Monday 29 July 2019

Bertaubatlah dirimu


Tiada jalan lain wahai diriku untuk menuju Tuhan melainkan engkau perlu menyucikan dirimu terlebih dahulu. Seorang yang berjunub tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. Engkau perlu bertaubat dari segala dosa yang dilakukan dengan bersungguh-sungguh, insya Allah, Allah akan menghapuskan dosa-dosamu. Ia menjadi syarat untuk diterima ibadahmu. Perasaan bimbang bahawa dirimu akan melakukan kesalahan kembali selepas bertaubat sehingga kamu menangguhkan taubatmu menunjukkan jiwamu belum ikhlas.

Hatimu masih ada cinta kepada maksiat yang dilakukan. Syaitan membisikkan ke dalam hatimu, ‘jika kamu bertaubat sekarang sedangkan nanti besok kamu melakukan kesalahan, adakah tidak seperti kamu mempermainkan Allah?’ Ia kelihatan baik sehingga sang salik akan mengangguk membenarkan bisikan itu.

Wahai diriku, janganlah kamu hiraukan bisikan seperti itu, katakan padanya bahawa Tuhanku bersifat dengan Maha Pengampun, jika aku terjatuh kembali dalam kejahatan, aku akan kembali bertaubat, dan jika kembali melakukannya, aku akan kembali bertaubat. Demi sesungguhnya Tuhanku bersifat dengan sifat ketuhananNya, Dialah Yang Maha Sabar, Maha Lemah Lembut, Maha Pengampun, Maha Penyayang pada hambaNya dan Maha Mengetahui akan kelemahan hambaNya,. Dia juga Maha Mengetahui keikhlasan hambaNya malah Allah amat kasih pada hambaNya yang banyak bertaubat, sebagaimana firmanNya :

“… sesungguhnya Aku (Allah) amat kasih kepada hambaku yang banyak bertaubat dan sentiasa mensucikan diri.” (Al-Baqarah : 222)

Dia tidak boleh dibandingkan dengan makhluk yang mana jika dirimu melakukan kesalahan yang sama berulangkali nescaya dimarahi mereka dan mempersendakan taubatmu, sedang Allah yang bersifat Lai sakamis lihi Syaiuun. Ia tidak menyerupai apapun dengan sesuatu malah pintu taubatnya sentiasa terbuka sehinggalah ruhnya dihujung halkum. Berkata para Arifbillah, “setiap nafas yang diberi adalah pintu untuk bertaubat kepadaNya.”

Alangkah malangnya seorang hamba itu yang beribadah pada Allah, namun ia enggan bertaubat dari kesalahannya. Ibadahnya bagaikan anak pokok yang ditanam di atas tanah yang penuh racun, hanya kepenatan dan kelelahan diperolehi namun tidak membawa perubahan pada dirinya. Ia tidak merasai nikmat munajat, tidak merasai nikmat ketenangan, jiwanya masih dibelenggu keresahan. Ibadah yang dilakukan kadangkala menjadi adat hariannya tanpa merasai kecintaan, ibadah dilakukan tetapi dosa besar tetap dilakukan seperti syirik, mengumpat, menfitnah, takbur, cinta dunia, dengki, dendam dan sebagainya.

Jika dirimu benar-benar ikhlas mahu menujuNya, mencari keredhaanNya, kamu akan menanggalkan segala kasihmu pada segala kemaksiatan tanpa ragu-ragu lagi malah tidak akan berpaling padanya serta meninggalkannya segala apa perkara yang boleh menyebabkan dirimu kembali terjerumus kepadanya kembali.

Dengan taubat yang hakiki, dirimu akan merasa tenang dan ringan beribadah. Segala racun yang membelenggu hatimu sudah tercabut, kini dirimu telah bersih. Selama ini, perasaanmu yang berat untuk melakukan amal soleh adalah disebabkan dosa-dosa yang mengikatmu. Apabila belenggu ikatan dapat dihapuskan, ia sudah bebas bergerak tanpa ada halangan. Segala ibadah yang dilakukan akan tertanam dan subur dalam hatinya sehingga dirimu benar-benar berada di atas jalan hamba-Nya yang mencintai kebaikan.

Allah telah memerintahkan dirimu untuk bertaubat seperti firman-Nya :

“… dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, hai orang-orang yang beriman, supaya kamu beruntung”. (An-Nur : 31)

“Hai orang-orang yang beriman, bertaubatlah kepada Allah dengan Taubat Nasuha…” (At-Tahrim : 8)

Kemudian Allah SWT telah menjelaskan bahwa taubat itu jalan menuju kemenangan dan taubat bukan dikhususkan bagi orang yang berdosa saja akan tetapi merupakan hak bagi orang-orang mukmin yang menginginkan keamanan dan kemenangan dunia dan akhirat.
Dari Abi Hurairah (r.a) berkata :
“Saya mendengar Rasulullah bersabda, ‘Sesungguhnya aku meminta ampun pada Allah dan bertaubat kepada-Nya dalam sehari lebih dari 70 kali’”. (Bukhari)

Dari Al-Aqhru Bin Yassar Al-Mazni (r.a) berkata :
“Bersabda Rasulullah, ‘Wahai manusia bertaubatlah kalian kepada Allah dan mintalah ampun kepadanya, maka sesungguhnya aku bertaubat dalam sehari 100 kali’”. (Muslim)

Dan Abi Musa Al-Asy’ari (r.a) dari Nabi Muhammad SAW bersabda :
“Sesungguhnya Allah SWT membentangkan tangan-Nya di malam hari agar orang yang berbuat keburukan di siang hari bertaubat, dan membentangkan tangan-Nya di siang hari agar orang yang berbuat keburukan di malam hari bertaubat sampai matahari terbit dari barat.”(Bukhari)

Dari Abu Hurairah, (semoga Allah redha pada keduanya) berkata :
“Barangsiapa yang bertaubat sebelum matahari terbit dari barat maka Allah akan menerima taubatnya.” (Muslim)

Dari Ibnu Umar (semoga Allah meredhai keduanya) berkata :
“Sesungguhnya Allah Azza Wajalla akan menerima taubat seorang hamba sebelum nafasnya dihalkumnya.” (at-Tirmidzi)

Ya Allah, ampunkanlah dosa-dosaku yang zahir dan yang batin......




Tuesday 23 July 2019

Kenali Dirimu Kenali Tuhanmu


“Fahamilah lebih dalam lagi wahai insan bahawa apabila kita melihat, bukan matamu yang melihat, ia hanya alat. Hakikat yang melihat adalah ruh dan hakikat penglihatan yang ada pada ruh daripada Aku. Apabila kita mendengar, bukan telinga kita yang mendengar, ia hanyalah alat sahaja, hakikat yang mendengar ialah ruh dan hakikat pendengaran itu dari Aku. Begitulah sifat-sifat yang pada dirimu tiada lain adalah hakikat dari Diri-Ku. Aku yang menciptakan makhluk dan segala sifatnya agar makhluk mengetahui kewujudan-Ku dan mengenali-Ku.”


Firman Allah :

“Dan pada diri kamu adakah tiada kamu melihat (dalil-dalil sebagai bukti)” (Az-Zariyat : 21)

Berkata ‘ArifbiLlah : “Sesiapa yang mengenal dirinya akan mengenal ia akan Tuhannya.” 

Siapa diri kita ini sehingga dengan mengenalnya diri kita, nescaya kita dapat mengenal Tuhan. Inilah yang perlu kita fahami dan membuat kajian yang mendalam dengan penuh keinsafan dan kerendahan hati agar kita dapat menemukan kunci kebahagiaan insan.

Pengenalan diri telah menjadi permulaan wahyu yang diturunkan oleh Allah swt kepada makhluk ciptaanNya.

Firman Allah :

“Bacalah dengan (menyebut) nama Tuhan kamu Yang menciptakan, Dia telah menciptakan manusia dari segumpal darah...” (Al-‘Alaq : 1-3)

Diri insan adalah pintu untuk seseorang hamba itu menempuh ke Alam KeTuhanan. Manusia tidak akan dapat mengenal hakikat Tuhannya yang hakiki melalui pintu yang lain. Pintu yang lain hanya memberi jawaban kepada kebenaran wujud-Nya, kebijaksanaan-Nya dan Kekuasaan-Nya. Insan masih teraba-raba dan mencari-cari akan beberapa persoalan terhadap sifat KeTuhanan-Nya yang maha hebat.

Firman Allah Ta’ala :
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu fakir kepada Allah, dan Allah Maha Kaya dan Maha Terpuji.” (Al-Faathir : 15)

Renungkanlah diri kita sedalam-dalamnya dengan akal yang dikurniakan Tuhan agar kita menjadi hamba yang berilmu. Siapa yang benar mengenal dirinya, akan binasalah dirinya, tenggelamlah ia dalam lautan kefakiran, tenggelamlah ia dalam lautan ketiadaan keakuan.

Telah dikiaskan oleh para kekasih Allah tentang wujud makhluk ini. Bagaikan seorang yang menyusur sebatang anak sungai dan melihat imej penuh sepohon kayu didalam air, apabila ia menempuhnya, pohon kayu tadi tiada memberi apa-apa halangan. Begitulah hakikat wujud makhluk ini, ia kelihatan ada tetapi kewujudannya bagaikan bayang-bayang.

Di dalam kitab Kasaful Asrar dinyatakan bahawa wujud insan adalah bayang-bayang kepada wujud Tuhan. Tiada akan wujud bayang-bayang ini jika tiada yang empunya bayang-bayang, tiada bergerak bayang-bayang melainkan bergeraknya tuan empunya bayang-bayang.

Telah dibahas oleh Tokku Pulau Manis dalam syarah Al-Hikam Syeikh Ibnu ‘Athaillah mengatakan dalam matan yang pertama bahawa insan itu perlulah memahami bahawa ia adalah fakir, lemah, jahil, buta, tuli, bisu dan segala apa yang dimilikinya adalah hak milik Allah SWT. Justeru itu mereka yang mengenal dirinya wajib atasnya merendah diri dan merasa amat berhajat kepada Allah. Ia tidak boleh takabur dengan amalnya kerana amalnya adalah datang dari kurniaan Tuhan, bukannya dari kekuatan dirinya.

Allah itu ghaib, bagaimana mahu mencapai-Nya? Wujud Allah itu penuh rahsia, bagaimana mahu mencari-Nya? Allah itu tidak berjisim, bagaimana mahu melihat-Nya? Inilah persoalannya, namun setiap persoalan ada jawabannya. Para Ahli Makrifat telah mengeluarkan kata-kata hikmah mereka bahawa pintu jawaban kepada soalan tersebut adalah dengan “mengenal diri”. Diri manusia adalah pintu untuk mengenal Tuhan yang Ghaib, sesiapa yang mendalami dirinya sebenarnya ia sedang mendalami rahsia Tuhan.

Adam dicipta dari tanah, ia adalah sarung untuk ditempatkan ruh. Ruh adalah rahsia Tuhan yang tinggi. Allah menyatakan wujud-Nya di alam ini dengan kenyataan wujud makhluk-Nya. Manusia yang berakal yang berpegang kepada hukum logik tidak boleh menolak kewujudan Tuhan. Mereka yang menolak kewujudan Tuhan ialah mereka yang menentang logik mereka.

Hukum akal tidak menerima setiap sesuatu yang wujud tanpa ada yang menciptanya. Hujah mereka yang mengatakan setiap yang wujud wajib dapat dilihat adalah amat lemah. Kerana banyak perkara di alam ini diakui kewujudannya tetapi tidak dapat dilihat seperti perasaannya sendiri iaitu sedih, gembira, dengki, dendam, rindu, cinta dan sebagainya. Begitu juga dengan kewujudan nyawa dalam badannya, kewujudan fikiran pada otaknya. Kewujudan udara di sekelilingnya, kewujudan gelombang dan pelbagai lagi.

Janganlah kita membohongi diri kita, janganlah kita melawan suara hati kita, janganlah kita melawan suara fitrah kita bahawa diri ini ada penciptanya, diri ini ada yang sentiasa memelihara, diri ini ada yang menentukan kehidupannya. Apa yang perlu bagi kita bukannya membahaskan perkara yang sudah nyata, tetapi kita melangkah lagi ke dalam lautan pengenalan diri-Nya dengan meneroka diri ini agar bertambah cinta dan kasih pada-Nya, sehingga diri ini fana dalam lautan diri-Nya.

Apabila kita memandang diri kita, memandang kewujudan diri kita, maka kita wajib memahami bahawa kita ada pemiliknya. Wujud kita menyatakan wujud diri-Nya. Dia ghaib dan kita nyata, Dia hakikat dan kita syariat, Dia adalah wujud dan kita adalah bayang bagi wujud-Nya. Lihatlah diri kita lagi, pandanglah segala sifat yang ada pada diri kita, lihatlah mata, lihatlah telinga, lihatlah mulut, lihatlah akal, lihatlah gerak diam, lihatlah rasa hati kita. Semuanya tidak lain melainkan kenyataan akan Sifat-Sifat-Nya.

Dia menyatakan sifat Ma’ani-Nya yang tujuh kepada dirimu agar mengenal dan mencintai-Nya. Dia memberitahu kita dengan bahasa yang hanya difahami oleh mereka yang merindui-Nya, mereka yang mempunyai ilmu tentang-Nya. 

Dia mengatakan :

“Wahai hambaku, padamu Aku telah menyatakan segala Sifat-Sifat Diri-Ku. Aku Tuhan yang melihat dan Aku nyatakan pada matamu, Aku Tuhan yang mendengar, Aku nyatakan pada telingamu, Aku Tuhan yang berkata-kata, Aku nyatakan pada suara dari mulutmu, Aku berilmu dan Aku nyatakan pada akal kita, Aku berkuasa dan Aku nyatakan pada gerak diam kita, Aku berkehendak dan Aku nyatakan pada hati kita”.