Monday 28 March 2022

Trend Mendekati Zina Sebelum Bernikah

Bayangkan seekor harimau dengan ganasnya menerkam masuk ke dalam rumah kita. Aumm! Gigi-giginya menyeringai. Kuku-kukunya tajam mencengkam. Lalu apa yang terjadi? Sudah tentu ramai antara kita bertempiaran lari, menjerit, bertakbir, menyorok bawah katil, mengunci diri di dalam bilik dan ada juga yang terus terkejut pengsan.

Bayangkan pula seekor nyamuk terbang masuk ke dalam rumah kita. Nggg! Apa yang terjadi?Hmm, ia terbang bebas ke hulu hilir. Ramai yang buat tidak tahu sahaja. ‘Apalah yang perlu ditakutkan dengan seekor nyamuk,’ hati berbisik. Cuma seekor.

Jelas, semua orang takut kepada sesuatu yang besar kerana ia kelihatan berbahaya namun tidak takut kepada sesuatu yang kecil. Sedangkan, jika dibandingkan nisbah orang yang mati dibaham harimau dengan orang yang mati digigit nyamuk, yang mana lebih ramai?
Bandingannya mudah. Berapa kali setahun secara anggarannya akhbar memaparkan berita tentang orang yang menjadi mangsa Pak Belang? Berapa kali pula dilaporkan berita tentang penyakit demam denggi, malaria, Japanese Encephalitis, untut dan sebagainya yang semuanya berpunca daripada gigitan nyamuk?
Begitulah analogi yang boleh dikaikan dengan fenomena zina pada hari ini. Semua orang takut dan bencikan zina. Ia dianggap perkara besar dan berbahaya.
Namun ramai yang tidak takut pada perkara-perkara yang boleh membawa kepada zina. Ia sering dianggap kecil dan dipandang remeh. Tiada sensitive untuk menghindarinya. Akibatnya, yang kecil ini membawa kepada kemusnahan besar dalam hidup seseorang.
Tidak hairanlah Quran menyuruh supaya berawas terhadap perkara yang dianggap kecil itu. Firman Allah swt yang bermaksud: “Janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya ia adalah keji dan seburuk-seburuk jalan” (Surah al-Isra’ 17:32)

Nyamuk-nyamuk Ikhtilat
SMS, panggilan telefon, dating, chatting, dan bermacam-macam lagi bentuk fitnah komunikasi tanpa urusan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah antara jalan-jalan menghampiri zina. Ia ibarat nyamuk-nyamuk ikhtilat yang boleh menjunamkan seseorang kepada penyakit berbahaya.

Apa itu ikhtilatIkhtilat ialah pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram. Dalam Islam, asal pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram, “al-asl fi al-ikhtilat haram” (asal hukum pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram adalah haram).

Namun jika atas dasar urusan kerja, maka interaksi antara lelaki dan perempuan bukan mahram menjadi harus. Kaedah syarak tentang asal hukum muamalat adalah “al asl fi al-muamalat al-ibahah” (asal hukum berkaitan muamalat ialah harus).

Ini disokong pula oleh kaedah syarak yang menyebut, “al-darurah tubihu almahzurat “ yang bermaksud darurat membolehkan apa-apa yang dilarang. Urusan antara lelaki dan perempuan pada hari ini tidak dapat dinafikan adalah suatu keperluan atau disebut darurat.
Namun, keharusan ini tidak dilepaskan sebebas-bebasnya, sebaliknya ada adab, akhlak dan batasan yang memagarinya. Kaedah syarak yang lain menyebut, darurat diukur dengan kadarnya.

Masalahnya, ramai orang yang beralasankan “urusan” untuk menghalalkan ikhtilat (pergaulan antara lelaki dan perempuan bukan mahram) terlarang. Panggilan telefon, SMS, dating, dan chatting tanpa urusan kian membarah sebagai budaya. Apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan “urusan”?
Urusan adalah sesuatu yang apabila dibentangkan di hadapan Allah swt, kita yakin kita mampu menjawab dan berhujah bahawa ia adalah urusan maka itulah yang dinamakan urusan. Jika hati masih berasa was was sama ada ia suatu urusan atau tidak, berawaslah.

Daripada al-Nawwas bin Sam’an ra, bahawa Nabi saw bersabda yang bermaksud: “Kebajikan itu ialah keelokkan budi pekerti dan dosa itu adalah apa yang bergetar dalam dirimu dan engkau benci orang lain mengetahuinya.” (Riwayat Muslim)

Cinta Fitnah
Cinta asalnya suci dan bersih boleh tercemar apabila disalurkan kepada jalan-jalan yang mendekati zina. Berkata Prof. Syeikh Yusof al-Qardawi apabila ditanya tentang cinta sebelum bernikah: “Saya ingin tegaskan apa yang sering dikatakan. Saya tidak menyetujui apa yang dilaungkan segolongan orang yang tentang pentingnya bercinta sebelum berkahwin kerana cara itu dikhuatiri mengundang bahaya dan terjebak dalam syubhat.”. Kata beliau lagi; “ berapa orang mula bercinta dengan cara yang tidak benar seperti berpacaran melalui percakapan telefon dengan bicara yang sia-sia. Ia sering kali dilakukan oleh anak-anak muda ketika waktu kosong atau bosan. Berpacaran melalui telefon ini kadang-kadang disambut oleh remaja puteri, dan ini biasa berlaku dalam rumah tanpa disedari dan difikirkan akibatnya, baik si remaja mahupun ibubapanya. Awalnya memang cuba-cuba tetapi akhirnya ketagihan. Awalnya sekadar suka-suka akhirnya serius.”

Menghampiri zina semakin menjadi trend atau budaya muda-mudi malah orang dewasa sekalipun. Rasululullah saw telah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud. “Kecintaan kamu kepada sesuatu boleh membuat kamu buta dan tuli.” (Riwayat Ahmad)

Amat jarang kedengaran pergaulan antara lelaki dan perempuan bermula dengan perbuatan yang “berat-berat” terus. Ia biasanya dimulai dengan yang “ringan-ringan” dahulu atau apa yang disebut sebagai menghampiri zina.

Ingatlah pesan Nabi saw ini;
“Mata itu berzina dan zinanya adalah dengan memandang (tanpa keperluan). Lisan berzina dan zinanya adalah dengan bercakap (yang sia-sia, lucah, mendayu-dayu, dan lain-lain). Kaki itu berzina dan zinanya adalah dengan melangkah (untuk maksiat). Tangan itu berzina dan zinanya adalah dengan menyentuh dan memeluk (untuk maksiat). Hati itu berkeinginan dan berangan-angan. Faraj yang kemudian membenarkan atau mendustakannya. (Riwayat al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud)

Monday 29 July 2019

Bertaubatlah dirimu


Tiada jalan lain wahai diriku untuk menuju Tuhan melainkan engkau perlu menyucikan dirimu terlebih dahulu. Seorang yang berjunub tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. Engkau perlu bertaubat dari segala dosa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, insya Allah, Allah akan menghapuskan dosa-dosamu. Ia menjadi syarat untuk diterima ibadahmu. Perasaan bimbang bahawa dirimu akan melakukan kesalahan kembali selepas bertaubat sehingga kamu menangguhkan taubatmu menunjukkan jiwamu belum ikhlas.

Hatimu masih ada cinta kepada maksiat yang dilakukan. Syaitan membisikkan ke dalam hatimu, ‘jika kamu bertaubat sekarang sedangkan nanti besok kamu melakukan kesalahan, adakah tidak seperti kamu mempermainkan Allah?’ Ia kelihatan baik sehingga sang salik akan mengangguk membenarkan bisikan itu.

Wahai diriku, janganlah kamu hiraukan bisikan seperti itu, katakan padanya bahawa Tuhanku bersifat dengan Maha Pengampun, jika aku terjatuh kembali dalam kejahatan, aku akan kembali bertaubat, dan jika kembali melakukannya, aku akan kembali bertaubat. Demi sesungguhnya Tuhanku bersifat dengan sifat ketuhananNya, Dialah Yang Maha Sabar, Maha Lemah Lembut, Maha Pengampun, Maha Penyayang pada hambaNya dan Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya,. Dia juga Maha Mengetahui keikhlasan hambaNya malah Allah amat kasih pada hambaNya yang banyak bertaubat, sebagaimana firmanNya :

“… sesungguhnya Aku (Allah) amat kasih kepada hambaku yang banyak bertaubat dan sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

Dia tidak boleh dibandingkan dengan makhluk yang mana jika dirimu melakukan kesalahan yang sama berulangkali nescaya dimarahi mereka dan mempersendakan taubatmu, sedang Allah yang bersifat Lai sakamis lihi Syaiuun. Ia tidak menyerupai apapun dengan sesuatu malah pintu taubatnya sentiasa terbuka sehinggalah ruhnya dihujung halkum. Berkata para Arifbillah, “setiap nafas yang diberi adalah pintu untuk bertaubat kepadaNya.”

Alangkah malangnya seorang hamba itu yang beribadah pada Allah, namun ia enggan bertaubat dari kesalahannya. Ibadahnya bagaikan anak pokok yang ditanam di atas tanah yang penuh racun, hanya kepenatan dan kelelahan diperolehi namun tidak membawa perubahan pada dirinya. Ia tidak merasai nikmat munajat, tidak merasai nikmat ketenangan, jiwanya masih dibelenggu keresahan. Ibadah yang dilakukan kadangkala menjadi adat hariannya tanpa merasai kecintaan, ibadah dilakukan tetapi dosa besar tetap dilakukan seperti syirik, mengumpat, menfitnah, takbur, cinta dunia, dengki, dendam dan sebagainya.

Jika dirimu benar-benar ikhlas mahu menujuNya, mencari keredhaanNya, kamu akan menanggalkan segala kasihmu pada segala kemaksiatan tanpa ragu-ragu lagi malah tidak akan berpaling padanya serta meninggalkannya segala apa perkara yang boleh menyebabkan dirimu kembali terjerumus kepadanya kembali.

Dengan taubat yang hakiki, dirimu akan merasa tenang dan ringan beribadah. Segala racun yang membelenggu hatimu sudah tercabut, kini dirimu telah bersih. Selama ini, perasaanmu yang berat untuk melakukan amal soleh adalah disebabkan dosa-dosa yang mengikatmu. Apabila belenggu ikatan dapat dihapuskan, ia sudah bebas bergerak tanpa ada halangan. Segala ibadah yang dilakukan akan tertanam dan subur dalam hatinya sehingga dirimu benar-benar berada di atas jalan hamba-Nya yang mencintai kebaikan.

Allah telah memerintahkan dirimu untuk bertaubat seperti firman-Nya :

“… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung”. (An-Nur : 31)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha…” (At-Tahrim : 8)

Kemudian Allah SWT telah menjelaskan bahwa taubat itu jalan menuju kemenangan dan taubat bukan dikhususkan bagi orang yang berdosa saja akan tetapi merupakan hak bagi orang-orang mukmin yang menginginkan keamanan dan kemenangan dunia dan akhirat.
Dari Abi Hurairah (r.a) berkata :
“Saya mendengar Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya aku meminta ampun pada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali’”. (Bukhari)

Dari Al-Aqhru Bin Yassar Al-Mazni (r.a) berkata :
“Bersabda Rasulullah, ‘Wahai manusia bertaubatlah kalian kepada Allah dan mintalah ampun kepadanya, maka sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari 100 kali’”. (Muslim)

Dan Abi Musa Al-Asy’ari (r.a) dari Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah SWT membentangkan tangan-Nya di malam hari agar orang yang berbuat keburukan di siang hari bertaubat, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari agar orang yang berbuat keburukan di malam hari bertaubat sampai matahari terbit dari barat.”(Bukhari)

Dari Abu Hurairah, (semoga Allah redha pada keduanya) berkata :
“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat maka Allah akan menerima taubatnya.” (Muslim)

Dari Ibnu Umar (semoga Allah meredhai keduanya) berkata :
“Sesungguhnya Allah Azza Wajalla akan menerima taubat seorang hamba sebelum nafasnya dihalkumnya.” (at-Tirmidzi)

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku yang zahir dan yang batin......




Tuesday 23 July 2019

Kenali Dirimu Kenali Tuhanmu


“Fahamilah lebih dalam lagi wahai insan bahawa apabila kita melihat, bukan matamu yang melihat, ia hanya alat. Hakikat yang melihat adalah ruh dan hakikat penglihatan yang ada pada ruh daripada Aku. Apabila kita mendengar, bukan telinga kita yang mendengar, ia hanyalah alat sahaja, hakikat yang mendengar ialah ruh dan hakikat pendengaran itu dari Aku. Begitulah sifat-sifat yang pada dirimu tiada lain adalah hakikat dari Diri-Ku. Aku yang menciptakan makhluk dan segala sifatnya agar makhluk mengetahui kewujudan-Ku dan mengenali-Ku.”


Firman Allah :

“Dan pada diri kamu adakah tiada kamu melihat (dalil-dalil sebagai bukti)” (Az-Zariyat : 21)

Berkata ‘ArifbiLlah : “Sesiapa yang mengenal dirinya akan mengenal ia akan Tuhannya.” 

Siapa diri kita ini sehingga dengan mengenalnya diri kita, nescaya kita dapat mengenal Tuhan. Inilah yang perlu kita fahami dan membuat kajian yang mendalam dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati agar kita dapat menemukan kunci kebahagiaan insan.

Pengenalan diri telah menjadi permulaan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada makhluk ciptaanNya.

Firman Allah :

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan kamu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah...” (Al-‘Alaq : 1-3)

Diri insan adalah pintu untuk seseorang hamba itu menempuh ke Alam KeTuhanan. Manusia tidak akan dapat mengenal hakikat Tuhannya yang hakiki melalui pintu yang lain. Pintu yang lain hanya memberi jawaban kepada kebenaran wujud-Nya, kebijaksanaan-Nya dan Kekuasaan-Nya. Insan masih teraba-raba dan mencari-cari akan beberapa persoalan terhadap sifat KeTuhanan-Nya yang maha hebat.

Firman Allah Ta’ala :
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu fakir kepada Allah, dan Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.” (Al-Faathir : 15)

Renungkanlah diri kita sedalam-dalamnya dengan akal yang dikurniakan Tuhan agar kita menjadi hamba yang berilmu. Siapa yang benar mengenal dirinya, akan binasalah dirinya, tenggelamlah ia dalam lautan kefakiran, tenggelamlah ia dalam lautan ketiadaan keakuan.

Telah dikiaskan oleh para kekasih Allah tentang wujud makhluk ini. Bagaikan seorang yang menyusur sebatang anak sungai dan melihat imej penuh sepohon kayu didalam air, apabila ia menempuhnya, pohon kayu tadi tiada memberi apa-apa halangan. Begitulah hakikat wujud makhluk ini, ia kelihatan ada tetapi kewujudannya bagaikan bayang-bayang.

Di dalam kitab Kasaful Asrar dinyatakan bahawa wujud insan adalah bayang-bayang kepada wujud Tuhan. Tiada akan wujud bayang-bayang ini jika tiada yang empunya bayang-bayang, tiada bergerak bayang-bayang melainkan bergeraknya tuan empunya bayang-bayang.

Telah dibahas oleh Tokku Pulau Manis dalam syarah Al-Hikam Syeikh Ibnu ‘Athaillah mengatakan dalam matan yang pertama bahawa insan itu perlulah memahami bahawa ia adalah fakir, lemah, jahil, buta, tuli, bisu dan segala apa yang dimilikinya adalah hak milik Allah SWT. Justeru itu mereka yang mengenal dirinya wajib atasnya merendah diri dan merasa amat berhajat kepada Allah. Ia tidak boleh takabur dengan amalnya kerana amalnya adalah datang dari kurniaan Tuhan, bukannya dari kekuatan dirinya.

Allah itu ghaib, bagaimana mahu mencapai-Nya? Wujud Allah itu penuh rahsia, bagaimana mahu mencari-Nya? Allah itu tidak berjisim, bagaimana mahu melihat-Nya? Inilah persoalannya, namun setiap persoalan ada jawabannya. Para Ahli Makrifat telah mengeluarkan kata-kata hikmah mereka bahawa pintu jawaban kepada soalan tersebut adalah dengan “mengenal diri”. Diri manusia adalah pintu untuk mengenal Tuhan yang Ghaib, sesiapa yang mendalami dirinya sebenarnya ia sedang mendalami rahsia Tuhan.

Adam dicipta dari tanah, ia adalah sarung untuk ditempatkan ruh. Ruh adalah rahsia Tuhan yang tinggi. Allah menyatakan wujud-Nya di alam ini dengan kenyataan wujud makhluk-Nya. Manusia yang berakal yang berpegang kepada hukum logik tidak boleh menolak kewujudan Tuhan. Mereka yang menolak kewujudan Tuhan ialah mereka yang menentang logik mereka.

Hukum akal tidak menerima setiap sesuatu yang wujud tanpa ada yang menciptanya. Hujah mereka yang mengatakan setiap yang wujud wajib dapat dilihat adalah amat lemah. Kerana banyak perkara di alam ini diakui kewujudannya tetapi tidak dapat dilihat seperti perasaannya sendiri iaitu sedih, gembira, dengki, dendam, rindu, cinta dan sebagainya. Begitu juga dengan kewujudan nyawa dalam badannya, kewujudan fikiran pada otaknya. Kewujudan udara di sekelilingnya, kewujudan gelombang dan pelbagai lagi.

Janganlah kita membohongi diri kita, janganlah kita melawan suara hati kita, janganlah kita melawan suara fitrah kita bahawa diri ini ada penciptanya, diri ini ada yang sentiasa memelihara, diri ini ada yang menentukan kehidupannya. Apa yang perlu bagi kita bukannya membahaskan perkara yang sudah nyata, tetapi kita melangkah lagi ke dalam lautan pengenalan diri-Nya dengan meneroka diri ini agar bertambah cinta dan kasih pada-Nya, sehingga diri ini fana dalam lautan diri-Nya.

Apabila kita memandang diri kita, memandang kewujudan diri kita, maka kita wajib memahami bahawa kita ada pemiliknya. Wujud kita menyatakan wujud diri-Nya. Dia ghaib dan kita nyata, Dia hakikat dan kita syariat, Dia adalah wujud dan kita adalah bayang bagi wujud-Nya. Lihatlah diri kita lagi, pandanglah segala sifat yang ada pada diri kita, lihatlah mata, lihatlah telinga, lihatlah mulut, lihatlah akal, lihatlah gerak diam, lihatlah rasa hati kita. Semuanya tidak lain melainkan kenyataan akan Sifat-Sifat-Nya.

Dia menyatakan sifat Ma’ani-Nya yang tujuh kepada dirimu agar mengenal dan mencintai-Nya. Dia memberitahu kita dengan bahasa yang hanya difahami oleh mereka yang merindui-Nya, mereka yang mempunyai ilmu tentang-Nya. 

Dia mengatakan :

“Wahai hambaku, padamu Aku telah menyatakan segala Sifat-Sifat Diri-Ku. Aku Tuhan yang melihat dan Aku nyatakan pada matamu, Aku Tuhan yang mendengar, Aku nyatakan pada telingamu, Aku Tuhan yang berkata-kata, Aku nyatakan pada suara dari mulutmu, Aku berilmu dan Aku nyatakan pada akal kita, Aku berkuasa dan Aku nyatakan pada gerak diam kita, Aku berkehendak dan Aku nyatakan pada hati kita”.



Wednesday 13 March 2019

Pinjaman atau hak milik ?

Maha Suci Allah yang menciptakan semuanya dan mencipta setiap hukum ke atas segala kejadian. Allah menyusun dengan begitu indah dan amat teratur apa yang berlaku dan akan berlaku di alam ini. Bayangkanlah jika jalan raya tanpa kereta, sungai dan laut tanpa ikan,langit tanpa bulan,matahari dan bintang, bumi tanpa makhluk, bangunan tanpa manusia sudah pasti ini semua akan menyebabkan kesunyian dan kekosongan.


Hanya kita bersendirian di alam ini hidup pasti diri ini akan sunyi, kosong, puas dan tidak merasai apa-apa nikmat. Allah swt yang Maha Hebat ini menciptakan teman hidup (isteri,rakan), adik beradik, saudara mara, masyarakat, binatang, tumbuh-tumbuhan, planet-planet adalah khas untuk diri manusia. Tidak diciptakan ini semua kecuali untuk kesenangan dan kesusahan hamba-hamba-Nya. Allah yang bersifat Pengasih dan Penyayang ini menjadikan semua yang ada di sekeliling kita ini adalah khusus untuk hamba-Nya menjadi khalifah dan menjadi hamba suruhan-Nya. Diri kita khas dan tersangat khusus dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah swt. Sujud dan patuh kepada Allah swt setiap masa dan ketika.

Semua yang ada di sekeliling kita iaitu harta, kereta, wang, perempuan (isteri, kawan, teman, adik beradik), rumah dan semuanya adalah pinjaman semata-mata bagi memudahkan hamba-Nya tenang dan aman dalam beribadat kepada Allah swt. Pinjaman semata-mata inilah bermaksud “bila-bila masa Allah boleh menarik balik pinjaman yang diberikan. Bagi mereka yang menganggap pinjaman ini adalah hak kekal miliknya adalah satu kesengsaraan dan malapetaka bagi dirinya. Merasai semua yang berada ditangannya ini adalah milik kekal merupakan racun yang membunuh dirinya disaat sakratulmaut. Inilah dipanggil penyakit “hubbudunia”. Penyakit mencintai dunia.

Penyakit mencintai dunia inilah yang menyebabkan masyarakat Islam khususnya menjadi manusia yang jauh dengan Tuhan, menjadi masyarakat runtuh akhlak, menyebabkan runtuhnya insitusi politik, sosial dan ekonomi umat Islam.


Marilah kita merenung sejenak berapa ramai mereka hidup susah di luar sana (di dalam negara dan diluar negara)? Kenapa mereka susah dan tidak mendapat makanan yang secukupnya?

Marilah kita merenung sejenak berapa ramai mereka diluar sana tidak mengenal Tuhan dan mengerti akan hakikat beragama Islam dan pengamalannya?


Marilah kita berbalik kepada asal rukun Islam dan rukun Iman dalam pegangan hidup kita , bukan rukun negara TETAPI rukun Islam!.

Rukun Islam
1) Kalimah syahadah
2) Solat
3) Zakat
4) Puasa
5) Haji

Di dalam rukun Islam yang pertama adanya rukun Iman
1) Percaya kepada Allah swt
2) Percaya kepada Malaikat
3) Percaya kepada Rasul
4) Percaya kepada Kitab
5) Percaya kepada hari Kiamat / Pembalasan
6) Percaya kepada Qada’ dan Qadar

Jika kita mengkaji lebih mendalam dan benar-benar mengamalkan akan rukun Islam dan Iman ini maka sudah barang tentu tiada kerosakan di muka bumi ini dan tidak berlaku mereka yang kelaparan dan kesusahan di luar sana.
Renung sedalam-dalamnya untuk apa rukun Islam dan Iman ini? Sudah pasti Tuhan yang Maha Pengasih ini menurunkannya agar hamba-hamba-Nya tidak sesat dan tidak melakukan kemungkaran di atas muka bumi ini. Allahukbar....


MANUSIA DI BUMI INI TIDAK AKAN ADA YANG KELAPARAN JIKA SEMUA YANG ADA DUIT/HARTA BERLUMBA-LUMBA MENGELUARKAN ZAKAT, BERSEDEKAH, MEMBANTU MEREKA YANG SUSAH BUKAN DISIMPAN DALAM BANK UNTUK “PERHIASAN”.

Firman Allah swt yang bermaksud: “Sesungguhnya zakat-zakat itu, hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dibujuk hatinya, untuk (memerdekakan) budak, orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan untuk mereka yuang sedang dalam perjalanan, sebagai suatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana”.( At Taubah:60)


MANUSIA DI BUMI INI TIDAK AKAN BERANI MELAKUKAN MAKSIAT KERANA PERCAYA ADANYA HARI PEMBALASAN/KIAMAT ATAU PUN MALU DAN SEGAN DENGAN ALLAH SWT YANG MEMBERI REZEKI SETIAP HARI. (KERANA DALAM SOLAT KITA BERDOA DAN BERJANJI DENGAN ALLAH SWT).


Firman Allah swt yang bermaksud : “Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, yaitu Al Kitab (Al Quran) dan dirikanlah shalat. Sesungguhnya shalat itu mencegah dari (perbuatan- perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingat Allah (shalat) adalah lebih besar (keutamaannya dari ibadat-ibadat yang lain). Dan Allah mengetahui apa yang kamu kerjakan”. (Al 'Ankabuut:45)

Sebagai kesimpulannya ialah manusia yang benar dalam tauhid dan keimanan kepada Allah taala akan melakukan yang terbaik supaya masyarakat di luar sana tidak susah atau tidak kelaparan dan juga tidak melakukan kemungkaran. Hakikatnya diri kita semua ini fakir,miskin dan berhajat dengan Allah swt. Semua adalah “pinjaman”...Jika diberi sedikit kelebihan maka berkongsilah dengan mereka tidak diberi kelebihan. Inilah pertolongan dalam Islam, inilah pengorbanan dalam Islam, inilah “saudara dalam Islam”. Kita semua sama di sisi Allah swt...

Thursday 14 December 2017

Tuhan Dan Dunia

Perjalanan hidup ini ada suka, duka, sedih atau gembira.

Kesusahan dihati janganlah kita turutkan sangat kerana ia akan menjadi penyakit jiwa. Dari susah hati pergi kepada sedih, dari sedih kepada derita dan sengsara, dari kecewa kepada berputus asa. Diwaktu itu kaya, pandai, jawatan tinggi, nama, glamour, berkuasa sudah tiada guna dan tiada membawa apa-apa erti. Orang yang seperti ini kalau ada serba sekali pun, gelap dunianya. Setengah mereka ada yang membunuh diri kerana kecewa dan putus asa. Mengapa dia kecewa sehingga putus asa? walhal segala keistimewaan telah dimilikinya?


Ketahuilah memiliki keistimewaan dunia bukanlah segala-galanya sekalipun tidak salah mempunyainya. Kebahagiaannya bersifat sementara atau menipu daya malah berakhir dengan kekecewaan bila tidak sampai ke penghujungnya.

Kebahagiaan bersama Tuhan adalah bersifat hakiki, sejati dan kekal abadi. Allah adalah segala-galanya. Jika keistimewaan dunia tidak dapat apa-apa pun tidak mengapa. Tetapi jikalau kehilangan Tuhan segala-galanya tidak membawa apa-apa erti. Namun jika kita dapat kedua-duanya yakni Allah dan dunia maka ia akan menambahkan bahagia. Bahagia dengan Tuhan tidak cukup yakin dan percaya sahaja, bahagia dengan Tuhan adalah “kenalilah Dia” kemudian terus takut dan cinta. Kemudian yakin pula dengan peranan Tuhan, apa-apa yang dilakukan-Nya kepada kita adalah tidak sia-sia.

Apa yang Tuhan lakukan kepada kita samada zahirnya nampak negatif atau positif ada hikmah dan pengajarannya. Maha Suci Allah dari menganiaya. Kalau pandai menerimanya di situ ada kebahagiaan. Jika faham apa maksud Tuhan yang melakukannya kepada kita, kita redha dan jiwa akan tenang.......

Monday 20 November 2017

Kepada Siapakah Kemarahan Kita ?


Ada sebuah kisah iaitu seorang isteri melenting dan marah apabila merasai isi sebiji tembikai (timun cina –bahasa Terengganu) yang tidak manis kepada suaminya. Sang isteri marah kepada suaminya yang membeli buah tersebut di tepi jalan. Maka di sini kepada siapa sebenarnya kemarahan sang isteri itu? Kepada suaminya ke? Kepada penjualnya ke? Kepada pekebun atau peladangnya ke? Atau kepada Pencipta buah?

Kehidupan adalah satu perjalanan. Seseorang itu berjalan dari alam yang tiada kepada ada dan dari sesuatu tempat ke sesuatu tempat. Di dalam perjalanan tersebut pasti terdapat halangan, ujian dan pengorbanan untuk sampai ke destinasi yang hendak dituju. Perjalanan ini memerlukan kenderaan, kewangan, makanan dan peta sebagai bekalan dan persediaan. Maka di sini perlulah kita fahami bahawa hakikat kehidupan kita juga adalah sama seperti satu perjalanan hidup kembali kepada Allah swt. DariNya kita datang dan kepadaNya kita dikembalikan.

Di dalam perjalanan ini, ada masa kita akan gembira, ketawa, seronok dan adakala kita akan merasa sedih, derita dan sengsara. Ujian ini akan tetap berterusan dan berjalan sehinggalah sakratulmaut (perpisahan di antara Ruh dan jasad). 


Milik kita adalah satu PINJAMAN. Seseorang yang memahami bahawa apa itu pinjaman pasti dia tidak akan menjadi resah dan gelisah dengan apa dia ada. Sebab dia mengetahui bahawa pinjaman tetap pinjaman di mana pinjaman mesti dipulangkan. Begitu juga dengan kehidupan kita, apa yang kita ada di sekeliling ini adalah ‘pinjaman’. Jasad ini sendiri pun adalah pinjaman semata-mata daripada Allah swt. Apatah lagi anak, isteri, suami, harta, kekayaaan, kenderaan, rumah, dan sebagainya adalah sebuah pinjaman daripada Allah untuk kita pergunakan untuk menyenang dan memudahkan peribadatan kita kepada Allah swt. Apabila pinjaman ini ditarik daripada kita pada bila-bila masa maka hati kita tidak perlu resah dan gelisah dengan penarikan ini kerana pinjaman ini adalah ‘pinjaman’ dan ia adalah hak milik kekal Allah swt. (We are nothing!)



Apabila seseorang itu merasa resah, gelisah, tidak puas hati dengan kehilangan sesuatu apa yang dia ada maka di sini jelas menunjukkan bahawa hatinya telah mengatakan pinjaman tadi adalah hakmiliknya yang kekal. Penyakit ini yang amat berbahaya yang perlu dibuang dalam hati kita. Semailah SABAR dan REDHA dengan apa yang berlaku.

Firman Allah swt yang bermaksud:
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar:
(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."(Al-Baqarah:155-157)



Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya. Kita sebagai manusia tidak boleh lari walau sedikit pun daripada takdir Allah swt. Nafas yang masuk dan keluar daripada lubang hidung kita ini adalah ‘satu takdir’ yang telah ditetapkan. Barang siapa melawan dan menahan nafas ini, maka binasalah dia. 


“Barangsiapa merasai semua musibah dan takdir yg dialami adalah DATANG DARI ALLAH, dia merasai bergerak dan diam dia BERSAMA ALLAH, dan hidup, ibadat, kerja dan pergorbanan UNTUK ALLAH maka tenang dn tenteramlah HATInya walau sejuta musibah dan masalah yang timbul dlm kehidupannya...”.

Benarlah firman Allah untuk mereka yg jiwa tenang dgn ujian dan takdir Allah;
“Wahai mereka yang berjiwa mutmainah(tenang), kembalilah kepada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al-Fajr:27-30) 

Begitu juga apa yang telah berlaku dan akan berlaku, semua itu adalah milik dan dalam pengetahuan Allah swt. Adapun kita hanya diberikan sedikit qudrat dan iradat (diperkuasakan dan diperkehendakan) untuk berusaha dan berikhtiar menjalankan segala syariat dan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah swt. Namun perlu kita fahami bahawa usaha dan ikhtiar kita sedikit pun tidak memberi bekas atau kesan. Yang menjadikan dan yang menentukan atau yang memberi bekas hanyalah Allah swt. Mudah-mudahan usaha,ikhtiar dan cita-cita kita selari dan sejalan dengan takdir yang telah ditetapkan kepada kita.
Wallahu'alam 

Friday 7 July 2017

Dialah Tuhan...

Fahamilah bahawa Ruh dan segala sifat yang dimilikinya adalah dicipta oleh Allah, bukanlah ia sifat Allah yang Qadim, ia adalah baharu. Ruh dicipta dengan memiliki sifat-sifat KeTuhanan bagaikan seorang anak yang memiliki sifat ayah dan ibunya, walaupun tidak sama tapi mempunyai iras. Begitulah sifat Tuhan dengan hamba-Nya, walaupun mempunyai persamaan dari bahasa dan sifatnya tetapi amat berlainan dari segi hakikatnya.


Apabila kita mengatakan sifat wujud, ia juga ada pada makhluk namun wujud diri-Nya amat berlainan dengan wujud makhluk-Nya. Kewujudan-Nya bersifat dengan sifat Salbiah(menafikan segala sifat yang tidak layak bagi Tuhan), Istighna (Kaya) yang tiada pada wujud makhluk. Wujud makhluk ada permulaan sedangkan wujud-Nya tiada permulaan (Qadim). Inilah kehebatan-Nya dan amatlah lemah bagi akal memikirkannya untuk sampai kepada kemuncak rahsia-Nya. Namun akal tidak boleh menerima Tuhan yang menciptanya lemah sepertinya.

Seorang hamba tidak boleh menerima pencipta-Nya juga dicipta. Jika Dia dicipta, dimanakah sifat kehebatan-Nya sebagai Tuhan dan apakah beza kewujudan-Nya dengan hamba-Nya. Sebelum huruf-huruf yang lain dihadapannya, adanya huruf alif dan sebelum huruf alif ia bermula dengan titik dan titik tiada permulaan.


Setiap persoalan dalam kehidupan yang tidak sampai kepada Tuhan, ia tiada memberi jawaban yang haq, ia belum sampai kepada hakikat ilmu. Setiap persoalan yang masih bertanya ‘siapakah sebelum Tuhan’, melambangkan tiada kematangan pada akalnya. Di mana akal wajib menerima bahawa setiap sesuatu itu perlu ada kesudahannya, dan kesudahan dalam KeTuhanan ialah wajib menerima sifat Kaya Tuhan yang layak Dia mengaku sebagai Tuhan dan kita sebagai hamba-Nya.

Wujud makhluk menerima kebinasaan sedangkan wujud-Nya tidak menerima binasa, tiada akhirnya. Alangkah tenang dan rendah hati ini apabila Tuhan yang kita sembah tiada binasa sebagaimana makhluk-Nya. Jika Dia binasa apa akan terjadi pada alam dan diri hamba-Nya. Kepada siapa lagi untuk mereka bergantung dan mengadu, siapakah yang akan membalas kezaliman, kehinaan, penipuan, penyiksaan, fitnah yang dikenakan kepada hamba-hamba-Nya yang lemah dalam kehidupan ini? Siapakah yang akan membalas segala kebaikan hamba-Nya yang sanggup berkorban untuk kesenangan orang lain, yang sentiasa membantu insan yang lemah dan susah, yang sangat amanah, yang sangat mencintai orang miskin dan anak yatim, mereka yang membela nasib kehidupan manusia lain, mereka yang banyak menabur bakti dalam kehidupannya, sanggup meluangkan masa dan tenaga untuk agama dan masyarakat?

Manusia perlukan keadilan dan kekalnya diri-Nya tanpa binasa telah memberi jawaban bahawa keadilan akan dilaksanakan walau satu zarah sekalipun. Jika Dia juga binasa, makhluk tidak boleh menerima-Nya sebagai Tuhan, wajib bagi kewujudan-Nya kekal. Kewujudan-Nya tetap tidak menyamai makhluk-Nya. Dia terkaya dari segala yang terkaya, Dia berlainan dari segala yang berlainan. Dia tidak berjisim, Dia tidak berjirim, dengan sifat ini Dia tidak memerlukan tempat, tidak memerlukan ruang, tidak terikat dengan sifat atas, kanan, kiri, bawah dan atas.

Allahukbar! Kaulah Tuhanku, akulah hamba-Mu....