berlaku sehingga ke hari kiamat. Renungi dan fahami akan

Firman Allah swt yang bermaksud;
Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".[Al-Baqarah 30]

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat: "Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam". Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan Iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia dari golongan yang kafir. [Al-Baqarah 34]

Dan kami berfirman: "Wahai Adam! Tinggalah engkau dan isterimu dalam syurga, dan makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja kamu berdua sukai, dan janganlah kamu hampiri pokok ini; (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari golongan orang-orang yang zalim". [Al-Baqarah 35]

Setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman:
"Turunlah kamu! Sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)". [Al-Baqarah 36]

Kami berfirman lagi: "Turunlah kamu semuanya dari syurga itu! Kemudian jika datang kepada kamu petunjuk dariKu (melalui Rasul-rasul dan Kitab-kitab yang diturunkan kepada mereka), maka sesiapa yang mengikuti petunjukKu itu nescaya tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita".[Al-Baqarah 38]

Kenali siapa musuh
Sebenarnya makhluk yang bernama Azazil inilah musuh kita yang sebenarnya. Diberi nama Iblis kerana keingkaran dia untuk mematuhi perintah Allah. Permusuhan dan kedengkian Iblis bermula setelah Allah mengkafirkan dan menghalau dia dari Syurga. Semua makhluk ciptaan Allah adalah berasal dari Syurga. Lantaran keangkuhan dan kesombongan Iblis maka dikeluarkan Iblis dari syurga dan begitu juga terkeluarnya Nabi Adam AS bersama Hawa dari syurga disebabkan terpengaruhnya baginda dan isteri dengan bisikan Iblis yang penuh tipu daya.

Setelah nabi Adam as dan Hawa terkeluar dari Syurga, maka hiduplah mereka berdua di bumi. Setelah itu, bermulalah kelahiran zuriat dan keturunan nabi Adam. Iblis juga telah berjanji dan meminta izin di hadapan Allah akan mengajak dan menyesatkan keturunan Adam as sehingga ke hari kiamat. Allah membenarkan janji Iblis dan memberi tempoh kepada Iblis serta juga memberi peringatan bahawa Iblis tidak akan dapat mengajak hamba-Nya yang ikhlas dalam mentaati Allah.

Oleh yang demikian, pembunuhan pertama yang berlaku di dunia ini adalah di antara Habil dan Qabil. Perbalahan adalah disebabkan nafsu yang mencintai wanita. Wanita telah menjadi ‘asset’ untuk Iblis membuat Qabil membunuh saudaranya iaitu Habil. Ini adalah sejarah dan fakta yang perlu kita fahami dan ketahui. Pembunuhan bermula di sini dan ianya akan berlaku sehingga ke hari kiamat. Apakah punca pembunuhan ini berlaku sehingga ke hari kiamat? Iblis menjadikan dunia ini seperti ‘syurga’ melalui proksi-proksi yang telah disusun atur dengan cara yang amat berstrategi dan rapi. Kerosakan dan pembunuhan ini terus berlaku dari umat nabi terdahulu sampai munculnya Nabi Muhammad saw.

Peperangan yang dijalankan

Kita dapat melihat keadaan dunia hari ini, kerosakan yang berlaku dari segi mental, fizikal dan rohani. Serangan berlaku di mana-mana ke atas umat manusia dan orang Islam. Mereka telah menguasai sistem hidup manusia. Dari segi mental, umat Islam dijajah pemikirannya dengan pelbagai fahaman yang bertentangan dengan pemikiran nabi saw. Dari segi kuasa ketenteraan, umat Islam dibunuh dengan begitu mudah lantaran kuasa politik hanya ada pada ‘nama’ tetapi hakikat tiada berkuasa sedikit pun. Pemerintahan pun mengikut acuan mereka. Penyembahan manusia hari ini adalah kepada dunia. Mereka mengajar dan mendidik manusia mencintai dunia dan tertipu dengan ilmu teknologi yang canggih dan hebat. Siapakah yang mencipta Piramid? Terfikirkah kita bagaimana mereka menciptakan? Apakah teknologi yang mereka gunakan?. Dari segi sosial, wanita dijadikan simbol seks dan diberi hak kebebasan dan kesamarataan seperti kaum lelaki sehingga mereka mudah bergaul dengan lelaki dan mudah melakukan seks di luar perkahwinan dan juga seks di luar tabii. Dari segi pendidikan, mereka membuat silibus yang menyebabkan umat manusia bergantung hidup dengan sekeping sijil. Tanpa sijil kita akan nampak hina dan rezeki kita akan tiada. Hilang dalam batin umat Islam bahawa rezeki itu adalah daripada Allah swt. Diwujudkan pangkat-pangkat tertentu supaya manusia terpesona dengan pangkat dan tahap sijil masing-masing. Dari segi ekonomi, mereka menyusun dan memperhebatkan sistem riba yang diharamkan oleh Allah swt dan juga sistem baru yang menindas kaum yang miskin dan lemah. Dengan sistem-sistem ini, orang kaya bertambah kaya dan orang miskin bertambah miskin. Hutang berterusan sampai ke mati. Dari segi sistem permakanan dan peniduran (rehat), mereka telah menyebarkan satu sistem pemakanan dan tidur yang berjadual sehinggakan umat Islam menghabiskan masa hanya untuk makan dan tidur. Sistem permakanan dan tidur yang bertentangan sama sekali dengan cara makan dan tidur Nabi saw. Dengan cara pemakanan dan tidur yang tidak mengikut sistem ajaran Nabi saw, maka kita tidak akan berbau untuk mengikut jejak langkah nabi saw yang dapat ‘bangun malam’ untuk berkhalwat dengan Allah. Dari segi tauhid, ini yang paling dahsyat sekali ialah pembunuhan dan pemyembelihan ‘akidah’ umat Islam. Mereka mengajak umat manusia mensyirikkan Allah swt. Syirik Akbar(besar) dan syirik Khofi (tersembunyi). Tiada siapa yang memahami akan pemyembelihan akidah umat Islam kecuali alim ulama yang haq. Mati dalam keadaan beriman atau pun tidak. Mati dalam mengenali Allah atau pun tidak. Mati dalam ketauhidan atau pun tidak. Inilah yang dibawa nabi-nabi dan rasul-rasul iaitu ketauhidan kepada Allah. Menyeru menyembah Allah bukan menyembah Iblis (syaitan).

Musuh umat Islam yang terkenal ialah Yahudi dan Nasrani. Sebenarnya mereka adalah proksi Iblis.

Mereka dijadikan oleh Iblis sebagai alat untuk membunuh umat manusia dan orang-orang Islam. Mereka telah menandatangani perjanjian dengan Iblis untuk membantu menyesatkan Umat Islam yang bertauhidkan Allah swt. Iblis telah melantik secara rasminya manusia yang diberi gelaran ‘Dajjal’ untuk menguasai alam zahiri (sistem dunia) dan‘Syaitan’ atau Azazil menguasai alam batin (wilayah alam ghaib). Pusat pemerintahan (ibu pejabat) mereka adalah di ‘Segitiga Bermuda’.

Dajjal adalah manusia yang dilantik oleh Iblis semasa di zaman Nabi Musa as. Beliau bernama Musa Asamiri. Ketika itu, Pemerintah Firaun telah menjalani operasi membunuh anak-anak lelaki kerana beliau mendapat maklumat akan lahir lelaki yang akan menentang beliau. Musa asamiri dibela dan dibesarkan oleh Malaikat Jibril. Musa asamiri telah disusui oleh Malaikat Jibril melalui hujung jari tangan Jibril. Musa asamiri mempunyai beberapa kelebihan sehingga Azazil telah memperdaya dan mempengaruhi Musa Asamiri dengan mengajar ilmu yang hebat. Kelebihan beliau itu menyebabkan beliau hidup ke saat ini. Semasa Nabi Musa as beruzlah (berkhalwat dengan Allah), Musa Asamiri telah memperdayakan kaum Nabi Musa as dengan menjadikan anak lembu boleh bercakap. Anak lembu itu boleh bercakap dengan cara Musa Asamiri telah memasukkan debu-debu tapak kaki Jibril ke dalam badan anak lembu. Maka hasilnya, Musa Asamiri mengatakan anak lembu itu sebagai Tuhan. Maka sesat dan kufurlah pengikut nabi Musa ketika itu. Setelah Nabi Musa pulang dari beruzlah, maka terkejutlah baginda dengan umatnya dan pada masa yang sama Musa Asamiri telah lari dan menyembunyikan diri daripada Nabi Musa as.

Gerakan penyelamat 

Seterusnya berlakulah penyelewengan tauhid yang berterusan oleh Azazil dan Dajjal ke atas umat Nabi sehingga keluarnya penyudah Nabi Muhammad saw. Setelah kelahiran Nabi Muhammad saw, maka azazil dan bala tenteranya menjadi lemah. Cahaya Nabi saw telah menyebabkan umat manusia tidak lagi ditipu oleh cahaya kekufuran Azazil. Sehinggakan kelahiran Nabi saw juga telah dihidu oleh azazil tetapi Allah telah memelihara baginda Nabi saw daripada di bunuh oleh proksi azazil. Setelah umat Nabi saw telah bercahaya dengan cahaya yang dibawa oleh baginda Nabi saw, maka umat manusia menjadi umat yang bertauhid kepada Allah swt. Gerakan penyelamat oleh Nabi saw, para sahabat ra dan para khulafa Al rasyidin telah menjadikan umatnya menyembah hanya kepada Allah secara total dan Islam. Seterusnya sistem Islam berkembang ke seluruh dunia. Islam telah memerintah dunia. Perjuangan ini seterusnya disambung oleh para ulama salafusoleh serta pewarisnya di kalangan ulama akhirat sehingga kemunculan ‘Iman Al Mahdi’.

Kewafatan Nabi Muhammad saw telah menyebabkan kuasa Iblis/Azazil dan Dajjal telah kembali menjadi kuat sehingga umat Islam telah dikuasai dan diselewengkan kembali kepada ajaran Azazil. Setelah itu,umat manusia kembali menjadi kafir, munafik, fasiq dan zindiq sehingga ke hari ini.

Untuk kembali kepada ajaran Nabi Muhammad saw dan para salafusoleh, maka kita wajib bersama dengan para pewaris ilmu dan cahaya Nabi saw. Mereka ialah ulama akhirat, ulama yang haq. Mereka telah menyusun manhaj ilmu kepada masyarakat agar umat manusia tidak berterusan dalam jajahan azazil dan dajjal. Ulama telah mengajak kepada nilai asas iaitu ilmu pelajaran yang bersifat tradisional.

1) Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) aliran Asya’irah dan AL-Maturidiah
2) Fiqh berpegang kepada Mazhab Asy-Shafei(tanpa meninggalkan mazhab-mazhab yang lain dikalangan ASWJ)
3) Tasawwuf aliran Imam Al-Ghazali,Syeikh Junaid Al-Baghdadi dan Imam Abu Hassan Asy-Syazili
4) Sulukiah Rohaniah aliran tarekah-tarekah muktabar
5) Ketamadunan aliran ibnu Khaldun
6) Pengajian bersanad (ada salsilah ilmu dari guru ke guru sehingga ke Nabi saw) 

Mengikuti akhlak Nabi Muhammad saw

Tiada cara lain untuk kembalikan cahaya Nabi saw melainkan kita kembalikan diri kita kepada cara hidup Nabi saw. Sunnah Nabi saw adalah ubat paling mujarab untuk melawan musuh nombor satu kita. Siapa dapat mengamalkan sunnah nabi saw, maka ia berada di dalam cahaya Allah melalui sunnah Nabi saw. Siapa yang meninggalkan sunnah Nabi saw, maka ia berada dalam kegelapan, zulumat, dan kekufuran melalui amalan cara yang diajar oleh azazil/iblis/dajjal. Di antara Akhlak Nabi saw yang perlu kita amalkan ialah;

1) Akhlak Syariat : Wara’ dan Istiqomah

2) Akhlak Batin : Tawaduk, Redha, Cinta Akhirat

3) Akhlak Tauhid: Tawakal, Yakin

4) Akhlak Ihsan :Asyik Muraqabah dan Musyahadah

Inilah akhlak Nabi saw yang telah ditunjukkan oleh baginda Nabi saw kepada umatnya. Manusia manakah lagi yang perlu kita ikuti dan sanjungi? Nabi saw atau Azazil? Cahaya atau kegelapan? Iman atau kafir? Renung dan muhasabahlah diri masing-masing.

5 Dasar-Dasar Untuk Keluar Daripada ‘KEGELAPAN’

Di sini ulama yang haq telah mengariskan beberapa dasar sebagai tambahan untuk kita keluar daripada ‘kegelapan’ atau menjadi pengikut atau pendokong Azazil dan Dajjal.

1) Gabungan Tradisi dan Moden (dari segi cara/method/keilmuan)
2) Mahabbah (cinta) pada Rasulullah saw dengan mengikut akhlak Nabi saw
3) Menghormati perbezaan pendapat, menjauhi mengkritik dan berlapang dada
4) Mencintai Kebahagiaan Akhirat yang lebih baik dan kekal tanpa melupai kebahagian dunia
5) Tafakur fil Quran (baca, faham dan fikir akan isi Quran)

Wasilah (Jalan) Menuju Cahaya

1) Ilmu fardu’ain (tauhid ,fekah dan tasawwuf)
2) Mengubah taiat buruk zahir dan batin
3) Mengubah tabiat makan
4) Mengamalkan zikir lisan, hati, lathaif dan seluruh jasad
5) Mematikan diri dalam solat
6) Cinta dengan perbanyakkan selawat kepada Nabi saw
7) Berdakwah
8) Mengamalkan muraqabah dan musyahadah
9) Bersama dengan ulama akhirat
10) Bergantung diri dengan Allah secara penuh dan bulat
11) Menenangkan akal dan hati dengan ikhlas, sabar, redha, syukur dan bersangka baik
InsyaAllah, melalui jalan dan petunjuk dari ulama yang haq di mana garis-garis dasar dan panduan yang telah dibentangkan kepada kita ini, membolehkan kita dapat pegang dan mengamalkanya sehingga kemunculan pimpinan Agung kita iaitu Imam Al-Mahdi. Siapakah yang akan mengenali Al Imam ini? Hanya guru mursyid yang diberi ilmu oleh Allah sahaja akan mengetahuinya. Guru ini akan menceritakan ciri-ciri atau karakter al-Imam ini kepada murid-muridnya. Bagi mereka yang tiada guru, berusahalah mencarinya agar aqidah kita mantap dengan tipudaya Azazil dan Dajjal.

Semoga dengan berkat amalan-amalan ini, maka kita semua berada di dalam cahaya Nabi saw. Siapa berada bersama cahaya Nabi saw maka dia bersama cahaya Allah swt. Siapa mengambil sebaliknya maka dia akan menjadi teman bersama Iblis untuk ke neraka. Wanauzubillah. Tujuan Iblis adalah untuk mengajak seramai mungkin umat manusia (keturunan Adam as) bersama-samanya di dalam neraka. Justeru itu, berhati-hatilah kita, kenali siapa musuh sebenar kita, jangan kita membuang masa dengan perkara yang kecil yang tiada memberi manfaat sedikit pun untuk diri kita, keluarga kita, masyarakat kita, umat Islam keseluruhannya.

Wednesday, 27 July 2016

Dunia Dan Jiwa

Dunia dan Jiwa

Dunia....
Tempatmu amat indah sekali
Bagi mereka yang terpersona...
Hilang rasa derita....
Bagi mereka yang susah...
Dunia inilah neraka baginya...

Tiada keindahan dan kenikmatan
Melainkan penderitaan, kepayahan dan kesengsaraan...
semua perasaan tenang, susah, senang, derita, bahagia..
adalah berada di dalam jiwa........
Jiwa yang sama merasai semuanya....
Jiwa yang sama juga boleh merasakan susah, senang, derita, bahagia itu adalah SAMA....
tapi bagaimana untuk merasakan ia adalah sama?
carilah penawar dan formulanya...
Penawar dan formulanya berada pada Nabi saw....
nabi saw telah juga perturunkan formula ini kepada semua pewaris baginda..
mereka terdiri daripada ulama dan auliya....
Cintailah ulama dan auliya...pasti penawar dan formula akan diperolehi.........

nukilan: Musafir Kelana