Sunday 10 August 2014

GODAAN DI JALAN KETUHANAN

Wahai diriku, Setelah dirimu mempunyai ilmu, dirimu telah benar-benar bertaubat, kini dirimu berdiri dipintu rahmatNya dengan penuh kefakiran, tiada lagi memalingkan dirimu ke belakang. Namun kamu akan menempuh dalam perjalananmu itu dengan tipudaya atau dugaan. Ramai yang tersungkur kerana godaannya, ia tidak mudah melepaskan dirimu dari ikatannya. Imam Al-Ghazali dalam kitab Minhajul Abidin membahagikan godaan ini kepada empat bahagian dan tiada dikatakan seorang yang benar dalam perhambaannya melainkan jika mereka bebas dari hal-hal ini :

1. Dunia

Godaan dunia adalah amat indah, ia menyebabkan pencintanya seolah diulit mimpi (hidup) kekal abadi. Mereka lupa hakikat diri mereka, mereka lupa tanggungjawab mereka, mereka lupa ia hanyalah tempat sementara. Kehidupan dunia bagaikan permainan sebagaimana yang difirmankan Allah SWT :

“Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, dan perhiasan...” (Al-Hadid : 20)

Dunia ini hanyalah satu permainan cahaya semata-mata.

Mencintai dunia adalah bagaikan racun yang akan merebakkan penyakit-penyakit yang lain. Dari cinta dunia akan lahirnya penyakit hati yang buruk seperti takbur, riak, dengki, khianat, dendam, takutkan mati, panjang angan-angan, tidak redha dengan takdir Allah, tidak tenang dan keras hatinya untuk beribadah pada Allah swt. Bukan senang untuk menghilangkan kasih dunia kerana dunia telah menghiasi dirinya dengan penuh keindahan sehingga dicintai dan sukar bagi mereka yang terperangkap pada jeratnya untuk melepaskan diri.

Mereka tidak mahu menuju akhirat, mereka amat takut dengan (usia) tua dan kematian. Kematian memisahkan mereka dengan kekasih mereka sedangkan mereka mengetahui bahawa apa yang dicintainya adalah sementara dan palsu, namun hati mereka telah terpukau oleh sihir dunia. Hati mereka tidak terliur lagi pada alam akhirat yang lebih indah dan kekal yang dijanjikan Allah swt.

Mencintai dunia menjadikan mereka buta hati, hilang kecerdikan, hilang pedoman dan yang paling bahaya hilang keimanan yang menyebabkan mereka tidak sedar dalam kemurkaan Allah swt setiap nafas mereka di dunia. Hilanglah keberkatan hidup mereka, cahaya hati dan wajah terpadam, mereka sudah terkena bahan kepanasan api neraka menyebabkan hidup mereka tidak tenteram dan gelisah.

2. Makhluk

Makhluk ialah mereka yang memalingkan dirimu dengan Allah baik dari segi perkataan atau perbuatan. Godaan mereka amat kuat kerana pergaulan dengan mereka akan menjadikan dirimu lemah dalam menuju Allah. Mereka menasihatimu supaya berpada dengan akhirat, banyak berfikir tentang masalah dunia, membicarakan kesukaan nafsu dan cara hidup mereka yang jauh dari hakikat Islam. Kalau di zaman Imam Al-Ghazali sudah dianjurkan "uzlah" (menyendiri) apalagi di zaman ini yang mana perkara mungkar dianggap maaruf dan perkara maaruf dianggap mungkar. Bergaul dengan ahli dunia mematikan hati. Inilah yang dipesan Nabi Isa a.s. supaya menjauhi orang yang ‘mati’ iaitu ahli dunia.

Mereka menumpukan seluruh pemikiran, hati dan tenaga untuk dunia. Mereka mencintai kemasyhuran, mencari pujian, takbur dan riak dengan kekayaan atau pangkat, bergaul dikalangan orang-orang kaya, memandang rendah orang miskin, tidak peduli halal haram untuk mencapai cita-cita, bercakap lucah, mengumpat, mengeji, menfitnah dan dusta. Mereka juga mencintai hiburan melampau, memuja artis dan menjauhi ahli agama. Mereka hidup bagaikan menongkat langit, perbicaraan mereka hanya berkisar harta, pangkat , wanita, lelaki, anak-anak, kenderaan, perhiasan dan amat lemah pada akhirat. Mereka hidup penuh dengan kegelisahan, hati yang gundah dan sentiasa dihantui pelbagai masalah. Bersahabat dengan mereka bagaikan membakar hati yang baru berjinak menuju pada Allah. Godaan makhluk ini adalah terdiri daripada orang yang hampir namun jika kamu mempunyai kekuatan, bergaul dengan mereka untuk menyedarkan mereka terhadap akhirat adalah amat afdhal .

3. Syaitan

Syaitan adalah musuh yang ghaib dan musuhnya yang besar ialah manusia yang mahu menuju Allah SWT. Ramai orang yang tidak menyedari mereka diserang oleh syaitan sehingga menimbulkan pelbagai kesulitan dan huru hara dalam hidupnya. Mereka yang tenang adalah musuhnya, ketenangan menyebabkan manusia itu dapat berfikir secara rasional dan dapat menumpukan hati pada Allah. Ia akan menggoncangkan ketenangan dengan pelbagai cara, ia mendatangkan kebencian dikalangan ahli keluarga, membisikkan prasangka yang buruk antara mukmin, menyuburkan nafsu ammarah seperti dengki, dendam dan fitnah. Menanamkan sifat jemu dan malas dalam ibadah atau pekerjaan. Amat bahaya jika manusia itu tidak berwaspada dari musuh yang ghaib ini dengan banyak memohon keselamatan dari Allah SWT.

Wajib memerangi dan mengalahkan syaitan. Hal itu disebabkan dua perkara :

Pertamanya, kerana syaitan itu musuh yang nyata-nyata menyesatkan, tidak boleh diharapkan adanya kebaikan dari syaitan dan tidak boleh diharapkan perdamaian, bahkan kepuasan mereka itu ialah membinasakanmu.

Oleh itu tidak ada alasan untuk merasa aman dari musuh yang seperti itu dan tidak bijak untuk dilupakan. Perhatikan dua isyarat firman Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah Syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” (Yasin : 60)

“Sesungguhnya Syaitan adalah musuh bagi kamu, maka jadikanlah dia musuh (yang mesti dijauhi tipu dayanya); sebenarnya ia hanyalah mengajak golongannya supaya menjadi dari penduduk neraka.” (Al-Faatir : 6)

Kedua, sebab engkau harus memusuhi syaitan itu ialah kerana syaitan sudah menjadi tabiatnya dilahirkan untuk memusuhi kamu, dan mereka selalu siap untuk memerangi kamu, siang-malam terus menerus melemparimu dengan senjata-senjatanya, sedangkan engkau tidak sedar dan lalai daripadanya, maka apalah jadinya nanti.

Benar sekali apa yang yang dikatakan oleh Sayyidina Yahya bin Muad’dz Arrozy : “Syaitan itu pengganggur, penuh waktunya untuk menjalankan rencananya, sedangkan engkau terus sibuk dan syaitan melihatmu, tetapi engkau tidak melihatnya, engkau lupa kepada syaitan, tapi syaitan selalu ingat kepadamu, dan untuk mengalahkanmu syaitan banyak pembantunya.”

4. Nafsu

Hawa Nafsu adalah musuh yang paling rapat dengan kita kerana ia digunakan untuk makan,minum,tidur,bekerja,bersosial dan sebagainya. Tanpa nafsu kita seperti tunggul kayu yang tiada apa-apa perasaan. Di manakah kejahatan nafsu? Dia jahat bila bilamana ia memuaskan nafsu secara berlebih-lebihan sehingga badan untuk beribadat akan menjadi lemah dan tidak bermaya. Hidup kita seperti binatang jika hanya nafsu menjadi matlamat kehidupan. Siang dan malam kita bekerja dan berkorban hanyalah untuk mengenyangkan dan mengemukkan nafsu. Kerja seperti ini akan menyebabkan diri kita malas untuk beribadat seperti solat, berzikir, tahajud, berjihad atau berdakwah. Syariat Allah diwajibkan ke atas kita adalah untuk mengengkang nafsu daripada bersifat seperti binatang yang tidak mengetahui halal dan haram. Siapa yang mengisytiharkan perang ke atas nafsunya maka tunggulah penderitaan dan ujiannya...kurang makan, kurang tidur, kurang bercakap, kurang bersyahwat adalah kesukaan nafsu?

Ya Allah, Ya Rahman, peliharalah diriku daripada bahaya 4 godaan ini....agar diriku mudah untuk salik kepada -Mu..amin.

BERFIKIR PINTU ILMU

Berfikir merupakan pintu bagi mendapatkan maklumat. Maklumat adalah pintu kepada ilmu. Semakin tinggi fikirnya, semakin tinggi pengkajiannya, semakin tinggi dibukakan maklumat kepadanya. Tiadalah fikir yang paling mulia melainkan berfikir tentang ayat-ayat Allah, berfikir tentang mutiara-mutiara Nabi sama ada perkataan atau perbuatannya. Ayat pertama yang diturunkan adalah ayat yang menyebabkan masyarakat jahiliah terkejut dari lamunan dan berfikir tentang satu hakikat-hakikat bahawa adanya Tuhan yang menciptakan diri mereka, dan dicipta mereka daripada tanah.

Firman Allah SWT :

“Bacalah dengan nama (menyebut) nama Tuhanmu yang menciptakan, Dia telah menciptkan manusia dari segumpal darahmenjadikan kamu dari tanah..” (Al-‘Alaq : 1-2)

Marilah kita merenung beberapa ayat dan berfikir tentangnya.

Firman Allah SWT :

“Sesungguhnya Kami ciptakan manusia dari sari tanah, kemudian Kami jadikan air mani yang disimpan dari tempat yang kukuh, kemudian Kami jadikan segumpal darah, lalu segumpal darah itu kami jadikan sepotong daging, lalu sepotong daging Kami jadikan tulang, lalu tulang itu Kami bungkus dengan daging, kemudian dia Kami ciptakan makhluk yang lain (manusia yang sempurna). Maha suci Allah sebaik-baik yang menciptakan. Kemudian sesudah itu kamu mati. Kemudian pada hari kiamat kamu dibangkitkan (kembali).” (al-Mukminin : 12-16)

Ayat mengajak mereka merenung langit dan berfikir tentangnya :

“Tidakkah mereka melihat langit di atas mereka, bagaimanakah Kami membangunkannya dan menghiasinya dan tiada ada pecah?” (Qaaf : 6)

Ayat mengajak mereka merenung bumi dan berfikir tentangnya :

“Dan tiadakah mereka melihat bumi, bagaimana Kami membentangkannya dan mengadakan gunung-gunung atasnya, dan Kami tumbuhkan di atasnya bermacam-macam (tumbuh-tumbuhan) yang indah?” (Qaaf : 7)

Berfikir tentang matlamat kehidupan, berfikir tentang kematian, berfikir tentang ke manakah masa yang dilalui, berfikir tentang kasih sayang Tuhan, berfikir tentang kasih sayang Nabi, berfikir tentang kesalahan, berfikir tentang alam barzakh, berfikir tentang alam akhirat, berfikir tentang azab dan nikmat yang dijanjikan, berfikir betapa lemahnya diri, berfikir tentang ruginya di akhirat nanti, berfikir tentang berpaling Tuhan dari melihatnya, berfikir bahawa dia seorang ayah yang wajib membimbing dan menjadi contoh kepada isteri dan anak-anak, berfikir ia adalah seorang isteri yang wajib mentaati pada suaminya dan memberi kasih sayang kepada anak-anak, berfikir ia sebagai seorang anak yang wajib atasnya memuliakan ibu bapanya, berfikir bahawa ia perlu menjauhi harta yang haram, berfikir bahawa haram atasnya menzalimi manusia dan berfikir dan terus berfikir.

Daripada merenung dan berfikir dengan ayat-ayat Allah secara ikhlas, insya Allah akan lahirlah cetusan keinsafan di hatinya. Hatinya merasa gerun dan bimbang dengan kehidupannya yang lalai, kehidupannya yang diperdaya dengan dunia, kehidupan yang jauh dari kehendak Allah. Bangkitlah dalam dirinya rasa mahu bertaubat kepada Allah, tetapi timbul pula persoalan pada dirinya bagaimanakah cara ia mahu bertaubat kepada Allah dan mendapatkan redhaNya.

Jalan menuju Allah yang seperti "pendakian" ini perlukan keikhlasan, kesungguhan dan ilmu. Tanpa keduanya kita mungkin akan tersungkur dalam perjalanan. Kita perlu mengetahui segala hal dan cabaran yang akan ditempuh dalam pendakian ini. Kita akan menempuh pelbagai dugaan, namun kita tiada pilihan jalan lain yang diberi oleh Allah. Kita hanya diberi dua pilihan sahaja, sama ada jalan ke syurga atau jalan ke nerakaNya. Jika mahu jalan ke syurga, bersedialah diri kita dengan segala rintangan yang mencabar nafsu. Namun jika kita memilih jalan ke neraka, ia bagaikan menyusur turun dari tempat tinggi yang tiada halangan, ianya amat menyeronokan nafsu. Justeru itu bila kita telah berfikir dengan mendalam, (barulah) kita membuat pilihan untuk mendakinya .

Ya Allah, jauhkanlah diri ini daripada bersifat malas berfikir...

LATIHAN KETENANGAN DAN PENUMPUAN

Ketenangan dan penumpuan adalah amat penting dalam apa jua ilmu dan gerakkerja. Pelbagai kaedah yang diihamkan oleh manusia untuk mendapatkan ketenangan dan penumpuan. Mereka mencarinya dengan mengamalkan tenaga dalam, kuasa minda dan sebagainya. Mereka melakukan dengan langkah pertama iaitu ketenangan. Ada mereka yang menarik nafas dengan teknik tertentu untuk mendatangkan ketenangan, kemudian mengosongkan fikiran untuk menghasilkan konsentrasi (penumpuan). Apabila seseorang penuntut berjaya dalam latihan ketenangan dan penumpuan, barulah ia diajar tenik-teknik dalam mengolahkan tenaga dalam tersebut. Tanpa keduanya, seseorang itu tidak dapat melakukan apa jua teknik ilmu yang diajar kerana tidak memiliki kekuatan tenaga. Dalam latihan ini, bagi mereka yang beragama Islam, disuruh berzikir (zikir adalah merupakan tambahan sahaja, bukannya asas yang penting dalam pembinaan tenaga dalam).

Bagi pengamal pembinaan tenaga kerohanian, zikir adalah sebagai asas dan permulaan yang penting untuk menghasilkan kesan yang hebat kepada pengamalan yang lain. Zikir adalah latihan ketenangan dan penumpuan yang paling hebat. Ia adalah kaedah yang datang dari Allah SWT sebagaimana firmanNya : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman kepada Allah merasa tenang apabila mengingati Allah. Sesungguhnya mengingati Allah itu memberi ketenangan pada hati.”

Melatih diri dengan penumpuan dalam ibadah solat, membaca Al-Quran dan sebagainya bagi orang yang dalam tahap permulaan adalah amat sukar kerana solat terdapat gerak geri yang perlu diperhatikan di samping memahami ayat-ayat yang dibaca. Begitu juga membaca Al-Quran juga perlu pada memahami ayat-ayat, melihat wakaf, memperbetulkan tajwid, memerhatikan huruf dan baris.

ZikruLlah tidak perlu kepada pergerakkan dan bacaan-bacaan yang panjang. Dalam latihan untuk mendapat penumpuan mengingati Allah, wirid yang ringkas seperti “La Ila Hailallah” dan nama-nama dari Asma Al-Husna adalah diutamakan.

Mereka yang tidak dapat memberi tumpuan kepada nama-nama Allah yang disebut dan merasai kemanisannya ketika berzikir, janganlah diharap mereka dapat memberi tumpuan dan merasai kelazatan dalam mengamalkan solat walaupun ilmu bergelar ulama kerana khusyu’ itu dihati, bukannya pada pemikiran. Ini disebabkan hati itu penuh dengan kecintaan yang lain dari Allah SWT. Inilah yang dikatakan oleh Saidina Omar Al-Khattab : “Hati kamu itu satu. Jika datang makhluk hilanglah Tuhan, jika datang Tuhan hilanglah makhluk”. Firman Allah SWT: “Jika telah datang kebenaran maka akan hilanglah segala kebatilan”. Hati yang penuh mazmumah (tenaga hitam) juga tidak dapat mengecapi kemanisan Al-Quran. Firman Allah SWT: “Tidaklah boleh menyentuh Al-Quran melainkan mereka yang suci”. Hati yang tidak merasa gementar dengan nama Allah SWT adalah hati yang lemah tenaga kerohaniannya sebagaimana firman Allah SWT : “Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu apabila disebut nama Allah, gementarlah hati mereka kerana takutkan Allah” dan hakikat ilmu itu ialah ilmu yang dicampakkan ke dalam hati sehingga ia takut kepada Allah SWT. Mereka yang takut pada Allah adalah orang yang memperolehi ilmu. Hatinya lebih tenang bersama dengan Tuhannya dari manusia dan dunia.

Latihan ketenangan dan penumpuan menggunakan tenaga zikir adalah memberi penumpuan kepada pusat tenaga untuk menghancurkan tenaga hitam dan menghasilkan tenaga putih. Apabila tenaga putih berjaya menguasai pusat tenaga, mereka akan merasai lazat dan tenang apabila mengingati Allah SWT. Mereka yang mencapai tahap ini, akan merasai kelazatan apabila ia mendirikan solat, membaca Al-Quran dan sebagainya. RUH kembali berperanan di dunia ini iaitu merasa mesra dan lazat dengan nama-nama Allah. Itulah kelakuannya di alam RUH. Apabila ia kembali kepada peranannya, dengan sendiri kehebatan tenaga kerohanian yang dikurniakan Tuhan kepadanya sebagai khalifah Allah akan berfungsi kembali.

Ya Allah Ya Tuhanku Yang Maha Kuat dan Maha Hebat, berikanlah daku kekuatan untuk melaksanakan "latihan amal" yang telah Kau tunjukkan kepada hamba-hamba PILIHAN-MU, Semoga diriku dapat beramal seperti mereka yang telah sampai ke hadrat-Mu dengan penuh kecintaan dan kerinduan...Amin...

"WANITA"

Wanita, Akal setipis rambutnya. Jangankan lelaki biasa, Nabi pun terasa sunyi Tanpa wanita. Tanpa mereka, hati, fikiran dan perasaan lelaki akan resah. Masih mencari walaupun sudah ada segala-galanya. Apa lagi yang tidak ada ada di syurga, namun Nabi Adam a.s tetap rindukan Siti Hawa.

Kepada wanitalah lelaki memanggil ibu, isteri atau puteri. Dijadikan mereka dari tulang rusuk yang bengkok untuk diluruskan oleh lelaki, tetapi kalau lelaki sendiri yang tidak lurus, tak mungkin mampu nak meluruskan mereka. Tak logik kayu yang bengkok menghasilkan bayang-bayang yang lurus. Luruskanlah wanita dengan cara yang ditunjuk Allah, kerana mereka dicipta sebegitu rupa oleh Nya. Didiklah mereka dengan panduan dari Nya. Jangan cuba jinakkan mereka dengan harta, nanti mereka semakin liar. Jangan cuba hiburkan mereka dengan kecantikan, nanti mereka semakin menderita. Yang sementara itu tidak akan menyelesaikan masalah. Kenalkan mereka Kepada zat Allah. Zat yang kekal, di situlah suisnya. Akal setipis rambutnya, tebalkan dengan ilmu. Hati separuh kaca, kuatkan dengan iman. Perasaan selembut sutera, hiaslah dengan akhlak. Suburkanlah kerana dari situlah nanti mereka akan nampak nilaian dan keadilan Tuhan. Akan terhibur dan bahagialah hati mereka, walaupun tidak jadi Ratu Cantik Dunia, Presiden ataupun Perdana Menteri Negara atau Women Gladiator. Bisikkan Ke telinga mereka bahawa kelembutan bukan suatu kelemahan. Itu bukan diskriminasi Tuhan. Sebaliknya di situlah kasih sayang Tuhan, kerana rahim wanita yang Lembut itulah yangmengandungkan lelaki-lelaki waja ? Negarawan, Karyawan, Jutawan dan? Wan-Wan? Dan lain-lain. Tidak akan lahir Superman tanpa Superwoman. Wanita yang lupa hakikat kejadiannya, pasti tidak terhibur dan tidak menghiburkan. Tanpa ilmu, iman dan akhlak, mereka bukan sahaja tidak boleh diluruskan, bahkan mereka pula membengkokkan. Lebih ramai lelaki yang dirosakkan oleh perempuan daripada perempuan yang dirosakkan oleh lelaki. Sebodoh-bodoh perempuan pun boleh menundukkan sepandai-pandai lelaki. Itulah akibatnya apabila wanita tidak kenal Tuhan. Mereka tidak akan kenal diri mereka sendiri, apa lagi mengenal lelaki. Kini bukan sahaja ramai bos telah kehilangan secretary, bahkan anak pun akan kehilangan ibu, suami kehilangan isteri dan bapa akan kehilangan puteri. Bila wanita derhaka, dunia lelaki akan huru-hara. Bila tulang rusuk patah, rosaklah jantung, hati dan limpa. Para lelaki Pula jangan harap mengharap ketaatan tetapi binalah kepimpinan. Pastikan sebelum memimpin wanita menuju Allah, pimpinlah diri sendiri dahulu kepada Nya. Jinakkan diri dengan Allah, nescaya akan jinaklah segala-galanya di bawah pimpinan kita. Jangan mengharap isteri seperti Siti Fatimah, kalau peribadi belum lagi seperti Saiyidina Ali? Fikirkan...... ~~~~~~~~~~~~~~~~~~Kenal DIRI ---->kenal ALLAH

“Ya Allah, Ku perlukan seni dan ilmu-Mu untuk mendidik isteriku.....kuatkan kesabaran dan ketabahanku dalam menjaga amanah-Mu ini. Jadikanlah daku manusia yang bersyukur...”

Saturday 9 August 2014

HATI YANG SEJAHTERA

“Wahai mereka yang berjiwa mutmainah(tenang), kembalilah kpada Tuhanmu dalam keadaan (kamu) redha dan diredhai (Tuhan), maka masuklah kamu ke dalam golongan hamba-hambaKu dan masuklah ke dalam syurgaKu.” (Al-Fajr:27-30)

Hati atau Roh merupakan raja dalam kerajaan diri. Ia mempunyai kelebihan daripada semua anggota lahir. Ia adalah raja yang luar biasa, yag sangat ditaati oleh rakyatnya. Dialah pentadbir manusia yang menjalankan kehidupan yang sangat luas.

Hati sangat sensitif, peka dan perasa. Ia adalah wadah tempat mengisi “barang-barang”, siapa yang mengisinya? Sama ada malaikat atau syaitan, yang berebut-rebut mengisinya. Kalau malaikat mengisi, maka baiklah hatinya. Jika syaitan yang mengisi maka jahatlah hatinya. Yang diisi oleh malaikat adalah hidayah, wahyu dan ilham kebaikan. Syaitan pula mengisi dgn kekufuran, was-was dan keraguan.

Kadang kala kerana tidak berhalus atau tidak ambil perhatian pada perjalanan hati, kita rasa hati kita sudah baik dan sudah tenang. Tetapi sebaik sahaja datang cabaran dan ujian, barulah terasa yang sebenar. Misalnya bila orang marah pada kita, bangkit rasa hendak marah balik. Ini menyedarkan kpada kita bahawa kita mempunyai sifat pemarah. Bila mendapat sesuatu kejayaan, hati akan menerima rangsangan lalu akan merasa sama ada bangga, riya’, ujub, takabbur, ego dengan kejayaan itu atau pun merasa bersyukur, dan malu (pada Allah). Pada waktu merasa itulah, hati yang sensitif akan sedar.

Sekiranya hati tidak sedar yang dia sudah berbuat baik, ini satu sifat terpuji, kerana tidak akan berbangga dgn kebaikan itu. Tetapi jangan pula sampai hati tidak bersyukur kpada Allah atas keizinanNya kita boleh berbuat kebaikan.

Yang paling buruk ialah bila hati tidak sedar yang dia jahat. Hati tidak sedar, rangsangan yang datang membuatkannya berasa bangga dan ego. Lebih merbahaya jika hati yang jahat disedari sebagai hati yang baik. Yang empunya hati tidak akan sedar kejahatan hatinya sampai bila-bila dan tidak akan cuba berusaha membuat perubahan (dengan bertaubat). Bahkan ia akan terus berbuat jahat kerana merasakan dirinya dalam kebaikan.

Rasa-rasa yang positif pada hati boleh dibantuntukan jika sejak kecil seseorang itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Maka ia akan terpaksa bersusah payah dan berhempas pulas untuk menyuburkan kembali. Sebaliknya jika benih yang positif (mahmudah) ini dijaga dan disuburkan sejak kecil maka ia akan subur dan tidak payah lagi bersusah payah bila dewasa.

Sebaliknya jika rasa yang negatif (mazmumah) sejak kacil lagi sudah disuburkan, maka payah pula untuk dibuang bila sudah dewasa. Benih mazmumah ini (sifat keji), jika sudah disuburkan dalam hati sejak kecil dan setelah dewasa baru hendak dibuang, maka usaha itu sangat rumit dan payah.

Dalam pembicaraan ilmu tasauf, hati yang sejahtera juga dimaksudkan jiwa yang tenang. Mereka yang mempunyai maqam nafsu mutmainah (jiwa yang tenang) adalah mereka yang Allah iktiraf sebagai hambaNya dan layak untuk memperolehi ganjaran syurgaNya di akhirat kelak. Untuk memperolehi jiwa yang dilimpahi dengan cahaya ketenangan ini, ia mestilah disucikan drpada segala syirik, nifaq, dan semua penyakit hati yang keji. Ia mesti melalui proses pendidikan (pentarbiyahan) dan pembersihan agar “raja” dalam diri manusia ini akan sentiasa terarah kepada kebaikan dan penghambaan diri kpada Allah.

Bagaimana mendidik hati agar ia dapat disucikan dan kembali kpada fitrahnya yang suci bersih sehingga terbukalah hijab yang selama ini membentengi dirinya dgn Allah?

1)Zikirullah (ingat Allah)

Ia adalah jalan yang paling afdhal, jalan para Anbiya’(nabi-nabi) dan Auliya’(wali) serta orang-orang soleh yang telah terbukti berkesan dalam usaha penyucian hati/roh. Orang-orang yang melalui perjalanan ini telah beroleh kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Rasulullah saw memberi perumpamaan, hati yang kotor seperti besi yang berkarat dan zikirullah adalah alat untuk menyucikannya. Hati yang selalu diketuk dan dihunjam dengan kalimah zikirullah akan menjadikannya bersih dari kekotoran mazmumah dan penyakit hati yang menghijabkan dirinya dengan rahsia-rahsia dari alam ghaib.

2)Mesti ada guru yang mursyid

Sebaik-baiknya, apabila mengambil mengambil jalan zikirullah ini, ia mesti dibimbing oleh seorang guru rohaniah yang mursyid. Ini kerana tipudaya syaitan semakin halus kepada mereka yang melalui perjalanan ini. Guru yang mursyid ialah guru yang beramal dengan ilmunya, bertaqwa dan berakhlak dengan garis-garis yang ditentukan oleh syariat.

3)Mujahadah dan istiqamah

Syaitan dan hawa nafsu adalah dua musuh batin yang sentiasa mendorong kepada kejahatan. Dan tempatnya ialah di hati. Oleh itu kita kena lawan musuh ini dengan mujahadah. Ia lebih hebat daripada menentang musuh zahir. Ini kerana peperangan itu berlaku dalam diri kita. Lebih-lebih lagi syaitan adalah makhluk yang paling derhaka dan paling banyak menipudaya manusia. Hanya orang yang ikhlas sahaja akan terselamat daripada tipudayanya sebagaimana yang Allah khabarkan di dalam al-quran. Begitu juga nafsu, musuh yang tidak pernah kenal erti letih dan lesu. Sedikit sahaja kita terleka, pasti kita dihasut dan ditipunya.

Sepanjang masa kita perlu bermujahadah. Ia bukan boleh dibuat secara bermusim atau ikut ‘mood’. Ia adalah satu perjuangan yang berterusan sampai bila-bila dan sudah tentu ia memerlukan suatu kekuatan yang maha hebat bagi menghadapi kedua-dua musuh ini. Satu perinsip asas dalam mujahadah ialah istiqamah. Yakni konsisten, terus menerus dan berkesinambungan dalam “peperangan” dengan syaitan dan hawa nafsu. Jika kita hanya bermujahadah tapi tidak istiqamah, maka ia tidak akan memberi kesan.

4)Berilmu dengan ilmu yang benar

Kita juga mestilah suluh hati kita dengan ilmu. Dari situ kita akan kenal hati kita. Kita akan tahu berapa banyak sifat-sifat mazmumah yang kita ada dan sejauhmana kekuatannya. Begitu juga dengan sifat-sifat yang mahmudah.

Itulah beberapa kaedah asas untuk mendidik dan membersihkan hati. Beramal dan bersungguh-sungguhlah kerana hati atau roh akan kembali ke tempat asalnya, bertemu dengan Allah. Kalau ia datang ke dunia dalam keadaan suci bersih, maka sudah tentu ia perlu kembali dalam keadaan yang sama. Di dunia lagi ia menjadi jiwa yang tenang dan di akhirat nanti, Allah janjikan dengan kebaikan, keselamatan dan rahmatNya.

Ya Allah yang Tuhan kami...kuatkan kami dan bersihkanlah kami....yang kotor dan bodoh ini....