Thursday 25 February 2016

Sifat Ananiyah (keakuan diri)

Di dalam tausiyah guruku, beliau telah menekankan betapa pentingnya para ulama mendalami proses penyucian batin dan mencari perjalanan hakikat. Tiadalah salah untuk membicarakan soal tareqah, kerana semua tareqah adalah baik dan benar. Tetapi yang paling benar di dalam tareqah adalah bergantung kepada Mursyidnya.Tasauf bukannya pada zikir tetapi pada Mursyid. Walaupun sanadnya benar, tetapi andainya tiada Mursyid yang benar, maka tiada mereka akan sampai kepada hakikatnya, seumpama seorang pemandu kereta yang tiada pengetahuan tentang selok-belok kenderaan yang dipandunya, pasti tiada menyampai mereka kepada destinasi perjalanan, termasuklah mereka yang menumpang kenderaan tersebut.

Berkata beliau lagi, sekarang beliau tiada lagi suka untuk berbicara soal bunga dan kulit semata-semata. Semuanya itu hanya mainan hujah sesama manusia tetapi batin belum lagi terlepas daripada syirik “keakuan diri”. Mereka itu tiada bertuhan kepada berhala tetapi bertuhan kepada diri sendiri. Inilah masalah yang dihadapi oleh para alim ulama dan menurut guruku, kadang-kadang menjadi orang awam itu lebih selamat daripada menjadi orang alim tetapi menyesatkan. Mereka itu tiada faham akan hakikat. Sifat sebenar seperti apa yang yang ditekan di dalam kitab ialah kejujuran kita dengan ALlah SWT. Ramai yang tertipu, orang kaya, orang alim, ahli 'abid, semuanya tertipu.

Oleh itu, kita perlukan mursyid, tanpa mursyid tiada dapat mereka mengendalikan perasaan tersebut kerana para mursyid yang benar telah melalui proses zauqiyah dan fana fi af'al, asma dan dzat sehingga mereka sampai kepada peringkat yang benar. Walau apa ujian yang menimpa, mereka tetap tenang kerana mereka sentiasa berada di dalam dzat Ahadiah tetapi sebaliknya bagi mereka yang tidak benar, mereka akan merasa pedih dan sakit seandainya dikeji kerana belum lagi mereka itu terlepas dari nafsu ammarah. Mereka yang bebas, hatinya sentiasa rasa khauf dengan ALlah SWT, diri mereka merasa tidak selamat seumpama para Sahabah r.a. ajma'in yang tiada merasa selamat walaupun mereka sentiasa mendampingi RasuluLlah SAW. Ini adalah kerana jiwa mereka yang bersih menyebabkan mereka tiada lagi tertipu dengan diri mereka sendiri. Latihan ini perlukan kepada bimbingan, kalau tiada merasa hak Allah, maka akan mereka merasai bahawa itu adalah hak diri mereka, merasa akan hak diri inilah yang dikatakan sebagai “ananiyah”. Perlu keluarkan diri daripada kegelapan ini kerana disebalik sifat keakuan diri itu adalah syaithan. Sifat mazmumah itu timbul kerana pokoknya ‘ananiyah’ masih belum dibuang tunjangnya. Untuk membuangnya, perlulah belajar matikan diri sebelum mati dengan cara bermursyid. Tiadalah dosa yang paling besar melainkan dosa melihat kepada hak diri sehingga terhijabnya hak ALlah SWT, jadi ungakapan "wujudmu itu adalah dosa" adalah benar kerana tiada mereka melihat akan hak ALlah SWT.

Dicatat Oleh:Hj Ahmad Shaiful (Syarahan Walid di Cirebon, Jakarta)

Monday 22 February 2016

Jagalah Hati.

Renunglah selalu hati kita 
Kerana ia merupakan sumber kebaikan dan kejahatan 
Wadah kekufuran dan keimanan 
Rebutan di antara malaikat dan syaitan

Hati perasaannya halus 
Sentuhannya tiada terasa 
Tapi sangat memberi kesan di dalam kehidupan kita 
Siapa yang arif perjalanan hatinya

Faham kebaikan dan kejahatannya 
Bersungguh-sungguh bermujahadah membuang kejahatannya 
Diganti segera dengan kebaikan 
Orang itu akan selamat dari tipu daya syaitan dan dunia

Ramai orang tidak faham perjalanan hatinya sekalipun ulama 
Terima sahaja yang baik dan yang buruknya 
Kemudian merasakan baik semuanya 
Tiada terasa lagi membuat dosa

Di sinilah perlu pimpinan guru yang mengenal hati manusia
Ia dikatakan mursyid

Tanpa pembimbing maka mudah tersesatlah kita

Kerana cahaya makrifatuLlah ada pada kekasih Allah

Carilah dia, gengamlah dia
Hormatilah dia, beradablah dengannya
Ilmu dari dadanya menusuk ke dada kita
Bukan hanya ilmu di akal kerana akal jua lemah

Hati adalah Raja kepada seluruh anggota atau kerajaan


Ya Rabbi, 
Ampunkanlah diriku yang sentiasa lalai dengan-Mu
Bersihkan diriku yang penuh kekotoran ini
Sucikanlah diriku yang penuh sifat zulumat ini
Hidupkan cinta dalam hatiku pada mereka yang mencintai-Mu.

Amin....