Monday, 20 November 2017

Kepada Siapakah Kemarahan Kita ?


Ada sebuah kisah iaitu seorang isteri melenting dan marah apabila merasai isi sebiji tembikai (timun cina –bahasa Terengganu) yang tidak manis kepada suaminya. Sang isteri marah kepada suaminya yang membeli buah tersebut di tepi jalan. Maka di sini kepada siapa sebenarnya kemarahan sang isteri itu? Kepada suaminya ke? Kepada penjualnya ke? Kepada pekebun atau peladangnya ke? Atau kepada Pencipta buah?

Kehidupan adalah satu perjalanan. Seseorang itu berjalan dari alam yang tiada kepada ada dan dari sesuatu tempat ke sesuatu tempat. Di dalam perjalanan tersebut pasti terdapat halangan, ujian dan pengorbanan untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Perjalanan ini memerlukan kenderaan, kewangan, makanan dan peta sebagai bekalan dan persediaan. Maka di sini perlulah kita fahami bahawa hakikat kehidupan kita juga adalah sama seperti satu perjalanan hidup kembali kepada Allah swt. DariNya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Di dalam perjalanan ini, ada masa kita akan gembira, ketawa, seronok dan adakala kita akan merasa sedih, derita dan sengsara. Ujian ini akan tetap berterusan dan berjalan sehinggalah sakratulmaut (perpisahan di antara Ruh dan jasad). 


Milik kita adalah satu PINJAMAN. Seseorang yang memahami bahawa apa itu pinjaman pasti dia tidak akan menjadi resah dan gelisah dengan apa dia ada. Sebab dia mengetahui bahawa pinjaman tetap pinjaman di mana pinjaman mesti dipulangkan. Begitu juga dengan kehidupan kita, apa yang kita ada di sekeliling ini adalah ‘pinjaman’. Jasad ini sendiri pun adalah pinjaman semata-mata daripada Allah swt. Apatah lagi anak, isteri, suami, harta, kekayaaan, kenderaan, rumah, dan sebagainya adalah sebuah pinjaman daripada Allah untuk kita pergunakan untuk menyenang dan memudahkan peribadatan kita kepada Allah swt. Apabila pinjaman ini ditarik daripada kita pada bila-bila masa maka hati kita tidak perlu resah dan gelisah dengan penarikan ini kerana pinjaman ini adalah ‘pinjaman’ dan ia adalah hak milik kekal Allah swt. (We are nothing!)



Apabila seseorang itu merasa resah, gelisah, tidak puas hati dengan kehilangan sesuatu apa yang dia ada maka di sini jelas menunjukkan bahawa hatinya telah mengatakan pinjaman tadi adalah hakmiliknya yang kekal. Penyakit ini yang amat berbahaya yang perlu dibuang dalam hati kita. Semailah SABAR dan REDHA dengan apa yang berlaku.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(Al-Baqarah:155-157)



Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. Kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedikit pun daripada takdir Allah swt. Nafas yang masuk dan keluar daripada lubang hidung kita ini adalah ‘satu takdir’ yang telah ditetapkan. Barang siapa melawan dan menahan nafas ini, maka binasalah dia. 


“Barangsiapa merasai semua musibah dan takdir yg dialami adalah DATANG DARI ALLAH, dia merasai bergerak dan diam dia BERSAMA ALLAH, dan hidup, ibadat, kerja dan pergorbanan UNTUK ALLAH maka tenang dn tenteramlah HATInya walau sejuta musibah dan masalah yang timbul dlm kehidupannya...”.

Benarlah firman Allah untuk mereka yg jiwa tenang dgn ujian dan takdir Allah;
“Wahai mereka yang berjiwa mutmainah(tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al-Fajr:27-30) 

Begitu juga apa yang telah berlaku dan akan berlaku, semua itu adalah milik dan dalam pengetahuan Allah swt. Adapun kita hanya diberikan sedikit qudrat dan iradat (diperkuasakan dan diperkehendakan) untuk berusaha dan berikhtiar menjalankan segala syariat dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Namun perlu kita fahami bahawa usaha dan ikhtiar kita sedikit pun tidak memberi bekas atau kesan. Yang menjadikan dan yang menentukan atau yang memberi bekas hanyalah Allah swt. Mudah-mudahan usaha,ikhtiar dan cita-cita kita selari dan sejalan dengan takdir yang telah ditetapkan kepada kita.
Wallahu'alam 

Friday, 7 July 2017

Dialah Tuhan...

Fahamilah bahawa Ruh dan segala sifat yang dimilikinya adalah dicipta oleh Allah, bukanlah ia sifat Allah yang Qadim, ia adalah baharu. Ruh dicipta dengan memiliki sifat-sifat KeTuhanan bagaikan seorang anak yang memiliki sifat ayah dan ibunya, walaupun tidak sama tapi mempunyai iras. Begitulah sifat Tuhan dengan hamba-Nya, walaupun mempunyai persamaan dari bahasa dan sifatnya tetapi amat berlainan dari segi hakikatnya.


Apabila kita mengatakan sifat wujud, ia juga ada pada makhluk namun wujud diri-Nya amat berlainan dengan wujud makhluk-Nya. Kewujudan-Nya bersifat dengan sifat Salbiah(menafikan segala sifat yang tidak layak bagi Tuhan), Istighna (Kaya) yang tiada pada wujud makhluk. Wujud makhluk ada permulaan sedangkan wujud-Nya tiada permulaan (Qadim). Inilah kehebatan-Nya dan amatlah lemah bagi akal memikirkannya untuk sampai kepada kemuncak rahsia-Nya. Namun akal tidak boleh menerima Tuhan yang menciptanya lemah sepertinya.

Seorang hamba tidak boleh menerima pencipta-Nya juga dicipta. Jika Dia dicipta, dimanakah sifat kehebatan-Nya sebagai Tuhan dan apakah beza kewujudan-Nya dengan hamba-Nya. Sebelum huruf-huruf yang lain dihadapannya, adanya huruf alif dan sebelum huruf alif ia bermula dengan titik dan titik tiada permulaan.


Setiap persoalan dalam kehidupan yang tidak sampai kepada Tuhan, ia tiada memberi jawaban yang haq, ia belum sampai kepada hakikat ilmu. Setiap persoalan yang masih bertanya ‘siapakah sebelum Tuhan’, melambangkan tiada kematangan pada akalnya. Di mana akal wajib menerima bahawa setiap sesuatu itu perlu ada kesudahannya, dan kesudahan dalam KeTuhanan ialah wajib menerima sifat Kaya Tuhan yang layak Dia mengaku sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya.

Wujud makhluk menerima kebinasaan sedangkan wujud-Nya tidak menerima binasa, tiada akhirnya. Alangkah tenang dan rendah hati ini apabila Tuhan yang kita sembah tiada binasa sebagaimana makhluk-Nya. Jika Dia binasa apa akan terjadi pada alam dan diri hamba-Nya. Kepada siapa lagi untuk mereka bergantung dan mengadu, siapakah yang akan membalas kezaliman, kehinaan, penipuan, penyiksaan, fitnah yang dikenakan kepada hamba-hamba-Nya yang lemah dalam kehidupan ini? Siapakah yang akan membalas segala kebaikan hamba-Nya yang sanggup berkorban untuk kesenangan orang lain, yang sentiasa membantu insan yang lemah dan susah, yang sangat amanah, yang sangat mencintai orang miskin dan anak yatim, mereka yang membela nasib kehidupan manusia lain, mereka yang banyak menabur bakti dalam kehidupannya, sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk agama dan masyarakat?

Manusia perlukan keadilan dan kekalnya diri-Nya tanpa binasa telah memberi jawaban bahawa keadilan akan dilaksanakan walau satu zarah sekalipun. Jika Dia juga binasa, makhluk tidak boleh menerima-Nya sebagai Tuhan, wajib bagi kewujudan-Nya kekal. Kewujudan-Nya tetap tidak menyamai makhluk-Nya. Dia terkaya dari segala yang terkaya, Dia berlainan dari segala yang berlainan. Dia tidak berjisim, Dia tidak berjirim, dengan sifat ini Dia tidak memerlukan tempat, tidak memerlukan ruang, tidak terikat dengan sifat atas, kanan, kiri, bawah dan atas.

Allahukbar! Kaulah Tuhanku, akulah hamba-Mu....

Sunday, 11 June 2017

Sifat sifat Allah

 



Jika Dia nyatakan
 melalui kalam Al-Quran melalui lisan Rasul-Nya yang mulia bahawa Dia berada di ‘arasy, adapun istiwa’, Rasul dan para sahabat menyerahkan makna kepada Diri-Nya. Begitu juga jika Dia mengatakan bahawa Dia bercakap dengan Musa (a.s) di Bukit Tursina atau mengatakan turun ke langit pertama pada waktu malam, atau mengatakan Dia dekat dengan hamba-Nya atau mengatakan diri-Nya di sebelah kanan, atau mengatakan Dia ketawa, wajib diri kita menerimanya dan menyerahkan makna kepada Diri-Nya dan tidak mentakwilkan sebagai sama dengan sifat makhluk. Apabila Dia mengatakan di ‘atas’, (maka) ‘atas’ yang layak bagi sifat diri-Nya, bukannya ‘atas’ sebagaimana yang difahamkan makhluk.

Begitu juga dengan sifat-sifat yang lain, ia tetap tidak sama dengan makhluk kerana kewujudan-Nya adalah bersifat dengan sifat yang tiada pada makhluk.

Golongan yang menyamakan sifat Tuhan sebagaimana sifat makhluk seperti duduknya sama seperti makhluk, atau mengatakan atas sebagaimana atasnya makhluk, turun bagaimana turunnya makhluk atau ketawa sebagaimana makhluk adalah golongan yang terkeluar dari pegangan sejati seorang mukmin. Ini adalah pegangan mujassimmah yang menyamakan Tuhan dengan makhluk. Jika Tuhan memerlukan tempat sebagaimana tempatnya makhluk, Dia adalah lemah dan berlawanan dengan sifat Kaya-Nya iaitu Qiamuhubinafsih iaitu berdiri dengan sendirinya tanpa berhajat kepada makhluk, sedangkan makhluk berhajat kepada-Nya.

Jika ada golongan yang mengatakan Allah berada di atas‘arasy, sebagaimana makhluk, ia hendaklah memahami bahawa ‘arasy adalah makhluk, ia bersifat baharu. Jika Allah berada di ‘arasy atau di langit, sebelum Allah menciptakan ‘arasy, diri-Nya ada di mana? Jika Dia berada di ‘arasy, besar manakah ‘arasy untuk menampung kebesaran Tuhan, berapakah ukuran lebar dan panjangnya? Jika Tuhan boleh diukur panjang dan lebar, bermakna Tuhan mempunyai jisim sebagaimana makhluk-Nya sedangkan ia bertentangan dengan firman-Nya bahawa Dia tidak menyamai makhluk-Nya.

Begitu juga dengan firman-Nya yang bermaksud;

“Aku berada dimana kamu berada...” (Al-Hadid : 4),

Adakah Dia bersama dengan hamba-Nya di sebelah atas, atau di kanan atau di kiri atau di belakang atau di bawah atau dalam diri, tiadalah kita ketahui bagaimanakah yang dikatakan kehampiran sebagaimana firman-Nya yang bermaksud;

“Aku lebih dekat denganmu lebih dari urat leher kamu...” (Qaaf : 16).

Justeru itu wahai diriku dan hamba-hamba-Nya, bertakwalah kepada-Nya dan terimalah bahawa Dia adalah Tuhan yang memiliki segala sifat yang kaya, dan akal tidak mampu pergi lebih jauh untuk membahaskan sifat Kaya Tuhan, sebagaimana kata Saidina Abu Bakar: “Lemah dari segala pendapat itulah pendapat”.


Sebaiknya kita menyerah akan maknanya kepada diri-Nya Yang Agung apabila kita bertemu dengan ayat yang kita tidak fahami seperti ayat Mutasyabihah, kerana Dia yang lebih mengetahui tentang Diri-Nya, Sifat-Nya, Af’al-Nya dan Asma’-Nya. Namun, hendaklah kita menghormati para ulama yang mentakwilkan dengan tujuan mensucikan Tuhan dari disifatkan seperti makhluk, supaya terselamat umat ini dari terjerumus ke lembah kesesatan dalam kefahaman mengenai Tuhan.

Banyak perkara di alam ini yang dinyatakan oleh diri-Nya tidak dapat dihuraikan oleh akal, apalagi tentang kehebatan diri-Nya. Manusia tidak (mampu) memberi jawaban jika ditanya persoalan ruh di dalam dirinya. Di manakah ia berada dalam diri, bagaimanakah rupanya? Berapa beratkah ia? Begitu juga apabila kita ditanyakan tentang udara, bagaimanakah wujudnya? Di manakah letaknya, di atas, di bawah, di kanan atau di kiri? Insan tidak dapat melihatnya tetapi boleh mengetahui kewujudanya dengan pelbagai cara. Ia berada di dalam diri dan di luar insan, dan insan tidak boleh hidup tanpanya.

Insan juga boleh mengetahui adanya angin apabila melihat pohon bergoyang. Insan hanya boleh melihat dalil tetapi tidak mampu meneroka lebih jauh melebihi kemampuan akal yang diberi. Diri-Nya mencipta makhluk seperti udara supaya insan memahami bahawa ada perkara dalam kehidupan seharian tidak mampu mereka lihat dan memahaminya dan menjawab persoalan mengenainya.

Begitulah juga sifat ma’ani-Nya iaitu melihat, mendengar, berkata-kata, berilmu, berkudrat, beriradat dan hidup. Walaupun Dia menyatakan sifat ini pada makhluk-Nya namun ia tiada persamaan dengan makhluk pada hakikatnya. Sifat melihat Tuhan tidak sama dengan makhluk, Dia tidak memerlukan mata, Dia tidak terbatas, tiada apa yang tersembunyi dari penglihatan-Nya sama ada yang nyata atau yang ghaib, sama ada yang kita lahirkan atau yang kita sembunyikan.

Begitu juga sifat-sifat-Nya yang lain di mana ia melazimi sifat ma’anawiyah. Namun apa yang perlu kita fahami bahawa segala sifat makhluk ini adalah takluk pada sifat wahdaniah iaitu satunya Tuhan. Apabila dirimu wahai insan memahami hakikat wahdaniah ini, dirimu akan melihat kekuasaan-Nya dan fanalah segala kekuatan yang ada pada makhluk. Segala gerakdiam dan kelakuan di alam ini adalah takluk dibawah qudrat iradah-NyaTidak bergerak satu zarah pun dari gerak alam ini melainkan dengan izin-Nya. Inilah pegangan ahli Tauhid yang hakiki sehingga mereka tidak bergantung hati mereka kepada sesuatu yang lain, mereka tidak takut pada yang lain, mereka tidak meminta pada yang lain, mereka tidak mencintai yang lain melainkan Allah.

Tuesday, 11 April 2017

9 sifat iftiqar diri-Nya

Dirimu dengan Diri-Nyatidak pernah bercerai walaupun satu saat. Setiap degupan jantungmu, setiap hembusan nafasmu, setiap pandanganmu, setiap pendengaranmu, setiap gerak hatimu, setiap ilmumu adalah dibawah takluk diri-Nya. Dia Tuhan yang mencipta kamu, Dia adalah Rabb yang sentiasa memelihara, Dia tidak mengantuk atau tidur, Dia sentiasa mengawasi dan memerhati hamba-Nya. Tidak bergerak dirimu melainkan dari gerak-Nya, tiada melihat kamu melainkan dari melihat-Nya, tiada mendengar kamu melainkan dari pendengaran-Nya, tiada berilmu kamu melainkan dari ilmu-Nya.

Hakikat diri mu kosong (fakir), segala gerak dan fungsi jasadmu adalah dari gerak dan sifat ruh, dan segala gerak dan sifat pada ruhmu adalah dari Tuhanmu. Begitulah Dia amat hampir dengan hamba-Nya yang Dia sentiasa bersama dalam segala kelakuan hamba-Nya.

Firman-Nya :

“Dan Dia bersama kamu di mana kamu berada.” (Al-Hadid : 4)

Dirimu dengan Tuhanmu tidak pernah berpisah tetapi sifat dirimu tidak bersatu dengan Tuhanmu. Engkau hanya menyatakan wujud dan sifat-Nya tetapi bukannya diri-Nya sebagaimana berlakunya salah faham dikalangan pencari dan pencinta diri-Nya. 

Mereka tidak faham terdapatnya mufaraqah (garis pemisah) yang amat halus di antara sifatmu dengan sifat Tuhan. (Bandingannya) bagaikan air laut dengan air sungai yang bertemu di muara, ia bersatu pada penglihatan tetapi berpisah pada hakikat.


Dalam kitab Kasyaful Asrar diterangkan dengan kiasan asap dengan api. Apabila kita melihat asap di udara, dengan sendirinya kita mengatakan bahawa adanya api. Ini disebabkan asap dengan api tidaklah berpisah tetapi kedua unsur ini tidak bersatu. Asap tetap asap, api tetap api. Begitu juga cahaya dengan lampu, cahaya keluar dari lampu tetapi lampu bukannya cahaya dan cahaya bukannya lampu. Bersatu bukannya bermakna dirimu asal Tuhanmu, kamu adalah baharu dan Dia qadim. Ruh dan segala sifat yang dimiliki adalah baharu, ia dicipta oleh-Nya namun dirimu tidak berpisah dari segala apa yang kamu miliki, atau perbuatan kamu melainkan dari izin-Nya.

Firman-Nya yang bermaksud:

“Aku yang menjadikan kamu dan segala perbuatan kamu”.
(As-Shafaat : 96)

Tiada boleh kita melihat, mendengar, bercakap, berilmu, berkuasa, berkehendak, hidup melainkan dengan diri-Nya. Insan memerlukan 9 sifat iftiqar diri-Nya untuk hidup di alam ini iaitu Kudrat, Iradat, Ilmu, Hayat, Qadirun, Maridun, ‘Alimun, Hayyun, Wahdaniah. Segala sifat yang ada pada kita adalah baharu kerana sifat qadim tidak layak berada di tempat yang baharu iaitu alam ini, namun segala sifat dan kehidupan kita ini berada dibawah takluk kudrat, iradah dan ilmu-Nya. Ia takluk dalam sifat wahdaniah iaitu Tuhan yang satu.

Sunday, 26 March 2017

Seketul Daging

Apabila kita melihat dua pihak berperang, masing-masing mengunakan pelbagai senjata yang memuntahkan peluru yang saling berbunuhan. Yang sebenarnya kita sedang menyaksikan sifat mazmumah yang bersarang di dalam hati kedua-dua pihak dizahiran melalui senjata.

Apabila kita mendengar dua orang sedang berkrisis, bermusuhan, bertelagah, bertengkar, saling membenci, tuduh menuduh, caci memaki, sumpah seranah, mengumpat, mengadu domba, mengutuk, kita hakikatnya sedang melihat kedua-dua pihak itu saling memuntahkan sifat mazmumah dari hati masing-masing melalui lidahnya.

Apabila kita dipaparkan berita tentang perogolan, seks luar nikah, pergaulan bebas, sebenarnya kita sedang membaca berita mengenai hati manusia sudah dikuasai nafsu dan syaitan.

Apabila kita melihat manusia yang rakus, tamak haloba sehingga sanggup merompak, mencuri, menyamun, menipu, rasuah, menyeleweng, salah guna kuasa, kita hakikatnya menyaksikan manusia yang hatinya cinta dunia.

Boleh disimpulkan ialah apa jua bentuk gejala negatif, sikap buruk, perbuatan keji dan mungkar adalah berpunca dari hati.

Begitulah sebaliknya, segala sifat positif, mencintai kebaikan, saling berkasih sayang, banyak berbuat kebajikan dan berbakti, inginkan kemajuan, idamkan kesejahteraan dan keharmonian, semuanya datang dari hati yang subur dengan sifat-sifat mahmudah.

Allah perintahkan manusia takut kepada-Nya. Kerana apabila manusia takut kepada Allah, manusia akan menjadi baik. Apabila manusia menjadi baik, bukan Allah yang untung, tetapi faedah dan manfaat dari kebaikan manusia itu akan kembali kepada manusia itu sendiri. Kehidupan manusia menjadi aman damai, tenteram dan harmoni.

Allah perintahkan manusia cinta kepada-Nya. Kerana apabila manusia mencintai Allah, manusia akan berkasih sayang sesama sendiri. Apabila manusia berkasih sayang, bukan Allah yang untung tetapi manusia itu sendiri yang mendapat manfaatnya. Manusia akan bersatu padu, tolong menolong, bela membela dan saling mengenang budi dan jasa antara satu sama lain.

Dunia hari ini bingung dan celaru dalam menghadapi berbagai masalah dan krisis kemanusiaan. Golongan yang bermasalah tidak tahu mengatasi dan menyelesaikan masalah dan tidak tahu di mana tempat mengadu. Pihak yang berusaha mengatasi dan menyelesaikan masalah juga dalam kebingungan kerana setelah dicuba dan dilaksanakan ternyata gagal malah masalah bukan semakin berkurang tetapi semakin bertambah dan merebak. Lebih memeningkan ialah timbul masalah dan gejala baru.

Bukan sedikit tenaga, masa, duit, dan idea yang dikorbankan untuk mencari jalan penyelesaian. Pelbagai kajian dan analisis telah dibuat namun ia tidak menampakkan hasil.

Marilah kita mengambil iktibar dan pengajaran “Mengapa Rasulullah SAW mengambil masa 13 tahun memperjuangkan Allah yang satu berbanding hanya 10 tahun memperjuangkan syariat yang beribu”. Sebabnya ialah agar manusia kenal Allah (makrifatuLlah), mengagungkan Allah, membesarkan dan mengutamakan Allah. Merasai takut dan cinta kepada Allah swt. Agar menjadikan Allah swt segala-galanya dan sekaligus sebagai “matlamat”. Apabila ini dimiliki oleh manusia maka manusia akan menjadi beriman dan bertaqwa yang mana natijahnya Allah akan menolong, Allah akan membantu untuk kecemerlangan, kemenangan dan kejayaan dalam semua aspek kehidupan. Inilah ubat dan jawapan kepada persoalan manusia. Bahkan inilah faktor yang membawa kepada kegemilangan umat terdahulu yang telah dipaparkan dalam sejarah. Sejarah boleh menjadikan kita panduan.

Di sini barulah disedari bahawa amat penting manusia ciptaan Allah ini kembali kepada mengenal Allah, memahami kerja Allah, memiliki rasa ubudiyah (kehambaan) dan rasa berTuhan. Kerana dengan cara ini sahaja sesuatu masalah dan krisis itu dapat di atasi secara tuntas. Bukan setakat itu sahaja bahkan manusia akan lebih berjaya, cemerlang, bahagia, selamat dan harmoni dalam segala aspek kehidupan. Lebih-lebih lagi sejahtera di akhirat yang kekal abadi.

Thursday, 2 March 2017

Alangkah Bahagianya~

Alangkah bahagianya 
sekiranya degupan jantung, keluar masuk nafas , kerdipan mata ini 
dalam ingatan kepada Allah swt…. 
Tidaklah diri menjadi hidup yang sia-sia 

Namun……. 
Diri ini tetap lalai dan leka 
Dengan hiburan Makhluk 

Diri ini tetap terpedaya 
Dengan permainan Dunia 
Diri ini tetap tertipu 
Dengan keinginan Nafsu 
Diri ini tetap terpengaruh 
Dengan gurauan Syaitan 
Alangkah ruginya 
Alangkah butanya 
Alangkah pekaknya 
Alangkah terkelirunya dirimu ini…….. 

Ketahuilah... 
Rasul Allah saw telah menunjukkan jalan 
Sahabat dan tabi’I dan tabi’in telah membentangkan jalan 
Ulama’ dan guru-guru telah mengajar dan memimpin 
Kenapa diri ini masih mengikuti rentak Makhluk, Dunia, Nafsu dan Syaitan?
Adakah kelemahan diri ini
Ya benar! Dirimu memang benar dalam kelemahan 
Kamu diperkuatkan dan kamu diperkehendakkan.. 
Perbuatan kamu adalah datang dari yang mencipta dirimu 
Tetapi dirimu diberi pilihan oleh Tuhanmu 
Pilihanmu itu dalam Qudrat dan Iradah Tuhanmu 

Berdoalah kamu, muhasabahkanlah dirimu
Berhajatlah kamu kepada-Nya yang ISTAGHNA (KEKAYAAN Allah) 
Kerana wajib dirimu tahu bahawa kamu bersifat IFTIQAR ( berhajat, berkehendak sekalian makhluk kepada Allah) 
Mudah-mudahan dengan karamah para ulama dan guru-guru serta para auliya 
Dan berkat Nabi Muhammad SAW dan para sahabat Pilihan diri ini di atas kehendak dan redha-MU. Aamiin.

Thursday, 2 February 2017

Dakwa Dan Dakwi

Untuk menuntut Ilmu KeTuhanan melalui jalan para ‘arifbiLlah, kita mestilah memahami beberapa syarat atau disiplin yang perlu ada, tanpanya perjalananmu tidak sempurna kecuali mereka yang dikehendaki oleh Allah. Kalam hikmah dalam al-Hikam mengatakan “permulaan awal yang benar akan melahirkan akhir yang benar.”

Allah telah menciptakan alam ini, perjalanan insan dengan hukum sebab musabab.

Firman Allah yang bermaksud:

“Allah tidak akan mengubah nasib satu kaum jika mereka tidak mahu mengubahnya”. (Ar-Ra’du : 11)


Kita perlulah mendapat bimbingan seorang guru yang mursyid yang memiliki segala syarat-syarat dan kelayakan. Berhati-hatilah dengan zaman ini kerana amat sukar untuk mendapatkannya sehingga Imam Al-Ghazali mengatakan, (bertemu) guru mursyid di zamannya bagaikan mendapat belerang merah.

Ramai yang ada pada hari ini adalah (guru) dakwaan, kepalsuan malah ramai yang mengambil kesempatan untuk mendapatkan pengikut yang ramai, mendapatkan kekayaan, kehormatan dan mengambil kesempatan terhadap wanita melalui jalan yang tiada syarak. (Mereka juga) memasukkan pelbagai ajaran kebatilan, membuat pelbagai dakwaan seperti ia adalah wali Allah, sultan Auliya, Qutub Alam dan sebagainya. Mendakwa dapat kasyaf, memiliki firasat, karamah, sentiasa didatangi Imam Mahadi, para wali yang ghaib, mencari harta karun, berguru dengan guru ghaib, berhujah dengan ilham, mimpi, suka menceritakan hal-hal kerohanian dirinya, mendakwa boleh meninggalkan syariat atau meringankan syariat kerana sudah mencapai fana dan sebagainya.

Sebaiknya dibuat penilaian dari sudut akidahnya, ibadahnya, akhlaknya, syariatnya, ilmunya, pegangannya, salasilahnya, perguruannya. Kita juga perlu melihat akhlaknya seperti amat ikhlas, menjauhi akan kemasyhuran, tiada mencintai makhluk malah suka jika ditinggalkan, suka bersendirian kerana asyik dengan Tuhannya, mempunyai pelbagai ilmu, tidak jumud dan sebagainya.

Jauhilah guru yang membuat pelbagai dakwaan atau yang menunjukkan kelebihan kerana ia bukan matlamat tasauf yang hakiki. Ingatlah bahawa guru akan menjadi sahabat sejati dimana ia amat mempengaruhi kehidupan kita. Carilah guru yang dapat memberi petunjuk pada kita dengan lisan dan perbuatannya.

Sebaiknya lengkapkan diri kita dengan kemantapan ilmu baik ilmu usul, memahami tasauf dari kitab yang muktabar, mengetahui dengan baik syariah serta meminta nasihat dari orang yang mempunyai ilmu dari bidang tersebut yang dipercayai akan keadilan dan keilmuannya. Ia adalah langkah terbaik sebelum mengikuti mana-mana guru tasauf agar dengan ilmu tersebut, ia menjadi penyuluh diri kita dalam mengamalkannya agar tidak mudah ditipu apalagi tersesat. Ini adalah zaman yang amat memerlukan kita berhati-hati.

Tasauf tidak lain hanyalah membawa pengamalnya kepada makrifat dan ubudiyyah yang tinggi kepada-Nya dengan penuh keikhlasan, kecintaan, ketakwaan dan berpegang teguh pada syariat dan sunnah Rasulullah SAW.