Sunday, 26 March 2017

Seketul Daging

Apabila kita melihat dua pihak berperang, masing-masing mengunakan pelbagai senjata yang memuntahkan peluru yang saling berbunuhan. Yang sebenarnya kita sedang menyaksikan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kedua-dua pihak dizahiran melalui senjata.

Apabila kita mendengar dua orang sedang berkrisis, bermusuhan, bertelagah, bertengkar, saling membenci, tuduh menuduh, caci memaki, sumpah seranah, mengumpat, mengadu domba, mengutuk, kita hakikatnya sedang melihat kedua-dua pihak itu saling memuntahkan sifat mazmumah dari hati masing-masing melalui lidahnya.

Apabila kita dipaparkan berita tentang perogolan, seks luar nikah, pergaulan bebas, sebenarnya kita sedang membaca berita mengenai hati manusia sudah dikuasai nafsu dan syaitan.

Apabila kita melihat manusia yang rakus, tamak haloba sehingga sanggup merompak, mencuri, menyamun, menipu, rasuah, menyeleweng, salah guna kuasa, kita hakikatnya menyaksikan manusia yang hatinya cinta dunia.

Boleh disimpulkan ialah apa jua bentuk gejala negatif, sikap buruk, perbuatan keji dan mungkar adalah berpunca dari hati.

Begitulah sebaliknya, segala sifat positif, mencintai kebaikan, saling berkasih sayang, banyak berbuat kebajikan dan berbakti, inginkan kemajuan, idamkan kesejahteraan dan keharmonian, semuanya datang dari hati yang subur dengan sifat-sifat mahmudah.

Allah perintahkan manusia takut kepada-Nya. Kerana apabila manusia takut kepada Allah, manusia akan menjadi baik. Apabila manusia menjadi baik, bukan Allah yang untung, tetapi faedah dan manfaat dari kebaikan manusia itu akan kembali kepada manusia itu sendiri. Kehidupan manusia menjadi aman damai, tenteram dan harmoni.

Allah perintahkan manusia cinta kepada-Nya. Kerana apabila manusia mencintai Allah, manusia akan berkasih sayang sesama sendiri. Apabila manusia berkasih sayang, bukan Allah yang untung tetapi manusia itu sendiri yang mendapat manfaatnya. Manusia akan bersatu padu, tolong menolong, bela membela dan saling mengenang budi dan jasa antara satu sama lain.

Dunia hari ini bingung dan celaru dalam menghadapi berbagai masalah dan krisis kemanusiaan. Golongan yang bermasalah tidak tahu mengatasi dan menyelesaikan masalah dan tidak tahu di mana tempat mengadu. Pihak yang berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah juga dalam kebingungan kerana setelah dicuba dan dilaksanakan ternyata gagal malah masalah bukan semakin berkurang tetapi semakin bertambah dan merebak. Lebih memeningkan ialah timbul masalah dan gejala baru.

Bukan sedikit tenaga, masa, duit, dan idea yang dikorbankan untuk mencari jalan penyelesaian. Pelbagai kajian dan analisis telah dibuat namun ia tidak menampakkan hasil.

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran “Mengapa Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun memperjuangkan Allah yang satu berbanding hanya 10 tahun memperjuangkan syariat yang beribu”. Sebabnya ialah agar manusia kenal Allah (makrifatuLlah), mengagungkan Allah, membesarkan dan mengutamakan Allah. Merasai takut dan cinta kepada Allah swt. Agar menjadikan Allah swt segala-galanya dan sekaligus sebagai “matlamat”. Apabila ini dimiliki oleh manusia maka manusia akan menjadi beriman dan bertaqwa yang mana natijahnya Allah akan menolong, Allah akan membantu untuk kecemerlangan, kemenangan dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Inilah ubat dan jawapan kepada persoalan manusia. Bahkan inilah faktor yang membawa kepada kegemilangan umat terdahulu yang telah dipaparkan dalam sejarah. Sejarah boleh menjadikan kita panduan.

Di sini barulah disedari bahawa amat penting manusia ciptaan Allah ini kembali kepada mengenal Allah, memahami kerja Allah, memiliki rasa ubudiyah (kehambaan) dan rasa berTuhan. Kerana dengan cara ini sahaja sesuatu masalah dan krisis itu dapat di atasi secara tuntas. Bukan setakat itu sahaja bahkan manusia akan lebih berjaya, cemerlang, bahagia, selamat dan harmoni dalam segala aspek kehidupan. Lebih-lebih lagi sejahtera di akhirat yang kekal abadi.

Thursday, 2 March 2017

Alangkah Bahagianya~

Alangkah bahagianya 
sekiranya degupan jantung, keluar masuk nafas , kerdipan mata ini 
dalam ingatan kepada Allah swt…. 
Tidaklah diri menjadi hidup yang sia-sia… 

Namun……. 
Diri ini tetap lalai dan leka 
Dengan hiburan Makhluk 

Diri ini tetap terpedaya 
Dengan permainan Dunia 
Diri ini tetap tertipu 
Dengan keinginan Nafsu 
Diri ini tetap terpengaruh 
Dengan gurauan Syaitan 
Alangkah ruginya 
Alangkah butanya 
Alangkah pekaknya 
Alangkah terkelirunya dirimu ini…….. 

Ketahuilah... 
Rasul Allah saw telah menunjukkan jalan 
Sahabat dan tabi’I dan tabi’in telah membentangkan jalan 
Ulama’ dan guru-guru telah mengajar dan memimpin… 
Kenapa diri ini masih mengikuti rentak Makhluk, Dunia, Nafsu dan Syaitan?
Adakah kelemahan diri ini? 
Ya benar! Dirimu memang benar dalam kelemahan… 
Kamu diperkuatkan dan kamu diperkehendakkan.. 
Perbuatan kamu adalah datang dari yang mencipta dirimu 
Tetapi dirimu diberi pilihan oleh Tuhanmu 
Pilihanmu itu dalam Qudrat dan Iradah Tuhanmu 

Berdoalah kamu, muhasabahkanlah dirimu, 
Berhajatlah kamu kepada-Nya yang ISTAGHNA (KEKAYAAN Allah) 
Kerana wajib dirimu tahu bahawa kamu bersifat IFTIQAR ( berhajat, berkehendak sekalian makhluk kepada Allah) 
Mudah-mudahan dengan karamah para ulama dan guru-guru serta para auliya 
Dan berkat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Pilihan diri ini di atas kehendak dan redha-MU. Aamiin.

Thursday, 2 February 2017

Dakwa Dan Dakwi

Untuk menuntut Ilmu KeTuhanan melalui jalan para ‘arifbiLlah, kita mestilah memahami beberapa syarat atau disiplin yang perlu ada, tanpanya perjalananmu tidak sempurna kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Kalam hikmah dalam al-Hikam mengatakan “permulaan awal yang benar akan melahirkan akhir yang benar.”

Allah telah menciptakan alam ini, perjalanan insan dengan hukum sebab musabab.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”. (Ar-Ra’du : 11)


Kita perlulah mendapat bimbingan seorang guru yang mursyid yang memiliki segala syarat-syarat dan kelayakan. Berhati-hatilah dengan zaman ini kerana amat sukar untuk mendapatkannya sehingga Imam Al-Ghazali mengatakan, (bertemu) guru mursyid di zamannya bagaikan mendapat belerang merah.

Ramai yang ada pada hari ini adalah (guru) dakwaan, kepalsuan malah ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengikut yang ramai, mendapatkan kekayaan, kehormatan dan mengambil kesempatan terhadap wanita melalui jalan yang tiada syarak. (Mereka juga) memasukkan pelbagai ajaran kebatilan, membuat pelbagai dakwaan seperti ia adalah wali Allah, sultan Auliya, Qutub Alam dan sebagainya. Mendakwa dapat kasyaf, memiliki firasat, karamah, sentiasa didatangi Imam Mahadi, para wali yang ghaib, mencari harta karun, berguru dengan guru ghaib, berhujah dengan ilham, mimpi, suka menceritakan hal-hal kerohanian dirinya, mendakwa boleh meninggalkan syariat atau meringankan syariat kerana sudah mencapai fana dan sebagainya.

Sebaiknya dibuat penilaian dari sudut akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, syariatnya, ilmunya, pegangannya, salasilahnya, perguruannya. Kita juga perlu melihat akhlaknya seperti amat ikhlas, menjauhi akan kemasyhuran, tiada mencintai makhluk malah suka jika ditinggalkan, suka bersendirian kerana asyik dengan Tuhannya, mempunyai pelbagai ilmu, tidak jumud dan sebagainya.

Jauhilah guru yang membuat pelbagai dakwaan atau yang menunjukkan kelebihan kerana ia bukan matlamat tasauf yang hakiki. Ingatlah bahawa guru akan menjadi sahabat sejati dimana ia amat mempengaruhi kehidupan kita. Carilah guru yang dapat memberi petunjuk pada kita dengan lisan dan perbuatannya.

Sebaiknya lengkapkan diri kita dengan kemantapan ilmu baik ilmu usul, memahami tasauf dari kitab yang muktabar, mengetahui dengan baik syariah serta meminta nasihat dari orang yang mempunyai ilmu dari bidang tersebut yang dipercayai akan keadilan dan keilmuannya. Ia adalah langkah terbaik sebelum mengikuti mana-mana guru tasauf agar dengan ilmu tersebut, ia menjadi penyuluh diri kita dalam mengamalkannya agar tidak mudah ditipu apalagi tersesat. Ini adalah zaman yang amat memerlukan kita berhati-hati.

Tasauf tidak lain hanyalah membawa pengamalnya kepada makrifat dan ubudiyyah yang tinggi kepada-Nya dengan penuh keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan berpegang teguh pada syariat dan sunnah Rasulullah SAW.

Thursday, 26 January 2017

Ujian Suatu Kasih Sayang

Wahai diriku,

Dirimu sentiasa diuji dengan bermacam-macam perkara. Sehinggalah dirimu mengangkat bendera putih ke hadrat Penciptamu. Dia yang menciptakan dirimu dari setitis air yang tiada nilai pun di sisi makhluk dan memberikan segala rezeki untuk dirimu. Anak, isteri, rumah, kenderaan, pekerjaan, kesihatan dan pelbagai lagi telah disediakan untukmu. Asalnya dirimu hanyalah datang dalam keadaan lemah dan tidak berpakaian. Sekarang kau lihat apa yang kamu ada sekarang? Adakah ini semua masih tidak mencukupi?

Wahai diriku,

Ujian dengan anak, isteri dan harta benda adalah merupakan proses untuk mengingatkan kehebatan diri-Nya. Cukup rezeki-keperluan atau tidak adalah bukan isunya jika hatimu benar beriman dan bertaqwa kepada Allah swt. Kau tahu bukan, tujuan hidupmu diciptakan adalah utk ‘mengabdikan’ diri kepada Tuhan. Pengabdian kepada Tuhan adalah matlamat ‘utama’ kamu diciptakan. Apakah dengan pemberian rezeki berupa anak, isteri dan harta benda itu melalai kamu dengan pengabdian kepada Tuhan atau menguatkan lagi pengabdian kepada Tuhan.

Wahai diriku,

Janganlah sedih dan terkilan dengan ujian dari Tuhan. Ini semua adalah jalan untuk mendidik hawa nafsumu yang jahat. Jalan ini juga adalah untuk mendekatkan dirimu kepada Tuhanmu. Inilah kasih sayang Allah kepadamu, agar kamu terus merasa lemah, berhajat, fakir dan tunduk pada Allah swt yang Maha Perkasa dan Maha Agung. Tanpa ujian ini, nafsu dalam dirimu tidak akan menyedari bahawa dirimu sedang berada dalam kesombongan, keangkuhan, kehebatan dan takabur. 

Wahai diriku,

Melalui ujian, dirimu tidak akan mengaku semua yang kamu miliki sekarang ini adalah datang dari usaha, ilmu dan kebijakan dirimu. Berapa ramai di luar sana mengaku bahawa kekayaan harta benda, kecantikan isteri-isteri, keramaian anak-anak adalah datang daripada kehebatan akal dan ilmu diri sendiri. Inilah kesyirikan yang tiada disedari oleh mereka. Maka insaflah wahai diriku, Allah itu amat menyayangi dirimu agar dirimu tidak lalai dan leka dengan diri-Nya yang Maha Perkasa dan Kuasa.

Wahai diriku,

Pegang, gengam serta gigit sekuat-kuatnya pesanan gurumu bahawa merasai sifat kehambaan, nafas yang sentiasa bersyukur dan hati yang sentiasa mencari cinta Allah adalah penawar untuk dirimu tenang dan aman dengan ujian hidup......

Wahai guruku,

Jutaan terima kasihku kepadamu kerana banyak membimbing diriku yang selalu lalai dengan Allah swt. Dirimu telah banyak memberi daku kesedaran akan hakikat kehidupan ini.

Ya Rasulullah,

Selawat dan salam sejahtera buat dirimu, ahli keluargamu dan para sabahatmu kerana telah membawa cahaya kerahmatan di alam maya ini. Tanpa dirimu, pasti diriku tidak wujud dan pasti dalam kegelapan.



Ya Allah Ya Tuhanku,
Aku pohon keampunan dari Mu atas kelalaianku dan sujudku hanyalah untuk-Mu..

Sunday, 1 January 2017

Selawat Fatih

Selawat Fatih ini mampu membukakan asrar (rahsia) ajaib yang menghairankan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya seratus kali setiap hari. Ramai yang mempertikaikan selawat ini tetapi mengejar sesuatu fadhilat itu tidak salah.

Sememangnya naluri manusia inginkan sesuatu sebagai imbuhan, umpamanya pahala dan fadhilat membaca sesuatu selawat. Itulah hikmah diwujudkan fadhilat.

Rasulullah SAW bersabda bahawa ulama itu pewaris Nabi. Tidaklah menjadi kesalahan kalau nak diamalkan kerana ia masih lagi ibadat dan tidak ada pula isi yang berunsurkan apa-apa yang menentang Al-Quran dan As-Sunnah.

.

Selawat Fatih dari  As-Sayyid Abul Makkkarim Asy-Syeikh Muhammad Syamsuddin;

.

.

.

Huraian Makna Selawat Fatih: 

.

Ustaz Haji Ahmad Tunggal, Pengerusi Jamaah Wirid Khaujakan Johor, menulis dalam bukunya “Amalan Kecemerlangan Rohani” (1993) seperti berikut:

.

Yang membuka apa yang tertutup – Dunia ini asalnya tidak ada dan masih tertutup. Maka dijadikan dunia ini adalah disebabkan wujudnya Nabi Muhammad  SAW. Kalaulah tidak ada Nabi Muhammad SAW tidaklah akan wujud dunia ini. Allah menjadikan Nabi Muhammad SAW sebagai rahmat bagi sekalian alam. Rahmat dan kenabian bagi sekalian makhluk termasuk manusia, jin dan binatang. Hati manusia juga pada mulanya tertutup dengan syirik, tertutup dengan kezaliman dan kejahilan.

.

Iman, Islam dan akhlak tertutup, semuanya itu dibuka oleh Nabi Muhammad SAW dengan dakwah yang berpandukan kitab Al Quran. Terbukalah kebenaran akidah dan syariat Islam, terbukalah akhlak dan budi pekerti yang luhur, terbukalah keadilan sosial dan terbukalah sebuah negara Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW yang membuka apa yang tertutup.

.

Dan penyudah (penamat) apa yang telah lalu – Tidak ada Nabi lagi sesudah Nabi Muhammad SAW Juga sebagai penutup berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj  dan penutup kitab suci Al Quran.

.

Dan yang menolong kebenaran dengan kebenaran – Pertolongan Nabi Muhammad SAW yang benar ialah Al Quran. Di dalamnya mengandungi segala kelengkapan termasuk akidah, syariat, akhlak, ibadat, bermasyarakat bernegara, falsafah dan mistik. Manusia tidak akan mengetahui kebenaran tersebut tanpa pertolongan Nabi SAW .

.

Dan yang menunjukkan jalan-Mu yang lurus – lalu yang ditunjukkan oleh Nabi SAW adalah jalan yang lurus, betul dan tegak. Ertinya jalan yang lurus itu adalah ialah jalan Islam, jalan selamat sejahtera dan bahagia. Mustakim selain dari makna lurus boleh diertikan yang tetap dan teguh pendirian dalam melaksanakan perintah Allah. Selain dari Nabi SAW  penolong kebenaran ia juga memimpin. Memipin ke jalan yang lurus sejahtera dan selamat.

.

Kelebihan Dan Fadhilat Selawat Fatih:

.

Selawat Fatih juga mempunyai keistimewaan yang tersenidiri seperti mana yang telah disusun oleh para ulamak terdahulu. Antara kelebihan Selawat Fatih ialah :

.

1.  Berkata sebahagian ulamak Maghribi, berselawat sekali dengan Selawat Fatih menyamai 10 000 atau 600 000 yang lain.

.

2.  Dibaca 11 kali selepas solat fardhu, Allah akan mengampunkan dosa-dosa kecil dan aman tenteram jiwanya.

.

3.  Dibaca 21 kali setiap hari, luas rezeki dan keluarganya selamat dari kesusahan.

.

4.  Sesiapa beristiqamah berselawat Fatih 40 hari, dosanya akan diampuni Allah.

.

5.  Sesiapa mengamalkan  dengan istiqamah, nescaya akan terbuka rahsia keajaiban, menghilangkan dukacita, mendapat hidayah dan tercapai segala hajat. Dan akan menjadi ahli syurga, walaupun hanya membaca sekali seumur hidup.

.

6.  Kebanyakan daripada arifin menyebut bahawasanya selawat ini dapat membukakan asrar (rahsia) ajaib yang terhairan oleh akal sesiapa yang dapat membacanya 100 kali setiap hari,

.

7.  Sesungguhnya sesiapa yang tekun membacanya setiap hari 100 kali dibukakan baginya banyak daripada hijab. Dan hasil baginya daripada anwar. Dan ditunaikan segala keinginannya; dengan qadar yang tidak diketahui melainkan oleh Allah Ta’ala.

.

8. Selawat ini bermanfaat kepada orang Mubtadi, Mutawassith dan Muntahi.

.

9. Sesiapa yang berselawat dengan Selawat Fatih ini sekali dalam hidupnya nescaya tidak akan dijilat api neraka.

.

10. Sesiapa membacanya 1000 kali pada malam Khamis dan Jumaat atau Isnin akan dihimpunkan bersama-sama Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam.

Caranya adalah membacanya selepas bersolat 4 rakaat,

1) Baca surah al-Qadr,

2) Baca al-Zalzalah,

3) Baca al-Kafirun,

4) Baca Ma-’uzatain.

Seeloknya diasapkan dengan gaharu ketika membaca Selawat Fatih.

.

Oleh kerana banyaknya fadhilat Selawat Fatih ini, maka marilah kita amalkan membacanya secara istiqamah.

.

.

Wallahu A’alam Bissowab

والسلام علبكم و رحمة الله و بركاته

Tuesday, 13 December 2016

Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia?

Masih adakah lagi orang yang percaya dengan ungkapan "Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia?"  Kalau ada, mari kita dengar hujjah-hujjah berikut ini dan nilaikan sendiri. 


Ada yang mengatakan bahawa ungkapan ini adalah hadits Nabi S.a.w. Walaubagaimana pun tidak ditemui sama sekali sama ada ia Hadits Shahih, Hasan, mahupun Dhaif. Ianya mungkin hanya ungkapan dari orang-orang tua Melayu lama yang salah faham tentang alam jin.

Mari kita dengar apa yang Al-Quran Al-Karim katakan tentang Jin. "Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang shaleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya, adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza."  [Surah Al-Jin : ayat 11]

Sila lihat juga Kisah jin mendengar Rasulullah S.a.w membaca Al-Quran

Ayat di atas menyebut dengan jelas bahawa ada jin yang shaleh (baik). Iaitu jin-jin yang beriman dengan apa yang didengar dari Rasulullah S.a.w. Ini bermakna para jin yang mendengar bacaan Al-Quran oleh Rasulullah S.a.w itu juga adalah Sahabat Nabikerana sahabat Nabi ialah siapa yang berjumpa dan beriman dengan Nabi Muhammad S.a.w hingga ke akhir hayat.

Allah telah menegaskan bahawa ada beberapa jin yang beriman dan mendengar Al-Quran dari Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam. Sehingga mereka juga adalah sahabat dan orang-orang pilihan." [Imam Ibnu Hazm - al-Muhalla bil atsar, 9:365]

Maka adakah patut kita mengatakan Sahabat Nabi itu sama dengan sejahat-jahat manusia? Sungguh tidak patut sama sekali dan itu merupakan satu tuduhan yang bathil. 

Apa lagi ada pendapat yang mengatakan, para jin juga ada para nabi atau utusan pendakwah mereka sendiri, berdasarkan kepada ayat;

"Wahai sekalian jin dan manusia! Bukankah telah datang kepada kamu Rasul-rasul dari kalangan kamu sendiri, yang menyampaikan kepada kamu ayat-ayatKu (perintah-perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?....... " [Surah Al-An'aam : ayat 130]

Ibnu Abbas mengatakan bahawa para Rasul adalah dari kalangan Bani Adam, sedangkan dari kalangan jin sedikit sekali.  Imam Ibnu Jarir at-Thabari meriwayatkan dari Ad-Dhahak ibnu Muzahim, dia menduga bahawa dari kalangan jin terdapat rasul-rasul, dan pendapatnya itu berlandaskan kepada dalil ayat ini (di atas). Pendapat tersebut masih perlu dipertimbangkan, kerana apa yang dikatakannya itu masih bersifat ihtimal (hipotesis) dan makna ayat tidak jelas menunjukkan pengertian itu. Perihalnya, hanya Allah yang lebih mengetahui. [Tafsir Ibnu Katsir]

Menurut Mujahid, Ibnu Juraid dan lain-lainnya, mengatakan bahawa para Rasul itu hanyalah dari golongan manusia sahaja. Tiada satu pun dari kalangan makhluk jin yang menjadi rasul.  [Tafsir Ibnu Katsir]

Hakikatnya, para rasul hanya diutus dalam kalangan manusia. Namun begitu, rasul dari kalangan jin dalam ayat ini adalah wakil kepada rasul atau pendakwah dari kalangan jin yang mendengar bacaan Al-Quran yang dibaca oleh Nabi Muhammad S.A.W. [Tafsir al-Razi]

"Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran) ada di antara kami golongan yang Muslim, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." [Surah Al-Jin : ayat 14]

Maka bagaimana mungkin jin yang Muslim dan taat kepada Allah S.w.t disamakan dengan manusia yang paling jahat? Adalah tidak masuk akal dan tidak munasabah sama sekali. Sedangkan sejahat-jahat Iblis pun, dia tidak mengaku dia itu Tuhan. Tetapi ada manusia yang mengaku dirinya adalah tuhan, contohnya Firaun.

"Lalu dia (Firaun) menghimpunkan orang-orangnya dan menyeru. Dengan berkata:"Akulah tuhan kamu, yang tertinggi"." [Surah An-Naazi'aat : ayat 23 - 24]

Begitu juga dengan kisah Raja Namrud dengan Nabi Ibrahim a.s. Raja Namrudmerupakan manusia pertama di dunia ini yang mengaku sebagai Tuhan.

"Tidakkah engkau (pelik) memikirkan (wahai Muhammad) tentang orang yang berhujah membantah Nabi Ibrahim (dengan sombongnya) mengenai Tuhannya, kerana Allah memberikan orang itu (Namrud) kuasa pemerintahan? Ketika Nabi Ibrahim berkata: "Tuhanku ialah Yang menghidupkan dan Yang mematikan". Dia menjawab: "Aku juga boleh menghidupkan dan mematikan". Nabi Ibrahim berkata lagi: "Sesungguhnya Allah menerbitkan matahari dari timur, oleh itu terbitkanlah ia dari barat?" Maka tercenganglah orang yang kafir itu (lalu diam membisu). Dan (ingatlah), Allah tidak akan memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim." [Surah Al-Baqarah : ayat 258]

Begitu juga dengan Dajjal yang suatu hari nanti akan keluar dan akan mengaku sebagai Tuhan. Dajjal merupakan kemuncak manusia mengaku sebagai Tuhan, mengulangi kembali apa yang dilakukan oleh Namrud dan Firaun suatu waktu dahulu.

Kita juga pernah mendengar ada manusia (ramai dari kaum Bani Israel dulu) yang membunuh para nabi dan rasul a.s. Tetapi kita belum pernah dengar lagi cerita tentang para jin membunuh para nabi.

Dan ramai lagi manusia-manusia jahat dan dicela di dalam Al-Quran dan Al-Hadits termasuklah Dajjal, Abu Lahab, Abu Jahal dan sebagainya. Secara rasionalnya pun sudah tidak munasabah sebaik-baik jin adalah sama dengan mereka-mereka tadi. Sedangkan para jin juga ada yang akan masuk syurga (walaupun ada juga pendapat yang mengatakan jin akan menjadi debu seperti haiwan menjadi debu), kerana jin juga diuji keimanan mereka dan disuruh beribadat kepada Allah S.w.t.

"Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu". [Surah Az-Dzaariyaat : ayat 56]

Imam Ibnu Hazm mengatakan dalam al-Milal wan-Nihal, "Mereka (jin) masuk Syurga."

"Dan masing-masing memperolehi darjat (seimbang) dengan apa yang dikerjakannya." [Surah Al-An'aam : ayat 132]

Abus-Syeikh mentakhrij dari Ibnu Abbas r.a, beliau berkata: "Makhluk itu ada empat macam; makhluk di syurga semuanya, makhluk di neraka semuanya dan dua makhluk di syurga dan neraka. Yang di syurga semuanya adalah Malaikat, yang di neraka semuanya adalah syaitan. Adapun yang di syurga dan di neraka adalah jin dan manusia. mereka mendapat pahala dan seksa."  [Ustaz Zahazan Mohamed]

Kesimpulan

Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz telah membuat kesimpulan ringkas tentang benarkah sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia, dalam bukunya Mombongkar Rahsia Jin, Syaitan, dan Iblis dalam Al-Quran, mengatakan bahawa kenyataan itu adalah zalim dan salah kerana;

1 - Jin dipertanggungjawabkan dengan taklif agama Allah yang memungkin mereka ke syurga ataupun neraka. Surah Ar-Rahman, ayat 31 hingga 32.

2 - Allah mengiktiraf kewujudan golongan jin yang shaleh dan layak ke syurga. Surah Al-Jin, ayat 11 dan 14.

3 - Allah mengiktiraf para utusan dan pendakwah daripada golongan jin. Surah Al-Ahqaaf, ayat 29 hingga 32.

4 - Generasi awal jin yang memeluk Islam di tangan Rasulullah S.a.w diiktiraf sebagai para sahabat Nabi oleh ulama Hadits.

5 - Nabi Muhammad S.a.w memuji para sahabatnya daripada kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah ketika mendengar Surah Ar-Rahman. Dari Sunan At-Turmudzi.

6 - Allah menyediakan syurga untuk manusia dan jin yang beriman. Surah Ar-Rahman, ayat 56.  [Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz - Mombongkar Rahsia Jin, Syaitan, dan Iblis dalam Al-Quran]

Tidak kira jin atau manusia, masing-masing membawa watak baik atau jahat secara individu. Tidak perlu lah kita tuduh secara pukul rata kerana kejahatan segelintir jindengan mengatakan semua jin itu jahat. Suka kah kita apabila ada seorang Muslim yang membuat kejahatan, kemudian semua Muslim dituduh sebagai jahat atau "terrorist"?  Maka begitulah halnya dengan bangsa jin. Mereka juga tidak suka anda menuduh yang bukan-bukan terhadap mereka.

Adakah anda masih mahu mengatakan "sebaik-baik jin itu adalah sejahat-jahat manusia?" Itu merupakan satu tuduhan yang sangat berat. Kita akan kena jawab di akhirat nanti di atas tuduhan tidak berasas itu.

Saturday, 13 August 2016

Kalam dari seorang Arifbillah


Dirimu adalah rahsia Allah, tiada yang mengetahuinya melainkan yang berilmu, mengenali diri adalah pembukaan pada alam ghaib yang tinggi. Ramai manusia yang telah buta dan tertipu dengan pandangan basyariah, mereka tidak dapat melihat hakikat disebalik kehidupan. Jiwa dinodai dengan cinta dunia, Tuhan dibelakangi dan akibatnya hati terhijab dengan cahaya kebenaran. Hati tidak berfungsi sebagai alat menerima hidayah, hati tidak menyelami rahsia makrifat dan akhirnya hati menjadi mati untuk iman.
Amat bahaya kehidupan ini jika tiada ilmu, ilmu adalah cahaya bagi jiwa bagaikan matahari bagi alam. Tanpa cahaya manusia dalam kegelapan dan begitu jua tanpa ilmu, manusia kegelapan dalam melihat kebenaran. Tiada jalan lain, kembalikan rohani kepada kebersihan sehingga terpancar kembali ilmunya dialam arwah bagaikan mata air yang keluar dari bumi. Cahayakan kembali ia dengan mematuhi segala hukum syariatnya, beramal dengan jalan tarekah tasauf yang haq sehingga mencapai maqam hakikat dan makrifat. Janganlah hanya berdiri dialam syariat sahaja, berdiri diatas ilmu fekah semata-mata. Ia boleh mengeraskan hati sehingga jiwamu jauh dari kelembutan dan keindahan amal Islam. Tenggelamlah dirimu dalam lautan tasauf yang akan membawa dirimu mengecapi kebahagiaan yang hakiki. Islam akan menjadi kuat apabila pendukungnya adalah mereka yang berjaya menundukkan hawanafsu, Islam akan kelihatan indah pada mukmin yang jiwanya terpancar rahsia makrifat.